Home DiskusiPL-17: Aset jarak jauh China yang bakal mengubah keseimbangan udara Pakistan-India

PL-17: Aset jarak jauh China yang bakal mengubah keseimbangan udara Pakistan-India

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

Asia Selatan kini menyaksikan satu dimensi baharu dalam persaingan udara apabila Pakistan dikhabarkan berminat untuk memperoleh peluru berpandu udara-ke-udara jarak ultra jauh (BVR) PL-17 generasi baharu daripada China. Hasrat itu dilihat berpotensi sebagai satu lonjakan strategik yang boleh mengubah keseimbangan kuasa, terutamanya dari segi dari sudut psikologi dan keupayaan serangan jarak jauh di sub-benua India.

Kepentingan ini muncul selepas laporan mengenai penggunaan PL-15E oleh Tentera Udara Pakistan (PAF) dalam konfrontasi pada Mei 2025 dengan India. Dalam operasi yang digelar “Operation Sindoor”, Pakistan dikatakan melancarkan PL-15E dari pesawat J-10C dan JF-17, namun tiada sasaran berjaya dimusnahkan. Ini menimbulkan persoalan tentang prestasi dari segi taktikal dan kemungkinan gangguan peperangan elektronik.

Konflik itu menjadi ujian keupayaan PAF, selepas India melancarkan serangan balas terhadap kem militan di Pakistan dan Pakistan-occupied Kashmir itu. Tindakan balas itu dilaporkan melibatkan penggunaan peluru berpandu BrahMos dan sistem pertahanan udara Akashteer oleh India.

PL-17 imbangan keupayaan udara 

Kemajuan teknologi ketenteraan semakin hari dilihat semakin canggih dan terus mempengaruhi strategi serantau. Begitu juga, tidak kurang dengan PL-17 digambarkan sebagai peluru berpandu yang mampu mencapai jarak jangkauan sehingga 400 kilometer, PL-17 dan berpotensi meningkatkan keupayaan serangan jarak jauh PAF serta bakal menonjolkan dimensi baharu dalam keseimbangan kuasa udara di Asia Selatan.

PL-17 yang dikenali sebagai ‘AWACS – killer‘ ini berupaya mensasarkan aset bernilai tinggi, seperti pesawat pengawasan Phalcon AWACS dan pesawat tanker IL-78, yang menjadi pengganda kuasa Angkatan Udara India (IAF).

Dengan potensi integrasinya ke dalam pesawat J-10C Pakistan, PL-17, ia bukan sahaja menambah keupayaan serangan jarak jauh tetapi turut menyokong strategi anti-access/area-denial (A2/AD) negara itu. Kemampuan ini membolehkan PAF merancang operasi dari luar julat ancaman musuh, sekali gus memberi kelebihan taktikal yang penting dalam konflik akan datang.

Dalam pada itu, pemerhati pertahanan turut berpandangan bahawa kehadiran PL-17, berpotensi menggesa India untuk menyesuaikan semula taktikal udara, termasuk meningkatkan perlindungan kepada aset sokongan yang selama ini berfungsi sebagai nadi operasi mereka. Berbeza pula dengan PL-15E, PL-17, ia dijana oleh enjin Ramjet yang membolehkan kelajuan secara konsisten dan jarak lebih jauh.

Hal ini menjadikannya antara instrumen strategik utama bagi melemahkan struktur komando, kawalan, dan sokongan udara dari jarak selamat.

Dinamika kuasa serantau dan hubungan China-Pakistan

Permintaan terhadap teknologi seperti PL-17 mencerminkan hubungan strategik yang semakin rapat antara China-Pakistan. Perkongsian teknologi jarak jauh ini seiring dengan usaha Pakistan untuk mengimbangi kelebihan numerik serta kemajuan teknologi India.

Pada masa sama, sebagai tindak balas India juga dijangka mempercepat pembangunan dan penyempurnaan sistem udara-ke-udara Astra serta memperkukuh kemampuan peperangan elektronik dan perlindungan aset sokongan mereka.

Peralihan taktikal ini dijangka melibatkan langkah untuk meningkatkan keselamatan AWACS, tanker dan infrastruktur komunikasi ketenteraan. PAF, PL-17 melihat PL-17 sebagai peluang meningkatkan keupayaan penindasan udara musuh (air denial), sementara India menilai semula strategi kawalan ruang udara di sepanjang Line of Control (LoC) dan Line of Actual Control (LAC).

Perkembangan ini secara tidak langsung mencerminkan transformasi lebih luas dalam persaingan udara Asia Selatan, di mana kemampuan jarak jauh dan presisi menjadi faktor utama penentu dalam strategi serangan dan pertahanan.

Implikasi strategik masa hadapan

Keputusan Pakistan untuk mendapatkan PL-17 menunjukkan orientasi baharu dalam polisi pertahanannya, iaitu menekankan serangan jarak jauh dan pengurangan risiko terhadap aset sendiri. Strategi ini dapat meningkatkan kebolehan PAF untuk melaksanakan operasi dari luar julat ancaman musuh, memberi kelebihan taktikal penting dalam konflik masa hadapan.

Walau bagaimanapun, sekiranya laporan pembelian ini disahkan, ia bakal memberi tekanan kepada New Delhi, khususnya terhadap Rafale yang dianggap sebagai aset BVR paling maju dalam inventori IAF. Perkembangan ini juga mengingatkan bahawa kelebihan udara tidak hanya ditentukan oleh platform jet pejuang semata-mata, tetapi juga kepada rangkaian senjata dan sistem sokongan yang melengkapinya.

Secara lebih luas, evolusi peluru berpandu jarak jauh memperlihatkan trend global baharu. Senjata berteknologi tinggi kini berfungsi sebagai instrumen pengaruh strategik yang mampu membentuk semula percaturan geopolitik.

Dalam konteks ini, negara yang menguasai jarak dan maklumat berpotensi memiliki kelebihan strategik, manakala negara yang bergantung kepada platform sokongan besar seperti AWACS dan tanker, mungkin terdedah kepada risiko baru yang kompleks jika kemampuan menjejaskan aset-aset tersebut meningkat.

Namun, perolehan teknologi ini bukan sahaja bagi menambah senjata, tetapi mengukuhkan strategi menyeluruh untuk mendepani realiti geopolitik serantau. Meskipun, belum menyaingi India dari sudut jumlah atau kepelbagaian aset udara, Pakistan menumpukan kepada persenjataan jarak jauh yang dianggap sebagai pendekatan kos efektif. Ini bagi mengurangkan jurang kuasa dengan India, di samping menjamin keupayaan PAF untuk bertindak lebih awal dalam sebarang konflik masa depan.

Perkembangan berkaitan PL-17 memperlihatkan persaingan udara Asia Selatan sedang beralih kepada dominasi jarak, kelajuan dan keupayaan memperoleh maklumat. Jika perolehan seperti ini berlaku, kesannya akan merangkumi aspek taktikal dan diplomasi strategik yang mampu mengubah imbangan kuasa dalam jangka panjang. -airtimes.my

#Airtimes #PL-17 #peluruberpandu #OperationSindoor #pertahanan #Pakistan #China #India

Related Articles

Leave a Reply