Home SemasaTragedi FRU: Pemandu, syarikat lori perlu bertanggungjawab – Zahid Hamidi

Tragedi FRU: Pemandu, syarikat lori perlu bertanggungjawab – Zahid Hamidi

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa tanggungjawab terhadap nahas yang meragut sembilan nyawa anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak bukan sahaja terletak di bahu pemandu lori, malah pemilik syarikat kenderaan turut perlu dipertanggungjawabkan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lori yang terlibat mengalami kerosakan sistem stereng, dan kerosakan itu boleh dielakkan sekiranya kenderaan terbabit menjalani pemeriksaan secara berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

“Tidak seharusnya berlaku jika kenderaan itu telah melalui ujian Puspakom. Untuk itu, kita bukan hanya meletakkan tanggungjawab kepada pemandu lori tetapi tuan punya syarikat juga harus dipertanggungjawabkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR), hari ini.

Tragedi menyayat hati itu berlaku pada jam 8.50 pagi tadi apabila trak membawa 18 anggota FRU termasuk pemandu bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan.

Ketika kejadian, kesemua 18 anggota FRU termasuk pemandu terbabit sedang dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas menamatkan penugasan operasi Op Chariot sempena sambutan Hari Wesak semalam, di Teluk Intan.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan siasatan menyeluruh akan dijalankan berhubung kes kemalangan maut terbabit.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, siasatan juga akan memberi tumpuan kepada dakwaan bahawa lori berkenaan mengelak kenderaan lain sebelum hilang kawalan dan merempuh trak FRU terbabit.

Bagaimanapun, beliau menasihati semua pihak supaya tidak membuat sebarang andaian, sebaliknya memberi laluan kepada polis untuk melaksanakan siasatan itu.-airitmes.my

#semasa #airtimes #kemalangan #FRU #PDRM #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply