Home Pertahanan dan KeselamatanTentera LautLCS 2 sedia dilancar – Penurunan pertama ke air selesai dilaksana

LCS 2 sedia dilancar – Penurunan pertama ke air selesai dilaksana

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS) mencatat satu lagi kejayaan penting dalam pembangunan projek Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) apabila menyelesaikan Sesi Penandatanganan Senarai Semak Keselamatan Downslip bagi LCS 2, sekali gus membuka jalan kepada penurunan teknikal kapal ke dalam air pada hari yang sama.

Sesi ini dilaksanakan dengan tujuan utama untuk mengesahkan tahap keselamatan, integriti struktur dan kesediaan teknikal kapal sebelum ia menjalani proses downslip – fasa penting yang menandakan peralihan kapal dari peringkat pembinaan darat ke persekitaran operasi sebenar di dalam air.

Menerusi hantaran di media sosial, LUNAS menjelaskan, sesi tersebut berlangsung pada 8 Mei lalu dan berjaya mematuhi semua piawaian keselamatan yang ditetapkan, menggambarkan komitmen tinggi terhadap ketepatan, akauntabiliti serta kerjasama pasukan dalam pembinaan kapal kombat tepi pantai ini.

“Penandatanganan Senarai Semak Keselamatan Downslip memainkan peranan penting dalam menjamin bahawa setiap elemen struktur dan sistem kapal berada pada tahap optimum, sebelum LCS 2 secara rasmi memasuki fasa pelayaran laut akan datang,” menurut hantaran itu.

Penurunan teknikal (technical downslip) kemudiannya dilaksanakan pada tengah hari, 8 Mei, di Limbungan Lumut, menandakan kemasukan pertama LCS 2 ke dalam air, satu penanda aras penting dalam kemajuan pembinaan kapal tempur tercanggih Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) setakat ini.

Projek LCS, yang menggunakan reka bentuk Gowind® 2500 korvet hasil kerjasama dengan Naval Group Perancis, merupakan antara program pertahanan maritim terbesar negara.

LCS 2 adalah sebahagian daripada enam buah kapal yang dirancang di bawah projek ini, dengan keupayaan pelbagai misi termasuk peperangan anti-permukaan, anti-udara dan anti-kapal selam.

LUNAS turut menegaskan bahawa kejayaan ini memperkukuh lagi misi mereka dalam ‘mendefinisikan kecemerlangan’ melalui disiplin kejuruteraan ketenteraan, pematuhan piawaian antarabangsa, dan pembangunan sumber manusia tempatan yang kompeten.

Projek LCS sebelum ini berdepan pelbagai cabaran dari segi kelewatan dan tadbir urus, namun sejak penstrukturan semula kontrak dan penyusunan semula jadual pelaksanaan, fasa pembinaan kembali ke landasan lebih teratur.

LCS 1 telah dilancarkan secara rasmi pada 23 Mei 2024, manakala LCS 2 dijangka dilancarkan dalam tempoh terdekat selepas pelaksanaan downslip ini.-airtimes.my

#pertahanan #Lunas #TLDM #LCS #kapaltempur #airtimes

Related Articles

Leave a Reply