Ketegangan ketenteraan antara Afghanistan dan Pakistan kembali memuncak selepas beberapa siri serangan serta pertempuran di sepanjang kawasan sempadan walaupun gencatan senjata telah dimeterai pada pertengahan Oktober lalu.
Krisis terbaharu ini bukan sahaja menunjukkan pertikaian lama antara dua negara berjiran itu, tetapi turut menandakan satu tahap baharu dalam hubungan tegang antara Islamabad dan kerajaan Taliban di Kabul.Hubungan kedua negara yang suatu ketika dahulu rapat kini semakin renggang hingga menyebabkan kematian dan kemusnahan beberapa pos kawalan di kawasan konflik.
Hubungan antara Pakistan dan Afghanistan dahulunya kelihatan baik terutamanya selepas Taliban mengambil alih Kabul pada tahun 2021. Pakistan ketika itu dilihat sebagai negara yang membantu membuka jalan diplomatik antara Taliban dan dunia luar.
Namun keadaan berubah apabila Islamabad menuduh Afghanistan memberi perlindungan kepada kumpulan militan Tehreek e Taliban Pakistan (TTP). Kumpulan ini dianggap ancaman besar kepada keselamatan Pakistan kerana sering melancarkan serangan bom dan serangan bersenjata di dalam negara tersebut. Bagi Islamabad, selagi TTP bebas bergerak di dalam Afghanistan, keselamatan negara mereka tidak akan kekal terjamin.

Taliban menyambut hari ulang tahun kemenangan pertama selepas mengambil alih Kabul pada tahun 2021
Baru-baru ini, ketegangan antara kedua negara itu semakin meningkat apabila Taliban menuduh Pakistan melancarkan serangan udara di wilayah Khost yang meragut nyawa 9 kanak kanak dan seorang wanita. Menurut jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, serangan itu memusnahkan rumah seorang penduduk tempatan dan menyebabkan suasana panik dalam kalangan masyarakat setempat. Insiden ini mencetuskan kemarahan besar kerana orang awam menjadi mangsa dalam konflik yang semakin sukar dikawal.
Sebelum tragedi ini, pertempuran kecil dan tembakan balas telah berlaku hampir setiap minggu di kawasan sempadan. Pakistan mendakwa bahawa serangan yang mereka lakukan bertujuan menghapuskan TTP yang dikatakan berlindung di Afghanistan. Afghanistan pula menyifatkan tindakan Pakistan sebagai pencerobohan yang melanggar kedaulatan negara. Kedua pihak saling menuding jari sehingga menyukarkan usaha meredakan keadaan.
Pada pertengahan Oktober, kedua negara bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama 48 jam selepas rundingan bersama Qatar dan Turki di Doha. Perjanjian ini memberi harapan terhadap pemulihan hubungan melalui diplomasi. Bagaimanapun, langkah itu hanya bersifat sementara apabila pertempuran kembali tercetus beberapa hari kemudian termasuk serangan udara Pakistan ke atas beberapa kawasan di Afghanistan yang mencetuskan lebih banyak korban awam.

Pakistan dan Afghanistan mencapai gencatan senjata selama 48 jam selepas rundingan bersama Qatar dan Turki di Doha. FOTO: Kementerian Luar Qatar
Pakistan mempertahankan segala tindakannya dengan menegaskan bahawa operasi ketenteraan dijalankan bagi mengekang ancaman TTP yang dianggap semakin agresif. Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Muhammad Asif, menyatakan bahawa sebarang gencatan senjata tidak akan bermakna jika Taliban gagal bertindak terhadap kumpulan tersebut.
Namun dari perspektif Afghanistan, tindakan Pakistan itu dianggap sebagai alasan untuk menyerang wilayah mereka serta melemahkan kedaulatan negara.
Rundingan susulan yang dirancang di Istanbul turut menghadapi jalan buntu apabila kedua pihak gagal bersetuju mengenai mekanisme pemantauan gencatan senjata. Pakistan mahukan pemantauan yang lebih ketat untuk memastikan TTP tidak bergerak bebas di Afghanistan sementara Taliban menegaskan bahawa proses pemantauan tidak boleh mengganggu urusan dalam negeri.

Beberapa orang awam terbunuh dan tempat tinggal musnah selepas serangan udara Pakistan di wilayah Afghanistan.
Kematian 9 kanak kanak dan seorang wanita dalam serangan terbaru itu sudah tentu akan menimbulkan kesan emosi yang mendalam kepada masyarakat. Rumah yang musnah dalam sekelip mata melambangkan betapa sukarnya orang awam hidup di kawasan sempadan yang sering menjadi medan pertempuran. Mereka bukan sahaja kehilangan keluarga tetapi turut kehilangan rasa selamat dan masa depan.
Dari sudut ketenteraan, Pakistan dan Taliban sebenarnya cuba menunjukkan kekuatan masing masing. Pakistan menggunakan serangan udara untuk memberi tekanan, manakala Taliban pula mahu membuktikan mereka mampu mempertahankan negara. Namun tindakan seperti ini hanya meningkatkan risiko konflik yang lebih besar. Sekiranya keadaan tidak dikawal, rantau Asia Selatan mungkin berdepan krisis keselamatan yang jauh lebih serius.
Krisis sempadan Afghanistan dan Pakistan pada tahun ini menunjukkan bahawa kekuatan ketenteraan semata mata tidak mampu menamatkan konflik. Selagi punca utama iaitu isu kehadiran TTP tidak diselesaikan, ketegangan akan terus berulang. Usaha diplomatik yang lebih kuat, dialog yang jujur serta perlindungan terhadap orang awam perlu menjadi keutamaan jika kedua negara ingin melihat keamanan jangka panjang. -airtimes.my
#AirTimes #Afghanistan #Pakistan #Taliban #TTP #KonflikSempadan #Ketenteraan
