LONDON, 13 MEI – Mahkamah di London pada Isnin, telah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun lapan bulan terhadap ketua rangkaian pengintip Rusia di Britain, Orlin Roussev, 47, atas kesalahan konspirasi mengintip bagi pihak Kremlin, manakala lima anggota pasukannya turut dipenjara dengan jumlah keseluruhan kira-kira 40 tahun.
Roussev mengaku bersalah sebelum perbicaraan selepas pihak polis menemui ribuan mesej antara beliau dengan pelarian Wirecard, Jan Marsalek, yang didakwa mengarahkan operasi tersebut dari luar negara.
Menurut pendakwaan, Roussev memimpin unit yang dianggotai enam warga Bulgaria, bagi menjalankan pemantauan terhadap wartawan, penentang kerajaan dan tentera Ukraine yang sedang dilatih di pangkalan tentera Amerika Syarikat di Jerman, sekaligus menyifatkan sebagai ancaman serius terhadap keselamatan negara Britain.
Susulan, siasatan mendapati Roussev dan Marsalek sering berhubung melalui mesej bagi membincangkan pelbagai rancangan berkaitan perisikan Rusia, penghantaran dron, urus niaga senjata ke Cameroon, serta operasi keluar dari Kabul ketika Taliban menawan Afghanistan pada 2021.
Pada masa sama, Marsalek, yang juga bekas Ketua Pegawai Operasi syarikat Wirecard, masih diburu oleh pihak berkuasa Jerman dan dipercayai bersembunyi di Rusia.
Bagaimanapun, pihak Kremlin menafikan sebarang penglibatan dalam kegiatan pengintipan tersebut.
Sementara itu, Pendakwa raya mendedahkan kumpulan ini tidak beroperasi secara langsung dengan agensi perisikan Rusia, sebaliknya lebih bermotifkan ganjaran kewangan.
Menurut kenyataan lagi, antara operasi yang dirancang termasuk cubaan memintas isyarat telefon mudah alih di Patch Barracks, Stuttgart, di mana tentera Ukraine dipercayai menjalani latihan penggunaan peluru berpandu Patriot.
Sejak tercetusnya perang Ukraine, hubungan Britain dan Rusia terus merosot dengan London menuduh Moscow cuba mencetuskan ketegangan di Eropah melalui operasi risikan dan sabotaj. -airtimes.my
#Airtimes #Perisikan #Rusia #Kremlin #London