Home DiskusiKOLUMNIS: Bangladesh rancak modenkan tentera, Malaysia masih berhati-hati untuk keluar belanja

KOLUMNIS: Bangladesh rancak modenkan tentera, Malaysia masih berhati-hati untuk keluar belanja

by Zaki Salleh
A+A-
Reset

Dengan jumlah lebih 800,000 rakyatnya berada di Malaysia mencari rezeki terutamanya sebagai buruh dan pekerjaan bergaji rendah, Bangladesh sering dilihat sebagai negara miskin pada mata kebanyakan kita.

Bangladesh pernah dikategorikan sebagai antara negara termiskin di dunia, tetapi keadaannya kini telah banyak berubah dalam dua dekad terakhir.

Sejak tahun 2015 Bangladesh tergolong sebagai negara berpendapatan menengah bawah.

Sebab itu banyak pihak membuka mata apabila mutakhir ini Bangladesh rancak melaksanakan program pemodenan angkatan tenteranya yang dilihat sebagai luar biasa.

Terbaru, Bangladesh dilaporkan sedang memuktamadkan pembelian sistem peluru berpandu balistik jarak dekat (SRBM) SY-400 buatan China.

Sistem SRBM ini mempunyai jarak ke sasaran sehingga 280 kilometer (km), angka yang cukup untuk menggerunkan bakal musuh.

Bagi negara sebesar Bangladesh, memiliki sistem pertahanan darat secanggih SY-400 sudah semestinya bakal meletakkan kedudukan sebagai bersiap sedia mendepani cabaran semasa dan akan datang.

Negara itu juga telah mengintai sistem howitzer mudah gerak (SP) SH-15 buatan China. Sepertimana kebanyakan tentera negara moden, sistem artileri SP telah menjadi kelengkapan yang perlu atas faktor mobiliti.

Sebelum itu, angkatan tentera Bangladesh juga mengumumkan rancangan besar untuk menambah kekuatan udara melalui pembelian 20 buah pesawat tempur Chengdu J-10CE.

Perolehan ini bakal memakan kos besar iaitu kira-kira AS$2.2 bilion yang dijangka bakal dilaksanakan menjelang tahun 2027.

Rancangan ini turut melibatkan sistem pesawat radar amaran awal.

Cita-cita besar Bangladesh juga termasuk hasrat mendapatkan pesawat pejuang pelbagai peranan canggih iaitu Eurofighter Typhoon dari Itali.

Walaupun perkara itu masih dilihat sebagai 50-50, namun tidak mustahil pesawat Gen 4.5 bakal terbang megah di ruang angkasa Bangladesh kerana segala-galanya berkemungkinan jika ada wang dan iltizam.

Pendekatan ini menandakan perubahan besar daripada kekuatan udara asas kepada keupayaan sistem pertahanan udara pelbagai peringkat yang semakin canggih.

Perolehan ini sejajar dengan rancangan pemodenan jangka panjang yang dikenali sebagai Forces Goal 2030 dan mencerminkan hasratnya untuk meningkatkan keupayaan ofensif dan defensif sedia ada.

Melalui pelan ‘Forces Goal 2030’, Dhaka berhasrat membentuk angkatan tentera yang moden, berkeupayaan tinggi dan mampu mempertahankan kepentingan strategik di rantau Teluk Benggala menjelang tahun 2030.

Melihat selera besar Bangladesh ini membuatkan kita suka untuk membandingkan dengan langkah-langkah pemodenan aset yang dihasratkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Langkah Bangladesh itu dilihat berbeza dengan pendekatan Malaysia yang masih berhati-hati dalam membuat perolehan baharu meskipun berdepan keperluan meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan serantau.

Mengapa Bangladesh boleh berbelanja besar untuk pemodenan ketenteraan?

Sebagai perbandingan, perbelanjaan pertahanan negara itu tidak terlalu besar jika dibandingkan dengan KDNK (sekitar 1.2–1.5% daripada GDP, mirip Malaysia).

Namun, pelaksanaan program seperti Forces Goal 2030 menunjukkan komitmen politik yang kuat untuk menaik taraf aset ketenteraan walaupun sumbernya terhad.

Kita dapat lihat percaturan mereka adalah pada pendekatan ‘kos efektif’ dan strategi geopolitik.

Bangladesh membeli aset dengan harga kompetitif, kebanyakannya dari China dan Turkiye, melalui pakej pinjaman atau bantuan khas.

Aset buatan China menjadi pendukung utama, misalnya Bangladesh berani membeli lebih 100 buah kereta kebal pelbagai varian dari negara tersebut.

Malaysia pula sebaliknya masih kekal dengan angka 48 buah kereta kebal yang dibeli sejak 2003.

China kekal sebagai pembekal terbesar dengan nilai jualan mencecah AS$2 bilion dalam tempoh 10 tahun terakhir, termasuk dua buah kapal selam Type-035G kelas Ming yang diterima pada tahun 2017 dengan harga sekitar AS$200 juta.

Walaupun kapal selam diesel-elektrik ini terhad dari segi kemampuan, ia menjadi batu loncatan kepada operasi kapal selam generasi seterusnya pada masa hadapan.

Jika dibandingkan dengan Malaysia, pembangunan ketenteraan Bangladesh nampak jauh lebih rancak dan berani.

Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini mengambil pendekatan berhati-hati dalam perolehan aset baharu, khususnya selepas beberapa isu kelewatan dan kos tinggi melibatkan projek kapal tempur pesisir (LCS).

Walaupun Malaysia turut menumpukan kepada perancangan jangka panjang seperti Pelan 15-to-5 TLDM, CAP55 TUDM dan Rancangan Malaysia Ke-13, kadar pelaksanaannya dilihat perlahan.

Malaysia sudah tentu bukan Bangladesh kerana keperluan pertahanan keduanya adalah berbeza, cuma kesungguhan negara itu melaksanakan pemodenan aset-aset pertahanan wajar membuka mata.

Ia mencerminkan keberanian strategik sebuah negara yang walaupun tidak menjadi kuasa ketenteraan utama di rantaunya tetapi ingin menjadi digeruni dengan keupayaan yang dimiliki. -airtimes.my

#Airtimes #Pertahanan #Tentera #ATM #China #Turkiye #ForcesGoal2030 #Bangladesh #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply