PUTRAJAYA, 10 OKT – Pelaksanaan program pemanjangan jangka hayat kapal (SLEP), refit dan powering kapal sedia ada Maritim Malaysia (APMM) merupakan langkah strategik memastikan aset kekal beroperasi pada tahap optimum.
Refit melibatkan kerja pemulihan atau baik pulih menyeluruh, manakala repowering menggantikan enjin atau sistem utama untuk mengoptimumkan prestasi kapal sedia ada.
Langkah ini juga menjimatkan perbelanjaan kerajaan selain meningkatkan kecekapan operasi aset yang telah lama berkhidmat.
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, inisiatif tersebut mampu memanjangkan jangka hayat kapal antara 10 hingga 15 tahun.
Menurut beliau, walaupun sebahagian besar aset kapal APMM telah berusia, ia tetap berupaya melaksanakan tanggungjawab besar dalam memastikan keselamatan perairan negara.
“Antara tugas utama yang dilaksanakan termasuk mencegah pelbagai bentuk jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan perdagangan manusia, dadah, rokok serta barangan bersubsidi, selain membanteras jenayah maritim lain.
“APMM juga terus komited mengekang pencerobohan vesel negara asing (VNA) serta memperkukuh kawalan sempadan perairan negara daripada diceroboh oleh penguat kuasa asing.
“Setiap kapal masih menjadi tulang belakang strategi operasi kami seperti keberadaan aset di perairan, kempen kesedaran maritim, tindakan awal bagi sesuatu operasi atau insiden serta kerjasama komuniti maritim,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu beliau turut menjelaskan, pendekatan program penyelenggaraan ini dapat mempercepatkan proses kesiapsiagaan kapal untuk kembali beroperasi dengan mengambil masa antara 15 hingga 18 bulan.
Ia jauh lebih singkat berbanding proses perolehan kapal baharu yang mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hingga lima tahun untuk disiapkan.
“Melalui pendekatan ini, APMM dapat memastikan kapal lama kembali beroperasi dengan prestasi lebih baik tanpa perlu menanggung kos besar seperti pembinaan kapal baharu.
“Sebagai contoh, pembaikan kapal ronda pesisir kelas (OPV) biasanya memerlukan antara 15 hingga 20% daripada kos pembinaan kapal baharu yang dianggarkan sekitar RM350 juta,” jelas beliau lagi.
Mohd Rosli berkata lagi, selain fungsi penguatkuasaan undang-undang, kapal-kapal APMM turut berperanan penting dalam usaha menyelamat nyawa serta harta benda di laut.
“Dengan kepakaran teknikal sedia ada, kita mampu mengekalkan kapal berusia supaya terus berfungsi dengan baik dan selamat.
“Langkah ini adalah tindakan pintar dan realistik dalam memastikan aset sedia ada terus beroperasi secara optimum.
“Ia juga seiring dasar kerajaan yang pengurusan aset secara berhemah, berasaskan nilai pulangan tinggi serta memastikan setiap perbelanjaan memberi manfaat maksimum kepada keselamatan dan kesejahteraan maritim negara,” ujarnya.
