Sejak beberapa minggu lalu, tumpuan kembali terarah kepada Lumut Naval Shipyard (Lunas) apabila syarikat itu menyiarkan video pendek memaparkan kemajuan kerja-kerja pembinaan kapal tempur pesisir ketiga (LCS 3).
Lebih menarik, rakaman itu turut menunjukkan nama kapal yang bakal diberi nama KD Sharif Mashor (2503) diambil sempena tokoh pahlawan Melayu era penjajahan Brooke di Sarawak, Sayyid Mahhur bin Muhammad Al-Shahab.
Perkembangan ini memberikan isyarat bahawa kemajuan fizikal LCS 3 kini berada pada tahap memberangsangkan.
Difahamkan, kapal tersebut dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun hadapan, berkemungkinan sekitar Februari.
Sasaran ini dianggap realistik sejajar dengan garis masa baharu program LCS sepertimana yang didedahkan kepada umum oleh pihak Lunas.
Berdasarkan jadual tersebut, kapal LCS 1, KD Maharaja Lela dijangka diserahkan kepada TLDM pada Ogos 2026 selepas fasa ujian pelabuhan dan ujian di laut.
Kapal LCS 2, KD Raja Muda Nala yang telah dilancarkan pada 3 Julai 2025 pula diletakkan sasaran penyerahan pada April 2027.
Seterusnya adalah pembinaan LCS 3 hingga LCS 5 yang diteruskan secara berperingkat-peringkat dengan penyerahan dijangka setiap lapan bulan selepas tahun 2027.
Walaupun LCS 3 memperlihatkan perkembangan pesat, persoalan besar yang kekal adalah di manakah kedudukan LCS 1 iaitu kapal utama yang menjadi asas keberjayaan keseluruhan projek ini?
LCS 1 sepatutnya telah menjalani ujian penerimaan di laut (SAT) pada Oktober lalu, namun ditangguhkan ke November sebelum beralih ke Disember.
Dengan tinggal beberapa hari sahaja sebelum tahun baharu, ia menimbulkan tanda tanya sama ada jadual itu akan benar-benar dapat dipenuhi.
Berdasarkan gambaran fizikal pada kapal menunjukkan belum ada sistem persenjataan dipasang.
Sebagai kapal pertama dan platform rujukan, KD Maharaja Lela membawa beban harapan paling besar. Pihak industri menyedari bahawa kejayaan LCS 1 bukan sekadar penyempurnaan sebuah kapal, tetapi lebih daripada itu.
Program LCS 1 adalah penentu kebolehlaksanaan fasa integrasi sistem tempur (CMS) untuk seluruh kelas LCS.
Paling kritikal adalah stigma umum terhadap kegagalan projek LCS yang telah berlarutan lebih 11 tahun.
Walaupun umum mengetahui proses pembinaan sesebuah kapal perang bukan mudah kerana prosesnya yang kompleks dan tahap pemilikan teknologi pembuat, namun kegagalan sebelumnya telah memberi imej negatif.
Sebab itu LCS 1 akan dilihat sebagai kayu pengukur kredibiliti negara dalam projek pertahanan bernilai tinggi di mata rakan antarabangsa.
Kelewatan lebih 11 tahun LCS 1 bukan saja menjejaskan jadual keseluruhan, malah memberi ruang kritikan terhadap keupayaan industri pertahanan tempatan.
Justeru, selagi LCS 1 belum siap dan menjalani ujian laut dengan jayanya, projek ini akan terus menjadi bahan tumpuan dan perdebatan.
Walaupun kemajuan LCS 3 agak menggalakkan, terdapat beberapa sebab mengapa kejayaan itu belum dapat menenggelamkan isu asas.
LCS 1 adalah kapal rujukan. Semua integrasi sistem utama seperti radar, sensor, persenjataan, CMS harus diuji dan disahkan sebelum diaplikasikan pada kapal-kapal seterusnya.
Tanpa kejayaan teknikal LCS 1, maka LCS 2 hingga LCS 5 tidak boleh dianggap benar-benar sedia operasi.
Kemajuan kapal ketiga tidak dapat menutup kelemahan asas sekiranya kapal pertama masih tidak siap. Keyakinan kerajaan, TLDM dan umum juga bergantung kepada hasil kapal pertama.
Kelewatan LCS 1 bermakna TLDM masih belum dapat meningkatkan kemampuan tempur laut secara signifikan. Dengan perairan serantau semakin kompleks, kehadiran LCS amat kritikal.
Walaupun sentimen umum terhadap projek ini pernah terjejas, perkembangan visual seperti video pembinaan LCS 3 sedikit sebanyak memulihkan keyakinan.
Paparan visual semata-mata belum cukup. Tanpa komunikasi yang jelas, persepsi negatif sukar dipadamkan walaupun pembinaan kapal-kapal lain berjalan dengan baik.
Projek LCS bukan sekadar kontrak pembinaan lima kapal perang. Ia adalah gambaran maruah, kemampuan teknikal dan integriti sektor pertahanan negara.
Kemunculan KD Sharif Masahor (LCS 3) sebagai kapal hampir siap adalah berita positif, tetapi harapan umum lebih besar daripada itu.
Selagi KD Maharaja Lela (LCS 1) belum berjaya disiapkan dan diuji sepenuhnya, projek LCS akan terus menjadi medan penilaian utama keupayaan industri pertahanan Malaysia. #airtimes.my
#Airtimes #LCS #KDMaharajaLela #Pertahanan #Lunas #TLDM #KapalPerang #Maritim #TenteraLaut #Malaysia
