MILAN, 12 MEI – Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, memulakan lawatan kerja rasmi dua hari ke Republik Itali.
Dalam rangka lawatannya, Menteri Pertahanan akan meninjau kemajuan pembinaan pesawat rondaan maritim (MPA) milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sedang dibangunkan oleh syarikat pertahanan Itali, Leonardo S.p.A.
“Lawatan industri ini memberi peluang kepada Malaysia untuk menilai kemajuan projek penting ini secara dekat serta memperkukuh hubungan pertahanan dua hala bersama Itali,” kata Khaled dalam satu hantaran di akaun media sosial rasmi beliau.
Beliau akan melawat ke fasiliti Leonardo Caselle Nord di Turin, di mana pesawat MPA Fasa 1 untuk TUDM sedang dibina. Dua pesawat tersebut merupakan sebahagian daripada perolehan yang dimeterai antara Malaysia dan Leonardo pada tahun 2023.
Kedua-duanya dijangka siap dan diserahkan kepada TUDM menjelang tahun hadapan.
Lawatan ini merupakan kunjungan pertama beliau ke Itali sejak dilantik menerajui Kementerian Pertahanan.
Turut mengiringi beliau dalam lawatan ke Itali ialah Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Mohd Yani Daud.
Pesawat MPA merupakan aset penting bagi memperkukuh keupayaan pemantauan maritim Malaysia, khususnya dalam menangani cabaran keselamatan di kawasan Zon Maritim Malaysia dan Laut China Selatan.
Perolehan ini turut dilihat sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang Malaysia untuk memodenkan aset TUDM secara berfasa.
Selepas melengkapkan lawatan di Itali, Khaled dijadual berlepas ke Berlin pada Isnin bagi menghadiri United Nations Peacekeeping Ministerial 2025 yang akan berlangsung pada 13 dan 14 Mei di Republik Persekutuan Jerman.– airtimes.my