SAGAING, MYANMAR, 11 Mei – Kecekapan dan kepakaran pasukan perubatan Hospital Medan Malaysia (HMM) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menyelamatkan nyawa seorang pesakit lelaki tempatan dalam satu pembedahan kecemasan berisiko tinggi di Wilayah Sagaing, Myanmar.
Pesakit, U Myo Thien, 43, tiba di HMM dalam keadaan kritikal dengan simptom akut pada bahagian abdomen.
Pemeriksaan lanjut mendapati beliau turut menghidap masalah jantung lemah dan penyakit hati kronik, menjadikan keadaan semakin membimbangkan.
Komander HMM, Kolonel (Dr) Ahmad Farhan Ahmad Fuad berkata, satu pembedahan segera telah dilaksanakan oleh pasukan perubatan HMM yang diketuai Pakar Bedah, Mejar (Dr) Azrul Aminur Rashid Yunus dan Pakar Bius, Leftenan Kolonel (Dr) Md Ariff Md Yusof.
“Pembedahan selama satu jam itu berjaya mengesan masalah Acute Meckel’s Diverticulitis, iaitu kondisi kongenital jarang berlaku yang melibatkan usus kecil dan hanya menjejaskan kira-kira dua peratus populasi dunia,” jelasnya.
Turut terlibat dalam prosedur pembedahan ialah Pembantu Bedah, Sarjan Mohd Kasirun Kahlib dan Pembantu Bius, Sarjan Muhamad Aznan Amerudin.
Pesakit kemudian dipantau rapi di Unit Rawatan Rapi HMM sebelum dipindahkan ke Hospital Sagaing untuk rawatan lanjut oleh pakar kardiologi dan nefrologi.
“Lawatan susulan ke hospital tersebut mendapati pesakit menunjukkan pemulihan memberangsangkan, hanya mengalami kesakitan ringan dan sudah boleh mengambil makanan serta minuman,” ujar Dr Ahmad Farhan lagi.
Pesakit tersebut telah dibenarkan keluar hospital selepas lima hari dan hadir ke temu janji susulan di HMM dalam keadaan stabil serta mampu berjalan dan makan seperti biasa.
“Kes ini menjadi bukti nyata kerjasama erat antara Malaysia dan Myanmar dalam misi kemanusiaan, selain mencerminkan profesionalisme serta komitmen ATM dalam membantu mangsa bencana,” kata Dr Farhan.
Pesakit turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, ATM dan pasukan HMM atas bantuan perubatan yang telah menyelamatkan nyawanya.-airtimes.my
#pertahanan #hosiptalmedan #HMM #Myanmar #Malaysia #ATM #KKD #airtimes