KUALA LUMPUR, 11 Mei – “Saya rasa saya yang paling tua sebab ramai daripada mereka yang berusia 17, 18 tahun,” luah Seow Mei Xue, 25 dari Sri Kembangan, yang tampil berani menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2/2025 meskipun majoriti peserta lain berusia belasan tahun.
Menurut Mei Xue, penyertaannya ini didorong oleh keinginan untuk merasai sendiri pengalaman latihan dan membuktikan bahawa stereotaip terhadap PLKN tidak semestinya benar.
“Saya berminat untuk mengalami sesuatu yang baru kerana banyak stereotaip di sini. Jadi, saya ingin mengalami, adakah ia benar atau salah,” katanya ketika ditemui Air Times semasa sesi pendaftaran PLKN 3.0 Siri 2 di Rejimen 515 Askar Wataniah, hari ini.

Selepas bertahun-tahun, semangat yang bersinar ketika ditemui pemberita. Mei Xue, bukti keazaman muda. Foto:AirTimes
Bagi Mei Xue, pengalaman ini merupakan satu cara untuk melangkah keluar dari zon selesa dan menyahut cabaran untuk merasai dunia ketenteraan.
Selain itu, Mei Xue turut berharap dapat menaikkan lagi semangat patriotisme dan bekerjasama dengan kaum yang lain serta menciptakan satu pengalaman yang tidak mudah untuk didapatkan sebelum ini.
“Semangat patriotisme, bekerjasama dengan bangsa lain dan juga pengalaman seperti latihan yang tidak biasa dalam hidup,” ujarnya penuh semangat.
Dengan semangat yang luar biasa untuk meneruskan perjuangan ini, Mei Xue menunjukkan bahawa semangat patriotisme dan keinginan untuk berbakti kepada negara tidak mengenal usia.
Kedua ibu bapa Mei Xue, turut menyokong semangat anak perempuannya itu yang juga bakal graduan di Universiti of Cyberjaya pada bulan November ini.

Sokongan keluarga, semangat yang tidak berbelah bahagi. Perjalanan seorang wanita muda ke PLKN 3.0, didorong oleh kasih sayang dan keazaman. Foto:AirTimes
“Kalau awak suka, awak pergilah. Beri awak pengalaman,” ujar ibunya, Heng Ah Mooi, 59, yang menyatakan sokongan penuh terhadap penyertaan anaknya dalam PLKN 3.0.
Mei Xue turut menjelaskan, beliau tidak dapat menyertai pada siri sebelumnya kerana belum mencapai batas usia yang ditetapkan untuk menyertai PLKN dan program ini pernah ditangguhkan ketika pandemik COVID-19.
Namun, Mei Xue tetap bersemangat untuk menyertai latihan ini selepas habis pengajianya di Universiti of Cyberjaya.
“Jadi, dulu umur saya pun belum sampai, umur yang boleh masuk PLKN. Lepas itu, saya teruskan pengajian di universiti untuk sambung belajar. Sekarang saya dah tamat pengajian, jadi saya boleh sertai program ini,” ujarnya.
Mie Xue merupakan salah seorang daripada 134 pelatih wanita yang melapor diri di Kem Rejimen 515 (AW), untuk menyertai latihan PLKN 3.0 Siri 2/2025, hari ini.
Latihan PLKN 3.0 Siri 2/2025 yang berlangsung selama 45 hari, bermula pada 11 Mei hingga 24 Jun, menggabungkan elemen kenegaraan dan asas ketenteraan.
Jabatan Latihan Khidmat Negara (PLKN) dalam kenyataan memaklumkan, seramai 344 pelatih yang melapor diri, iaitu 206 pelatih lelaki di Kem Rejimen 505 (AW), Pekan dan 134 pelatih wanita di Kem Rejimen 515 (AW), Kuala Lumpur.
Dalam tempoh ini, peserta akan dilatih melalui pelbagai modul yang dapat memperkasa semangat kesukarelawan serta kemahiran ketenteraan asas.– airtimes.my
#AirTimes #Pertahanan #PLKN3 #AnakMudaMalaysia #Malaysia