Home SemasaMERS-CoV ragut 2 nyawa, WHO seru peningkatan kawalan menjelang musim haji

MERS-CoV ragut 2 nyawa, WHO seru peningkatan kawalan menjelang musim haji

by Suraya Aziz
A+A-
Reset

RIYADH, 13 MEI – Kementerian Kesihatan Arab Saudi (MoH) melaporkan 2 kematian daripada 9 kes jangkitan Sindrom Pernafasan Timur Tengah Koronavirus (MERS-CoV), yang dikesan antara 1 Mac hingga 21 April 2025.

Situasi ini menimbulkan kebimbangan menjelang musim haji yang bakal menyaksikan kehadiran jutaan jemaah dari seluruh dunia, termasuk Malaysia, ke Tanah Suci.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tujuh daripada kes tersebut berkait rapat dalam satu kluster jangkitan di ibu negara Riyadh, melibatkan enam petugas kesihatan yang dipercayai dijangkiti ketika merawat seorang pesakit.

“Antara 1 Mac hingga 21 April 2025, Kementerian Kesihatan (MoH) Kerajaan Arab Saudi (KSA) telah melaporkan sembilan kes jangkitan Sindrom Pernafasan Timur Tengah Koronavirus (MERS-CoV). Dua daripada kes ini telah meninggal dunia,

“Daripada jumlah itu, tujuh kes dikesan dalam satu kelompok jangkitan di ibu negara, melibatkan 6 petugas kesihatan dan penjagaan yang dipercayai dijangkiti ketika merawat seorang pesakit. 4 daripada mereka tidak menunjukkan sebarang gejala, manakala 2 lagi mengalami gejala ringan seperti sakit otot dan loya. Kes-kes ini dikenal pasti hasil usaha pengesanan kontak dan ujian susulan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, meskipun perkembangan ini tidak mengubah penilaian risiko global dan serantau yang kekal pada tahap sederhana, WHO berkata, MERS-CoV masih merupakan ancaman kesihatan awam, khususnya di kawasan yang mempunyai populasi unta Arab sebagai perumah semula jadi.

Sehubungan itu, pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan jangkitan (IPC) yang berfokus amat penting bagi membendung penularan virus ini, terutamanya dalam fasiliti kesihatan.

“Semua negara perlu memperkukuh pengawasan terhadap jangkitan pernafasan akut dan mempercepat pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan jangkitan (IPC). Individu yang menghidap penyakit kronik dinasihatkan mengelakkan kontak rapat dengan unta dan tidak meminum susu mentah atau memakan daging tidak dimasak sempurna,” tambah kenyataan itu.

Setakat ini, WHO tidak mengesyorkan pelaksanaan sekatan perjalanan atau saringan di pintu masuk negara. Namun, risiko eksport jangkitan melalui pelancong atau jemaah yang terdedah kepada virus dari Timur Tengah dijangka terus meningkat.

MERS-CoV pertama kali dikenal pasti di Arab Saudi pada tahun 2012 dan sejak itu telah merebak ke 27 buah negara dengan sejumlah 2,627 kes dilaporkan. Daripada jumlah itu, Arab Saudi mencatat 84 peratus kematian global yang berkaitan dengan virus berkenaan.

MERS-CoV dipercayai ditularkan daripada unta kepada manusia secara langsung atau tidak langsung, dan boleh merebak antara manusia, terutamanya dalam persekitaran penjagaan kesihatan. Virus ini boleh menyebabkan jangkitan pernafasan serius termasuk radang paru-paru serta kegagalan organ.

Malah sehingga saat ini, tiada vaksin atau rawatan khusus untuk MERS-CoV sudah tersedia melainkan rawatan sokongan berdasarkan tahap ketenatan pesakit. -airtimes.my

#AirTimes #Unta #MERS-CoV #WHO #Haji

Related Articles

Leave a Reply