Home SemasaKes dadah menurun 10.5 peratus, KDN perkenal analisis AI untuk cegah awal

Kes dadah menurun 10.5 peratus, KDN perkenal analisis AI untuk cegah awal

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Jumlah pengguna dadah di seluruh negara mencatatkan penurunan kira-kira 10.5 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama pada 2024.

 Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan data Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), sebanyak 60,000 penagih baharu direkodkan daripada keseluruhan 108,000 kes setakat Mac 2025.

Menurut beliau, angka itu mencatatkan penurunan ketara berbanding 121,000 penagih baharu yang direkodkan dalam suku pertama tahun 2024.

“Ini adalah hasil daripada penutupan pintu masuk sempadan haram atau jalan tikus yang merupakan saluran utama kemasukan dadah,

“Seperti anda semua sedia maklum, kami (KDN) melancarkan kempen penguatkuasaan dan memperhebatkan program kesedaran kerana data menunjukkan empat negeri berhampiran sempadan iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis merupakan penyumbang terbesar angka itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Perhimpunan Bulanan KDN di Dewan Setia Perkasa, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kejayaan menurunkan angka itu turut disumbangkan daripada penggunaan teknologi data.

Sehubungan itu, katanya, KDN akan menjalinkan kerjasama rentas agensi termasuk bersama Pusat Geospatial Negara dalam usaha memetakan kawasan berisiko serta melaksanakan tindakan pencegahan yang lebih bersasar.

Saifuddin menambah, kerjasama ini membolehkan data berkaitan penagihan dadah dianalisis secara lebih sistematik, menyeluruh dan berpandukan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Kerjasama ini adalah untuk membangunkan aplikasi pelaporan dan analisis AADK secara bersepadu berasaskan spatial,

“Kita tidak lagi hanya mengumpul data secara manual, tetapi melalui teknologi ini kita boleh menghasilkan model ramalan atau predictive model bagi mengenal pasti kawasan berisiko tinggi sebelum kes berlaku,” ujarnya lagi,

Beliau menjelaskan, data dadah nasional ketika ini digabungkan daripada empat sumber utama iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia, Bahagian Narkotik Bukit Aman, AADK, dan pusat pemulihan swasta.

 

Related Articles

Leave a Reply