Kejayaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melaksanakan program re-hull terhadap kapal peronda KD Baung disambut sebagai satu kejayaan kejuruteraan yang membanggakan.
Program re-hull kapal KD Baung merupakan projek ketiga seumpamanya selepas kejayaan yang dicapai melalui KD Perkasa dan KD Laksamana Muhammad Amin.
Rutin pasang pulih KD Baung mengambil masa dua tahun bermula pada 1 Oktober 2022 melibatkan kerja refit re-hull serta pemasangan sistem kawalan tembakan (AMOCS).
KD Baung yang berusia 49 tahun dibina di Limbungan Hong Leong Lurssen, Butterworth, Pulau Pinang melibatkan usaha sama dengan firma perkapalan Lurssen, Jerman.
Selain KD Baung, kapal-kapal lain dibina di sini termasuk KD Jerung, KD Todak, KD Paus, KD Yu dan KD Pari. Ia merupakan peristiwa bersejarah apabila pertama kalinya kapal perang TLDM dibina di dalam negara.
Berbeza dengan repowering yang dijalankan pada tahun 2019, kali ini KD Baung menjalani proses pembinaan semula struktur badan kapal yang mana ia satu pendekatan kejuruteraan yang kompleks dan memerlukan ketepatan tinggi.
Lebih membanggakan, projek ini dilaksanakan sepenuhnya di limbungan tempatan di Sabah, membuktikan kemampuan industri maritim negara dalam melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan berat secara berdikari.

Ia menunjukkan kepada negara bahawa keupayaan industri tempatan harus dihargai.
Pendekatan ini bukan sahaja memanjangkan hayat operasi kapal, tetapi juga menjana pulangan pelaburan (ROI) yang tinggi kepada kerajaan dan TLDM.
Namun, di sebalik kejayaan tersebut ada mesej yang lebih mendalam bahawa TLDM kini terpaksa bergantung kepada kapal-kapal lama yang diberi ‘nafas baharu’ sementara menunggu ketibaan aset baharu yang belum kunjung tiba.
Benar bahawa konteks berdikari atau self-reliance ada ditekankan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP).
Ia merujuk kepada aspirasi negara mengurangkan kebergantungan kepada syarikat luar serta memperkukuh industri pertahanan tempatan.
Cuma, pada satu sudut yang tidak dapat disembunyikan bahawa TLDM sebenarnya beroperasi dalam kekangan aset yang kritikal.
Konsep re-hull ini merupakan langkah sementara TLDM untuk memastikan kapal-kapal lama kekal beroperasi dalam jangka masa yang lebih panjang.
Sekiranya armada TLDM mencukupi dan program perolehan kapal baharu berjalan seperti dirancang, pendekatan luar kotak seperti ini tidak perlu dilakukan secara besar-besaran.
Dengan kata lain, kejayaan re-hull KD Baung adalah bukti kepada dua hakikat iaitu kemampuan TLDM di satu sisi, dan kegagalan perancangan perolehan aset pertahanan laut negara di sisi yang lain.
Masalah kekurangan kapal bukan perkara baharu bagi TLDM. Isu ini sudah pun dibangkitkan sejak bertahun-tahun dan terus menghantui keupayaan pertahanan maritim negara.
Kesan yang diterima hari ini bermula daripada kegagalan projek New Generation Patrol Vessel (NGPV) dua dekad lalu.
Projek NGPV dimulakan pada tahun 1998 apabila kerajaan memberi kontrak pembinaan untuk 27 buah kapal kepada PSC-Naval Dockyard.
Fasa pertama melibatkan pembinaan enam kapal dengan kos RM6 bilion, namun kontrak ini gagal dan tiada satu kapal pun diserahkan oleh PSC-Naval Dockyard sehingga Jun 2005.
Projek NGPV akhirnya terpaksa diselamatkan kerajaan.
NGPV dirancang sebagai tulang belakang armada peronda moden TLDM, namun kelemahan tadbir urus dan ketidakcekapan industri tempatan menyebabkan visi itu tidak kesampaian.
Bermakna, sejak tempoh tersebut TLDM kekurangan 21 buah kapal perang yang sepatutnya ada untuk menggantikan kapal-kapal peronda lama.
Lebih memburukkan keadaan, projek kapal LCS yang sepatutnya memperkasakan armada moden TLDM kemudian pula berdepan kelewatan bertahun-tahun.
Sehingga kini, tiada satu pun LCS yang siap untuk beroperasi menyebabkan TLDM terpaksa memanjangkan hayat aset yang sudah mencecah usia operasinya.
Dari satu sudut, kejayaan seperti yang dicapai oleh KD Baung membuktikan keupayaan teknikal dan semangat inovatif kepimpinan TLDM serta industri tempatan.
Namun dari sudut lain, ia juga mencerminkan betapa armada negara kini semakin menua dan tidak seimbang dengan tuntutan keselamatan maritim semasa.

Dalam konteks geopolitik serantau yang semakin kompleks termasuk peningkatan aktiviti kuasa besar di Laut China Selatan, kebergantungan kepada kapal-kapal lama jelas menimbulkan risiko terhadap keupayaan operasi dan kesiapsiagaan TLDM.
KD Baung mungkin melambangkan kecekapan dan daya tahan TLDM dalam menghadapi kekangan, tetapi pada masa yang sama ia juga menjadi simbol kepada kelewatan dan kegagalan dalam sistem perolehan pertahanan negara.
Kapal ini bukan sekadar hasil refit kejuteraan, sebaliknya ia adalah cerminan kepada dilema strategik Malaysia dalam memastikan lautannya terus dipertahankan dengan aset yang terhad.
Andaikan KD Baung akan terus beraksi sehingga 10 tahun lagi, bermakna aset lama ini dikerah berkhidmat sehingga mencecah usia 59 tahun untuk mempertahankan perimeter negara.
Masih ada jasa, ‘umpama tiada akar rotan pun berguna’. -airtimes.my
#Airtimes #KDBaung #TLDM #pertahanan #keselamatan #kejuruteraanMaritim #asetpertahanan #LCS #Malaysia












