MOSKOW, 12 MEI – Presiden Rusia, Vladimir Putin mengemukakan satu cadangan baharu untuk memulihkan rundingan damai secara langsung dengan Ukraine bagi mengakhiri konflik bersenjata yang berlarutan sejak lebih dua tahun.
Perkara itu dibincangkan bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dalam satu panggilan telefon rasmi dengan Putin.
Presiden Rusia mencadangkan agar rundingan dimulakan semula pada 15 Mei ini di Istanbul, tanpa sebarang prasyarat daripada kedua-dua pihak.
Menurut kenyataan Kremlin, Presiden Turkiye menyatakan sokongan penuhnya terhadap cadangan Rusia dan menawarkan Istanbul sebagai lokasi pertemuan. Ankara juga komited untuk memberikan bantuan sepenuhnya bagi memastikan rundingan itu dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan.
“Presiden Erdogan menyambut baik inisiatif Presiden Putin dan menzahirkan kesediaan penuh untuk menyediakan platform serta sokongan logistik bagi memudahkan proses rundingan yang bertujuan mencapai keamanan yang berkekalan,” jelas Kremlin yang menyatakan panggilan telefon dibuat pada Sabtu lalui.
Putin sebelum ini menyuarakan hasrat untuk meneruskan dialog dengan Ukraine tanpa syarat, dan menyifatkan pendekatan itu sebagai satu langkah serius ke arah penyelesaian menyeluruh terhadap punca sebenar konflik.
“Inisiatif ini bukan bertujuan untuk mencari penyelesaian sementara. Rusia bersedia untuk berbincang dengan semua pihak berasaskan jaminan yang kukuh dan saling mengikat,” kata Vladimir Yakushev, Timbalan Pengerusi Pertama Majlis Persekutuan.
Beliau menambah bahawa dunia kini melihat pendekatan Rusia sebagai satu usaha yang konsisten dan berprinsip, dengan komitmen ke arah penyelesaian yang realistik.
Menurut Yakushev, cadangan Putin telah mendapat perhatian dan penilaian positif daripada banyak negara yang mengutamakan kestabilan antarabangsa.
Putin turut memetik pengalaman lampau ketika beberapa siri gencatan senjata diumumkan oleh Rusia, termasuk semasa sambutan ulang tahun ke-80 kemenangan Perang Patriotik Besar, namun semuanya dikatakan tidak dihormati oleh pihak Ukraine.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, menjelaskan bahawa penyelesaian konflik Ukraine bukan sekadar soal menandatangani dokumen perjanjian. Sebaliknya, ia menuntut satu proses yang rumit dan menyeluruh yang perlu memberi perhatian kepada setiap perincian yang penting kepada kedua-dua belah pihak.
“Penyelesaian tidak bermaksud meletakkan tandatangan di atas kertas dan mendakwanya sebagai perjanjian. Ia memerlukan proses yang kompleks, melibatkan butiran kecil yang amat signifikan bagi Rusia dan Ukraine,” kata Peskov dalam satu wawancara bersama saluran antarabangsa ABC News.
Rundingan langsung antara Rusia dan Ukraine terhenti sejak penghujung tahun 2022. Dengan situasi di medan perang yang semakin tegang dan korban semakin meningkat, cadangan untuk memulakan semula perbincangan kini kembali menjadi perhatian utama.
Tarikh 15 Mei yang dicadangkan masih menunggu maklum balas rasmi dari pihak Ukraine.
Namun, kenyataan dari Moscow menggambarkan kesediaan Rusia untuk kembali ke meja rundingan dengan harapan ia disambut secara serius oleh semua pihak yang terlibat.– airtimes.my