LANGKAWI, 12 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA 2025) merupakan platform strategik bagi memperkukuh kedudukan Malaysia dalam bidang teknologi maritim dan aeroangkasa.
Tegasnya, dengan menghimpunkan pemain utama dalam sektor pertahanan dan penerbangan komersial, pameran ini turut merangsang kerjasama global antara sektor awam, swasta termasuk institusi pendidikan.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Perdana Menteri menyifatkan penganjuran edisi ke-17 pameran dwitahunan itu sebagai bukti komitmen Malaysia untuk muncul sebagai hab teknologi dan inovasi di peringkat serantau dan antarabangsa.
“LIMA 2025 bukan sekadar pameran aset dan teknologi, tetapi medan strategik untuk membina kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi pendidikan,
“Ia menghimpunkan pemain utama dalam sektor pertahanan dan penerbangan komersial termasuk bidang MRO, IoT, satelit dan teknologi angkasa,” jelasnya.
LIMA 2025 dijadual berlangsung pada Mei 2025 di Langkawi dengan tema ‘Innovate Today, Thrive Tomorrow’.
Ia akan menghimpunkan penyertaan ratusan syarikat tempatan dan antarabangsa serta menampilkan demonstrasi udara dan maritim, forum industri, persidangan teknologi dan sesi padanan perniagaan.
Anwar turut mengarahkan agar penganjuran kali ini memberi fokus kepada pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar mampu menembusi pasaran global menerusi inovasi produk dan teknologi buatan tempatan.
“LIMA juga akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negara melalui tarikan pelaburan langsung asing (FDI), selain merancakkan pelancongan dan perdagangan luar negara,
“Perdana Menteri turut mendoakan agar semua urusan persediaan berjalan lancar,” jelanya lagi.
Penganjur LIMA 2025 menyasarkan peningkatan dalam jumlah penyertaan berbanding edisi 2023, yang menyaksikan kehadiran lebih 400 syarikat dari lebih 30 negara, termasuk peserta utama dari Eropah, Asia Barat dan Amerika Syarikat.
Antara tarikan utama adalah demonstrasi udara oleh pasukan aerobatik antarabangsa dan pameran aset laut canggih oleh pelbagai angkatan tentera laut.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1991, LIMA telah berkembang menjadi salah satu pameran industri pertahanan dan aeroangkasa paling berprestij di Asia Pasifik.
Ia bukan sahaja platform dagangan, malah berfungsi sebagai medan diplomasi pertahanan, pertukaran teknologi serta pembinaan rangkaian strategik antara negara dan industri.
Perdana Menteri turut mengalu-alukan kehadiran pelabur, pempamer serta pengunjung dari dalam dan luar negara bagi menjayakan LIMA 2025, yang dijangka menjadi antara edisi paling signifikan dalam sejarah penganjurannya.-airtimes.my
#semasa #LIMA25 #Langkawi #anwar #Malaysia #airtimes