LUMUT, 27 NOV – Tindakan pantas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta koordinasi yang terancang berjaya menyelamatkan mangsa-mangsa dalam dua insiden berasingan di Pulau Jarak.
Fenomena cuaca ekstrem disebabkan hujan lebat dan cuaca buruk yang melanda telah menyebabkan insiden tanah runtuh di pelbagai lokasi di Pulau Jarak.
Pulau Jarak merupakan salah satu perbatasan maritim negara.
Kejadian tersebut telah menimbulkan risiko kepada keselamatan anggota bertugas dan warga awam yang berada di pulau tersebut.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas TLDM dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya telah menerima laporan mengenai sembilan orang awam yang sedang melaksanakan senggaraan suar telah terkandas di pulau tersebut.
Susulan itu, sebuah helikopter Super Lynx telah diatur gerak bagi melaksanakan pemindahan dari lokasi yang dinilai tidak lagi selamat diduduki.
“Melalui tindakan pantas serta koordinasi rapi, kesemua mangsa terkandas telah berjaya diselamatkan seterusnya dipindahkan dari kawasan berisiko tinggi tersebut,” ujar kenyataan itu.
Dalam insiden berasingan di perairan Pulau Perak, Pusat Penyelarasan Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 11 pagi selepas menerima laporan sebuah bot karam akibat cuaca buruk.
Kapal TLDM, KD Ledang telah diatur gerakkan ke kawasan pencarian untuk melaksanakan operasi secara berterusan.
“Hasil tindakan efektif di lapangan, kesemua sembilan belas orang mangsa berjaya ditemui pada pukul 10.15 malam semalam, termasuk seorang mangsa yang disahkan meninggal dunia.

“Mangsa yang terselamat diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan kapal sebelum dibawa ke daratan untuk tindakan lanjut,” tambah kenyataan tersebut.
TLDM menasihatkan agar komuniti maritim lebih berhati-hati apabila keluar ke laut khususnya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu pada ketika ini.
Kapal yang digunakan juga hendaklah berada dalam keadaan baik dan mampu beroperasi sesuai dengan keadaan perairan Selat Melaka yang agak bergelora.
Tambahan, angin kencang dan hujan lebat mampu meningkatkan risiko ombak tinggi serta penglihatan yang terhad.
Demi keselamatan orang ramai dinasihatkan mematuhi amaran cuaca dan mendapatkan maklumat awal dari pihak berkuasa sebelum keluar ke laut. -airtimes.my
#Airtimes #TLDM #botkaram #pertahanan #Lumut #Malaysia
