IPOH, 31 Ogos – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung satu insiden melibatkan seorang wanita yang secara tiba-tiba menceroboh pentas utama semasa acara Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak yang berlangsung pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Perak, CP Dato’ Noor Hisam bin Nordin, kejadian berlaku kira-kira jam 8.20 pagi ketika lagu Kebesaran Negeri Perak sedang berkumandang.
“Suspek, seorang wanita tempatan berusia 41 tahun, dilaporkan naik ke pentas melalui bahagian tepi dan cuba mendekati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak sebelum berjaya dihalang dan ditahan oleh anggota keselamatan yang sedang bertugas.
“Suspek telah ditahan di lokasi kejadian dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pihak polis menahan seorang wanita tempatan yang menaiki pentas utama ketika acara sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak, pagi tadi. Gambar media sosial.
Siasatan awal mendapati wanita berkenaan mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah, selain turut mempunyai sejarah rawatan psikiatri dan sedang berada di bawah pengawasan pakar.
Bagaimana pun, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek menunjukkan keputusan negatif.
Kes disiasat di bawah Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan kecederaan parah.
Polis turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa menghormati majlis-majlis rasmi kenegaraan dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menggugat ketenteraman awam serta keselamatan.
Sementara itu, rakaman yang menunjukkan insiden serangan tersebut turut dirakamkan individu yang hadir menyaksikan sambutan tersebut.
Video berkenaan yang tular di media sosial menunjukkan kelibat seorang wanita tidak dikenali berjalan di belakang pentas utama semasa lagu negeri Perak dimainkan.
Individu tersebut tiba-tiba kelihatan berlari di hadapan pentas dan dikejar beberapa pengawal pengiring sebelum dia dilihat seperti memegang belakang Sultan Nazrin, tapi pada masa sempat dihalang pengawal pengiring.
Wanita berkenaan ditahan dan dibawa keluar dari pentas utama.
Sultan Nazrin yang kelihatan tenang kemudian terus memberikan tabik hormat pada lagi negeri Perak yang berkumandang dan meneruskan acara sambutan Hari Kebangsaan.
#semasa #HariKebangsaan #airtimes #Perak









