LANGKAWI, 25 Mei – “Berani, ada minat dan kerja keras untuk capainya,” itu antara kata-kata semangat daripada Ketua Pasukan Aerobatik Kebangsaan Krisakti, Datuk Halim Othman, kepada orang ramai yang ingin mengikuti jejak langkah beliau dalam dunia aerobatik.
Pada usia 59 tahun, beliau masih memecut dilangit, melakukan formasi ekstrem pada ketinggian ribuan kaki dari paras laut dan darat.
Dikenali dengan gelaran ‘TooGoo’, beliau bukan sekadar membuktikan bahawa usia hanyalah angka, malah memperlihatkan bagaimana keberanian, latihan berterusan dan minat yang mendalam menjadi asas utama dalam kerjaya berisiko tinggi ini.

Pasukan Aerobatik Kebangsaan Krisakti, Datuk Halim Othman berkata, pengalaman dan kemahiran penerbangan ketika berkhidmat dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) harus diteruskan. Foto: AirTimes/Zul Fadhli
Bagi Halim, segala-galanya bermula dengan keberanian untuk mencuba dan minat yang tidak pernah pudar.
“Kemahiran terbang yang diberikan oleh TUDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sangat bernilai,
“Saya rasa saya belum puas ketika berkhidmat dahulu. Jadi, saya kembali terbang, kali pertama di Amerika Syarikat dengan pesawat aerobatik Extra 300,
“Kalau takut, memang tak bolehlah. Kita terbang sangat rendah. Itu sebab saya kata – ‘ball of steel’,” ujarnya, merujuk kepada mentaliti teguh yang perlu ada dalam kalangan juruterbang aksi.
Tambah beliau, semangat itu ibarat enjin permulaan dalam dunia aerobatik yang penuh cabaran, dan hanya mereka yang benar-benar ingin berjaya sanggup teruskan meskipun berdepan risiko tinggi.
Meskipun usia memisahkan beliau daripada ramai juruterbang muda, semangat dan disiplin yang dimiliki menjadi contoh buat generasi baharu.
“Kalau minat ada, latihlah hati supaya kuat. Sebab ini bukan kerja biasa. Kita melawan graviti, kita lawan rasa takut,” katanya penuh makna.
Halim telah melakukan persembahan manuaver pesawat Propeller X-300 bersama dengan rakan sepasukannya Mark Jefferies pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa 2025 (LIMA’25).

Datuk Halim melakukan persembahan bersama rakan sepasukan Mark Jefferies dengan pesawat propeller X-300 pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25). Foto: AirTimes/ZulFadhli
Aksi yang memukau daripada gandingan dua lagenda ini telah berjaya menarik perhatian penonton yang hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
Selain itu, buat kali pertama di Malaysia, pasukan Krisakti akan mengadakan pertunjukan khas ketika matahari terbenam, menggunakan kesan khas yang diimport dari China.
“Kita berjaya untuk kali pertama (penerbangan senja) dan berharap dapat laksanakan di masa akan datang dan ia boleh dijadikan sebahagian daripada persembahan LIMA,
“Terdapat banyak feedback dari orang ramai yang ingin lagi (penerbangan malam),” ujarnya lagi.

Krisakti menampilkan beberapa aksi baharu termasuk cutwind dan frisbee boomerang dengan pesawat propeller X-300. Foto: AirTimes/ZulFadhli
LIMA ‘25 anjuran bersama Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC) bertemakan Inovasi Hari Ini, Pencapaian Masa Hadapan, menekankan aspek inovasi serta daya saing dalam kalangan pemain industri maritim dan aeroangkasa.
Pameran dwitahunan yang berlangsung di Langkawi, Kedah pada 20 hingga 24 Mei ini, merupakan pameran terbesar dalam industri maritim dan aeroangkasa di Asia Tenggara sejak dianjurkan pada 1991. -airtimes.my
#AirTimes #Aeroangkasa #Krisakti #LIMA2025