KUALA LUMPUR 2 DIS – Ancaman keselamatan siber pada masa hadapan perlu diduga kerana sepertimana ancaman berbentuk tradisional, ia mencari ruang untuk dieksploitasi.
Sehubungan itu, penting untuk memastikan bahawa sektor pertahanan negara bersedia menghadapi ancaman keselamatan siber baharu.
Kepercayaan ini ditampilkan oleh syarikat pertahanan tempatan, Mindmatics Sdn. Bhd. (Mindmatics) menerusi kepakaran dengan menerapkan enkripsi kriptografi pasca-kuantum (PQC).

Wahab (dua dari kanan) dan Pengarah NACSA, Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin bertukar dokumen MoU disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar (tengah) di UPM.
PQC ditakrifkan sebagai sejenis enkripsi baharu yang dibangunkan untuk kekal selamat walaupun apabila komputer kuantum cukup kuat untuk memecahkan algoritma keselamatan konvensional yang digunakan hari ini.
Ia memastikan perlindungan jangka panjang terhadap data dan komunikasi yang sensitif.
Untuk itu, Mindmatics pada November lalu telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi membangunkan dan menggunakan teknologi ini dalam aplikasi pertahanan dan keselamatan.
MoU tersebut telah dimeterai pada Persidangan dan Pameran Antarabangsa Kriptografi Pasca-Kuantum Universiti Putra Malaysia (ICE-PQC) 2025.
Menerusi perjanjian itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama melaksanakan penyelesaian PQC dengan Mindmatics menyumbang kepakaran dalam elektronik pertahanan dan sistem komunikasi selamat.
Mindmatics yang ditubuhkan 20 tahun lalu merupakan peneraju dan pakar dalam membangunkan Sistem Elektronik Pertahanan (DES) yang terkini, menawarkan penyelesaian merangkumi IT, pengkomputeran dan elektronik.
Pengarah Mindmatics, Abdul Wahab Sulaiman berkata, syarikat ini telah pun mengintegrasikan algoritma PQC ke dalam sistem komunikasi radio dan peranti penyulitan pantas mereka.
“Setiap perkara yang perlu dihantar kembali ke ibu pejabat akan disulitkan menggunakan algoritma PQC kami.
“Apabila komputer kuantum menjadi lebih canggih, semua algoritma sedia ada kita berkemungkinan akan dapat ditembusi.
“Oleh itu, kita perlu bersedia dengan membangunkan algoritma kripto yang khusus,” katanya
Tambah Wahab lagi, Mindmatics antara beberapa syarikat tempatan yang menerajui penyelesaian PQC dalam sektor pertahanan.
“Walaupun badan antarabangsa sering bergantung pada sistem enkripsi mereka sendiri, Mindmatics melaksanakan algoritma KAZ yang dibangunkan secara tempatan oleh UPM.
“Ini membolehkan kami mengekalkan keupayaan tempatan sambil memastikan teknologi kami memenuhi piawaian antarabangsa,” katanya.

Di bawah perjanjian ini, peranan Mindmatics akan memberi tumpuan kepada segmen pertahanan dan keselamatan yang akan melengkapi inisiatif keselamatan siber NACSA di seluruh infrastruktur nasional yang kritikal.
Perkongsian tersebut membolehkan setiap pihak memberi tumpuan kepada bidang kepakaran masing-masing, dengan Mindmatics menumpukan pada pertahanan dan keselamatan, manakala sektor lain seperti perbankan akan diuruskan oleh entiti lain.
“Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat menyediakan penyelesaian kepada kerajaan Malaysia.
“Teknologi ini membantu mencegah pencerobohan oleh pihak yang berniat jahat, dan ia juga meletakkan kami dalam kedudukan untuk memenuhi piawaian yang diperlukan oleh organisasi antarabangsa.
“Mindmatics komited untuk membangunkan kepakaran keselamatan siber tempatan dan tidak hanya bergantung kepada teknologi asing.
“Kami tidak mahu hanya menjadi pengguna dalam bidang ini, sebaliknya kami berhasrat untuk menjadi salah satu penyedia teknologi. Kerjasama dengan NACSA adalah langkah ke arah matlamat itu dan aspirasi kami untuk menjadi pemain global,” jelas beliau.
Wahab menambah, manfaat yang lebih luas daripada perkongsian ini termasuk mengukuhkan keselamatan data Malaysia dan meletakkan negara sebaris dengan negara-negara yang telah mula mengadopsi teknologi enkripsi generasi akan datang. -airtimes.my
#Airtimes #PertahananSiber #Mindmatics #NACSA #KeselamatanSiber #PQC #SiberMalaysia #TeknologiPertahanan #CyberSecurityMalaysia #Malaysia



















