TANJUNG MALIM, 19 NOV– Tinggalan Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu terus dikesan, menunjukkan sejarah peperangan tersebut wajar dikembalikan dalam pengetahuan generasi hari ini.
Terbaru terjumpanya dua batu konkrit yang pernah digunakan tentera British untuk menghalang kereta kebal Jepun semasa perang tersebut di pekan Tanjung Malim pada Oktober lalu.
Penemuan ini menambah satu lagi khazanah penting dalam sejarah ketenteraan negara, khususnya berkaitan pertahanan British menentang kemaraan tentera Jepun pada tahun 1942.

Pengerusi dan pengasas Persatuan Sejarah Malaya (MHG), Shaharom Ahmad berkata, batu konkrit tersebut dipercayai berfungsi sebagai halangan fizikal bagi menghalang kemaraan tentera Jepun ke arah selatan ketika pertempuran sengit berlaku di kawasan itu.
Berdasarkan maklumat awal, kedudukan asal batu berkenaan berkemungkinan terletak di jalan utama Tanjung Malim–Ipoh berhampiran jambatan utama yang memisahkan sempadan Hulu Bernam, Selangor dan Tanjung Malim.
Batu tersebut dipercayai telah dialihkan ke lokasi ia ditemui.
“Artifak bersejarah yang dianggarkan berusia hampir 85 tahun itu menjadi bukti penting peranan Tanjung Malim sebagai salah satu titik pertahanan utama tentera British ketika Pertempuran Slim pada 7 Januari 1942.
“Ketika itu, pasukan Divisyen ke-11 British India mempertahankan kawasan berkenaan sebelum berundur ke arah Selangor,” ujar Shaharom.
Sebelum ini, MHG turut melaporkan penemuan batu konkrit serupa di Pekan Trolak, menandakan kawasan ini pernah menjadi laluan strategik dan zon pertahanan semasa perang.
Batu konkrit itu telah dijumpai di dalam Sungai Trolak tidak jauh dari jambatan.

“Penemuan ini bukan sekadar menambah nilai sejarah tempatan, malah boleh dijadikan tarikan pelancongan warisan bagi menarik minat pengkaji dan peminat sejarah ketenteraan,” katanya.
MHG turut mencadangkan agar pihak berwajib mempertimbangkan usaha mengumpulkan semua batu antikereta kebal yang ditemui di satu kawasan khas yang mudah dilawati umum.
Langkah ini, menurut Shaharom mampu memelihara warisan sejarah Perang Dunia Kedua serta mendidik generasi muda mengenai sejarah lampau.
Dengan penemuan ini, Tanjung Malim berpotensi muncul sebagai salah satu lokasi penting dalam peta sejarah ketenteraan Malaysia, menghubungkan generasi masa kini dengan kisah perjuangan silam yang hampir dilupakan.
Blok konkrit antikereta kebal merupakan salah satu strategi halangan yang digunakan tentera semasa Perang Dunia Kedua termasuk di Eropah untuk menghentikan atau memperlahankan kenderaan berperisai termasuk kereta kebal.
Ia dihasilkan dalam pelbagai bentuk, namun blok konkrit yang digunakan di Tanah Melayu semasa perang adalah berbentuk silinder.
Blok-blok ini diletakkan dalam jumlah besar atau dalam barisan untuk menghasilkan benteng yang tidak sukar ditembusi.
Taktik meletakkan halangan adalah untuk mengarahkan kenderaan musuh masuk ke dalam zon membunuh di mana kenderaan tersebut dapat dimusnahkan oleh senjata antikereta kebal.

Pertempuran Slim River pada 6 Januari 1942 melibatkan rejimen infantri Jepun bersama 20 kereta kebal dengan dua buah briged tentera British dan India berkekuatan 3,200 anggota.
Pertempuran ini telah menyaksikan keberkesanan penggunaan kereta kebal oleh tentera Jepun semasa menggasak pertahanan tentera British termasuk melakukan serangan mengejut pada waktu malam.
Walaupun memiliki bilangan anggota yang besar tetapi kekuatan British tidak seimbang apabila tidak mempunyai meriam penangkis kereta kebal serta periuk api yang cukup untuk menghalang kemaraan kereta kebal.
Kesan tinggalan perang yang ada termasuk batu peringatan Jepun, jambatan di Trolak, laluan jalan lama antara Trolak dan Slim River dan jambatan yang tidak dimusnahkan oleh British di Kampung Slim. -airtimes.my
#Airtimes #PerangDuniaKedua #TanjungMalim #Sejarah #Warisan #PertempuranSlimRiver #BatuKonkrit #MHG #Malaysia
