“Saya sangat teruja. Ini peluang yang saya tunggu-tunggu,” itulah luahan hati Nur Adila Syafinas, 18, pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2/2025, yang mencerminkan semangat baharu generasi muda Malaysia.
Bagi Adila, penyertaannya dalam PLKN ini adalah peluang kedua selepas impiannya menyertai angkatan tentera terhalang akibat tidak melepasi syarat ketinggian minimum.

Nur Adila ditemu bual dengan wajah penuh semangat, berkongsi bagaimana PLKN menjadi ruang untuk merealisasikan impiannya yang tertangguh dalam dunia ketenteraan. Foto: AirTimes/ZulFadhli
“Saya teruja sangat. Dulu saya nak jadi askar, tapi tinggi tak cukup. Bila dapat PLKN ini, saya anggap ini peluang untuk cabar diri dan rasa macam mana masuk askar,” katanya sambil tersenyum.
Adila yang berasal dari Kepong, Kuala Lumpur merupakan antara 344 pelatih dari seluruh negara yang melapor diri bagi menyertai PLKN 3.0 Siri 2/2025 pada Ahad.
Menariknya, Adila bukan peserta terpilih secara automatik. Sebaliknya, beliau mendaftar secara sukarela selepas beberapa kali semakan namanya gagal dalam sistem.
“Saya cuba masuk guna borang Google Form yang saya jumpa masa isi borang biasiswa. Saya isi dengan rela hati dan Alhamdulillah dapat panggilan masuk,” ujarnya penuh bangga.
Kisah semangat ini turut dikongsi oleh Manissa A/P Vikneswaran, 18, dari Negeri Sembilan. Baginya, penyertaan dalam PLKN berlaku secara mengejut apabila pegawai datang ke rumah untuk menyerahkan surat panggilan.
“Mula-mula saya takut sangat sebab pegawai datang ke rumah, tapi saya tiada masa tu. Esoknya, surat sampai,” katanya yang pada awalnya merasa bimbang.

Manissa yang pada mulanya bimbang menerima panggilan PLKN tetapi kini bangga menjadi sebahagian daripada program membina jati diri ini. Foto: Air Times/Zul Fadhli
Namun, dorongan kuat daripada ahli keluarga terutama bapanya membuatkan Manissa nekad mencuba.
“Ayah saya cakap ini bagus, boleh belajar tanggungjawab. Sekarang saya rasa bangga dan gembira,” katanya yang mahu menjadi individu lebih aktif dan berdisiplin.
Manissa berharap PLKN mampu membentuk dirinya menjadi seorang pemimpin masa depan.
Dari tanah Borneo, Ivyanna Errica ak Peter, 17, dari Sabah, pula ingin membuktikan bahawa program ini mampu membentuk kematangan dalam diri remaja.
“Mula-mula saya tak mahu pergi, tapi bila tahu ada elaun dan makanan percuma, saya fikir kenapa tidak cuba? Tapi yang paling penting, saya nak ubah diri jadi lebih matang dan disiplin,” jelasnya.

Ivyanna tampil yakin sewaktu ditemu bual, menggambarkan tekadnya untuk keluar dari zon selesa dan menjadi individu lebih matang.Foto: AirTimes/ZulFadhli
Ivyanna hadir bersama 12 rakan senegeri iaitu sembilan lelaki dan tiga perempuan yang turut melapor diri pada Ahad lalu.
Bagi Ivyanna, aspek aktiviti lasak dan pengalaman luar bilik darjah menjadi tarikan utama.
Sementara itu, Evelyn Ng Min dari Muar, Johor pula melihat PLKN sebagai ruang membina keyakinan diri.
“Saya takut juga sebab ini kali pertama jauh dari rumah. Tapi saya nak jadi orang yang bertanggungjawab dan mungkin boleh bantu negara suatu hari nanti,” katanya.

Dengan nada bersungguh, Evelyn berkongsi hasrat untuk membina keyakinan diri sepanjang PLKN walaupun terpaksa berjauhan dari keluarga. Foto: Air Times/Zul Fadhli
Ibunya, Lim Chiw Shi, 38, turut menyatakan rasa bimbang, namun yakin dengan perjalanan program tersebut setelah menjejak kaki ke Kem Rej 515 AW ini.
“Saya risau, tapi bila tengok kem ini teratur dan bersih, saya lega. Lagipun anak saya memang aktif di sekolah,
“Dia minat kawad, sukan dan ramai kawan. Siapa tahu, ini mungkin jadi titik tolak untuk dia masuk pasukan keselamatan nanti,” ujar ibunya.
PLKN 3.0 bukan sekadar program latihan tetapi merupakan gerakan akar umbi membina warganegara yang utuh, memahami tanggungjawab terhadap tanah air dan sesama rakyat.
Ia menjadi medan penyatuan kepelbagaian agama, kaum dan budaya dalam satu barisan yang teguh.
Daripada pelatih sukarela seperti Adila, kepada mereka yang terpilih secara automatik seperti Manissa dan Evelyn, serta yang mengambil masa untuk yakin seperti Ivyanna, semuanya kini bersatu di bawah satu semangat: Satu Bangsa, Satu Latihan.
Seramai 344 orang pelatih telah melapor diri di dua kem Askar Wataniah pada Ahad lalu adalah satu langkah penting dalam kesinambungan PLKN yang kini memasuki fasa pelaksanaan dengan modul baharu yang lebih tersusun dan inklusif.
Seramai 206 pelatih lelaki ditempatkan di Kem Rejimen 505 (AW), Pekan, Pahang, manakala 138 pelatih wanita memulakan latihan di Kem Rejimen 515 (AW), Jalan Buku Lima, Kuala Lumpur.
Latihan selama 45 hari ini mungkin singkat, namun kesannya dijangka berkekalan bagi membentuk pemimpin masa depan, anggota keselamatan, dan warganegara yang bertanggungjawab serta cintakan tanah air.
Satu bangsa. Satu latihan. Inilah wajah baharu belia Malaysia.– airtimes.my
#AirTimes #PLKN3.0 #JLKN #SatuBangsaSatuLatihan #BeliaMalaysia #Malaysia #AskarWataniah