Home Pertahanan dan KeselamatanPLKN 3.0 terus dapat sambutan, siri kedua sasar lebih 500 peserta

PLKN 3.0 terus dapat sambutan, siri kedua sasar lebih 500 peserta

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Seramai 550 remaja lelaki dan wanita dijadual melapor diri hari ini bagi menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri Kedua yang bermula serentak di dua lokasi latihan utama.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran (Bersara), berkata pendaftaran melibatkan 350 remaja lelaki di Rejimen 505 Askar Wataniah, Pekan, Pahang, manakala 200 remaja wanita mendaftar di Rejimen 515 Askar Wataniah, Jalan Buku Lima, Kuala Lumpur.

“Ini adalah hari pertama mereka melapor diri. Latihan ini dijangka berlangsung selama lebih sebulan dan akan tamat pada 24 Jun 2025,

“Pendaftaran masih berjalan dan kita beri tempoh dua hingga tiga hari untuk peserta melengkapkan kehadiran, khususnya bagi mereka yang datang dari jauh atau mempunyai halangan tertentu,” katanya ketika ditemui ketika meninjau sesi pendaftaran PLKN 3.0 Siri 2 di Rejimen 515  Askar Wataniah, hari ini.

PLKN 3.0 yang dilancarkan semula pada Februari lalu menyasarkan remaja berumur antara 17 hingga 35 tahun, dengan objektif utama memperkukuh jati diri, semangat patriotisme, ketahanan fizikal dan disiplin menerusi pendekatan latihan separa ketenteraan dan modul kendiri.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran (Bersara) ketika meninjau sesi pendaftaran Program Khidmat Negara (PLKN) 3.0 siri 2 di Rejimen 515 Askar Wataniah, hari ini. Foto: AirTimes/Zulfadhli

Menurut Ya’cob, latihan dijalankan secara pengasingan jantina namun menggunakan modul latihan yang sama, dengan penekanan terhadap latihan amali dan pengukuhan sahsiah yang telah ditambah baik berbanding versi terdahulu PLKN.

“Cuma lokasi berbeza untuk lelaki dan perempuan. Modulnya sama, cuma pendekatan lebih amali. Ini hasil penambahbaikan selepas kita kaji keberkesanan program sebelum ini,” ujarnya lagi.

Beliau turut menggalakkan remaja yang tidak terpilih secara automatik melalui sistem, tetapi berminat untuk menyertai, agar hadir secara sukarela selagi tempat masih ada.

“Kita tetap terima penyertaan sukarela. Hari ini sahaja kita terima lebih 30 peserta walk-in. Mereka berminat walaupun tidak terpilih, malah ada yang digalakkan oleh ibu bapa sendiri. Ini menunjukkan keyakinan masyarakat terhadap keberkesanan PLKN 3.0,” jelasnya.

Peserta wanita yang menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 siri ke-2 telah hadir seawal jam 7.30 pagi di Kem 515 Askar Wataniah, bagi sesi pendaftaran. Foto: AirTimes/ZulFadhli

Katanya lagi, PLKN akan melaksanakan Siri Ketiga pada bulan September ini dan menyarankan mereka yang telah dicalonkan supaya membuat persiapan awal.

PLKN 3.0 merupakan kesinambungan kepada inisiatif asal yang pernah dihentikan pada 2018, namun kini diperkenalkan semula dengan pendekatan lebih tersusun, inklusif serta selaras dengan kehendak semasa negara dalam membentuk warga muda yang berdaya tahan dan berwawasan.airtimes.my

#pertahanan #PLKN #khidmatnegara #airtimes #Malaysia

 

Related Articles

Leave a Reply