Home SemasaAgong, Raja Permaisuri zahir takziah kepada keluarga mangsa nahas FRU di Perak

Agong, Raja Permaisuri zahir takziah kepada keluarga mangsa nahas FRU di Perak

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan rasa dukacita serta mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa nahas jalan raya yang melibatkan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak, hari ini.

“Sungguh menyedihkan. Saya dan isteri saya mengucapkan takziah kepada semua keluarga yang kehilangan ahli mereka dalam tragedi ini,” titah Seri Paduka Baginda menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi media sosial Facebook baginda.

Baginda berdua turut mendoakan agar roh semua mangsa yang terkorban diberkati dan dirahmati Allah SWT, serta berharap agar seluruh keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi saat duka ini.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 10 anggota FRU disahkan terkorban selepas kenderaan yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam, awal pagi tadi.

Difahamkan, semasa kejadian, kesemua anggota FRU termasuk pemandu sedang dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas menamatkan penugasan Operasi Chariot sempena sambutan Hari Wesak di Teluk Intan, semalam.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori FRU yang membawa anggota termasuk pemandu bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu dari arah bertentangan, mengakibatkan sebahagian mangsa tersepit dan mengalami kecederaan parah.

Sehingga kini, identiti mangsa belum didedahkan dan pihak berkuasa masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar nahas. Laluan berkenaan turut ditutup sementara bagi memberi ruang kepada pasukan penyelamat melaksanakan operasi menyelamat.– airtimes.my

#AirTimes #YDPAgong #RajaPermaisuriAgong #FRU #PolisDirajaMalaysia

Related Articles

Leave a Reply