LENGGONG, 13 MEI – Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan terperinci atas nahas yang mengorbankan anggota Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (FRU), melibatkan sebuah trak FRU dengan lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan pagi ini.
Timbalan Menteri KDN, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, siasatan oleh pihak Polis itu bagi mengenal pasti punca kejadian yang telah meragut nyawa beberapa anggota pasukan FRU.
“Saya juga yakin bukan hanya siasatan malah pihak polis juga akan membantu mengambil langkah sewajarnya dalam soal kebajikan mereka,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pengoperasian Pondok Polis Sementara Kampung Beng di sini.
Sehubungan itu, beliau turut merakamkan ucapan takziah dan mengharapkan semua ahli keluarga mangsa terkorban tabah dan sabar dalam menghadapi dugaan yang berlaku ini.