Pelancaran dua Kapal Rondaan Luar Pesisir (OPV) pertama Jepun baru-baru ini, menandakan permulaan fasa penting dalam strategi keselamatan maritim negara itu. Japan Marine United (JMU) Corporation, pada 13 November lalu, memperkenalkan Sakura dan Tachibana dalam satu majlis di Yokohama.
Kemunculan aset ini bukan sekadar perkembangan industri pertahanan, sebaliknya mencerminkan keperluan Jepun mengekalkan kesiapsiagaan maritim dalam persekitaran strategik yang semakin mencabar. Kedua-dua OPV tersebut merupakan sebahagian daripada program pembinaan 12 kapal generasi baharu untuk Pasukan Pertahanan Diri Maritim Jepun (JMSDF).
Dalam landskap geopolitik yang semakin kompleks, OPV berfungsi sebagai platform pemantauan berterusan dan simbol komitmen strategik Jepun terhadap keselamatan perairannya. Kapal rondaan ini memberi ruang kepada Jepun mengekalkan pengawasan jangka panjang tanpa bergantung kepada kapal perang berat yang lebih mahal untuk dioperasikan.
Keperluan strategik dan tekanan geopolitik serantau
Kepentingan OPV kepada Jepun berakar daripada keperluan mempertahankan kedaulatan perairan serta mengekalkan rondaan sepanjang tahun. Jepun berdepan peningkatan ketara kehadiran kapal peronda China di sekitar Kepulauan Nansei sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut Kertas Putih Pertahanan 2025, China dilaporkan mengoperasikan 94 kapal pemusnah dan frigat moden serta 55 kapal selam moden. Keupayaan ini memberi ruang kepada China meningkatkan tekanan secara langsung terhadap keselamatan maritim Jepun.
Dalam masa sama, JMSDF berdepan isu aset lama yang semakin meningkat usia serta had operasi. Keperluan kepada platform yang lebih ekonomik dari segi tenaga, fleksibel dan tahan lasak menjadi keutamaan.
Dengan itu, OPV generasi baharu ini dibangungkan khusus untuk memenuhi keperluan tersebut, sekali gus mengurangkan pergantungan kepada kapal perang besar yang lebih mahal dan memerlukan banyak tenaga manusia.
Sakura & Tachibana: Tradisi, simbolik dan identiti maritim Jepun

Kapal OPV yang lebih kecil dan lebih ekonomik membolehkan Jepun mengekalkan kehadiran pantas di perairan strategik. Foto: Military Japan
Sakura (OPV 901) dan Tachibana (OPV 902) membawa nilai simbolik tersendiri dalam budaya maritim Jepun. Pemilihan nama Sakura menggambarkan identiti kebangsaan yang dikaitkan dengan bunga rasmi Jepun dan pernah digunakan oleh tiga kapal Tentera Laut Imperial. Manakala, Tachibana pula merujuk kepada pokok purba yang tercatat dalam Manyoshu, antologi puisi tertua Jepun.
Menariknya, JMSDF lazimnya menamakan kapal pemusnah berdasarkan fenomena alam. Namun, untuk OPV kelas baharu ini, nama tumbuhan dipilih sebagai pendekatan simbolik yang lebih lembut. Ia selari dengan imej Jepun sebagai kuasa maritim yang bertanggungjawab dan tidak agresif walaupun sedang meningkatkan kemampuan pertahanan.
Pemilihan nama tersebut turut diluluskan oleh Menteri Pertahanan selepas siri perbincangan dalaman.
Keupayaan UAV, modularity dan peningkatan pengawasan
Dalam bajet fiskal 2025, Jepun memperuntukkan 4 bilion yen untuk memperoleh enam UAV V-BAT keluaran Shield AI bagi integrasi di atas OPV pada masa hadapan. UAV ini direka untuk melaksanakan pemantauan jarak jauh dan memberi gambaran situasi lebih menyeluruh.
Integrasi aset udara tanpa pemandu ini menambah baik keupayaan rondaan OPV, khususnya dalam misi pengawasan jangka panjang di kawasan maritim yang luas.
Agensi Pemerolehan, Teknologi dan Logistik (ATLA) turut membangunkan sistem modular yang boleh disesuaikan mengikut keperluan operasi. Konsep modulariti membolehkan kapal melaksanakan pelbagai tugasan, seperti operasi kemanusiaan, tindak balas bencana dan sokongan penguatkuasaan undang-undang maritim.
Fleksibiliti ini menjadikan OPV sebagai platfom serbaguna yang relevan untuk keperluan masa depan dan berfungsi dalam spektrum operasi yang lebih luas tanpa pengubahsuaian berat.
Reka bentuk, automasi dan penjimatan kos operasi
OPV kelas Sakura dibina sepanjang 95 meter dengan anjakan 1,900 tan serta kelajuan maksimum 25 knot. Reka bentuknya menekankan ciri tersembunyi, seiring konsep yang digunakan pada frigat kelas Mogami. Ia turut dilengkapi sistem pendorongan CODLAD yang menggabungkan motor elektrik dan enjin diesel bagi meningkatkan kecekapan tenaga.
Penggunaaan automasi yang meluas merupakan elemen kritikal dalam reka bentuk ini, membolehkan kapal dikendalikan oleh hanya 30 anak kapal untuk dioperaiskan, iaitu satu pertiga daripada jumlah kru pada kelas Mogami.
Konsep operasi dengan tenaga manusia yang minimum menjadi penyelesaian jangka panjang kepada isu kekurangan tenaga kerja yang semakin meruncing di Jepun akibat pertumbuhan populasi yang perlahan.
Kemajuan pembinaan dan hala tuju jangka panjang

Jepun mempunyai zon ekonomi eksklusif (EEZ) yang sangat luas dan perairan yang sensitif. Justeru, kapal OPV membantu JMSDF dalam tugas pemantauan rutin dan pengawasan, terutama di perairan Jepun dan sekitarnya. Foto: Military Japan
Kapal Sakura dan Tachibana telah diletakkan pada Februari 2025, sebelum memasuki fasa pemasangan blok pada pertengahan tahun. Sakura dijangka ditauliahkan pada Januari 2027, manakala Tachibana menyusul pada Februari 2027.
Kos pembinaan setiap kapal dianggarkan sekitar 8.9 bilion yen. Namun, permintaan bajet 2026 menunjukkan peningkatan kos keseluruhan, mendorong kerajaan memohon 28.7 bilion yen untuk dua kapal seterusnya.
Jepun merancang membina 12 OPV dalam tempoh sedekad selaras dengan Program Pembinaan Pertahanan 2022. Pembinaan kapal ketiga dan keempat dijadualkan bermula pada Mac 2026. Pelaburan berterusan ini menggambarkan komitmen Jepun terhadap keupayaan rondaan, kesedaran situasi maritim dan persediaan menghadapi ancaman serantau.
OPV sebagai alat diplomasi pertahanan dan implikasi serantau
Peranan OPV Jepun tidak terhad dalam lingkungan negara sendiri. Jepun sejak sekian lama menggunakan kerjasama maritim sebagai saluran diplomasi pertahanan dengan negara ASEAN. Melalui latihan bersama, perkongsian kepakaran, bantuan teknikal, dan perkongsian kepakaran.
Dengan OPV generasi baharu, Jepun dapat memperkukuh penglibatan ini melalui pendekatan yang tidak ofensif tetapi berkeupayaan tinggi. Langkah ini memberikan mesej bahawa Jepun komited terhadap kestabilan serantau melalui kerjasamaa yang pragmatik dan bukan konfrontasi.
Dalam era geopolitik yang semakin kompleks, kemampuan Jepun mengekalkan kehadiran maritim profesional dan konsisten menjadi faktor penting kepada kredibiliti pertahanan negara itu serta kestabilan serantau pada dekad akan datang. -airtimes.my
#Airtimes #KapalOPV #OPV #Sakura #Tachibana #maritim #JMSDF #Jepun
