Home DiskusiKolumnis: Konflik Thailand-Kemboja medan ujian kelengkapan buatan China

Kolumnis: Konflik Thailand-Kemboja medan ujian kelengkapan buatan China

by Zaki Salleh
A+A-
Reset

Visual hentaman tepat sistem pelancar roket berganda (MLRS) PHL-03 yang didakwa milik Kemboja ke atas pos kawalan tentera Thailand telah menarik perhatian pemerhati pertahanan.

Menerusi visual tersebut jelas menunjukkan ketepatan roket kaliber 300mm itu jatuh pada sasaran disusuli ledakan kuat dan julangan api. Bagaimana pun, Kementerian Pertahanan Kemboja pantas menolak dakwaan dibuat media Thailand tentang serangan menggunakan MLRS di Kampong Thom tersebut.

Dalam satu kenyataan pada 12 Disember, Kemboja berkata dakwaan ini adalah palsu, rekaan dan bertujuan untuk mencemarkan nama baik tentera negara itu. Tentera Thailand pula dipetik oleh Bangkok Post pada 10 Disember mengatakan bahawa mereka telah mengesan sistem MLRS PHL-03 di wilayah Kampong Thom.

Kemboja dipercayai memiliki enam unit sistem MLRS PHL-03 yang boleh melepaskan roket ke jarak 130 kilometer. China mula menggunakan MLRS PHL-03 sejak tahun 2004 sebagai salah satu tunjang bagi artileri jarak jauh dan juga digunakan oleh beberapa negara pengimportnya.


Kereta kebal VT-4 buatan China menjadi lembayung kekuatan armor Tentera Thailand. /Gambar: Kementerian Pertahanan China

Tentera Thailand juga mendakwa berjaya merampas sistem peluru berpandu anti kereta kebal (ATGM) jenis GAM-102LR  milik Kemboja. GAM-102LR buatan firma China, Poly Technologies boleh dipasang pada tripod atau kenderaan menyerupai sistem FGM-148 Javelin milik AS.

 

Senjata yang dirampas termasuk grenad 82mm Type 65 buatan China dan roket antikereta kebal tanpa panduan Norinco PF-89 bersama kepala peledak.

 

Walaupun pertempuran Thailand-Kemboja ini tidak mencapai tahap peperangan besar, satu ciri menonjol dalam konflik ini adalah penggunaan kelengkapan ketenteraan buatan China oleh kedua-dua negara yang bertelagah.

 

Kelengkapan ketenteraan seperti sistem pelancar roket, kereta kebal dan sistem artileri buatan China kini memainkan peranan penting dalam meningkatkan keberkesanan pertahanan dan menyerang kedua-dua pihak.


Antara kelengkapan Tentera Kemboja buatan China yang dirampas oleh Thailand dalam siri konflik yang tercetus semenjak 7 Disember 2025 lalu. /Gambar: Media sosial.

Peranan China dalam konflik sempadan Thailand-Kemboja boleh dianggap serupa dengan peranan negara-negara Eropah dalam konflik Ukraine dengan Rusia.

 

Di Ukraine, negara-negara Eropah dalam pakatan NATO termasuk Amerika Syarikat telah menyediakan senjata canggih dan sistem persenjataan kepada tentera Ukraine dalam menghadapi ancaman dari Rusia.

 

Cuma berbanding dengan Ukraine yang bergantung pada bekalan senjata barat, Thailand dan Kemboja pula menjadi pembeli kelengkapan dari China kerana faktor kos yang murah.

 

Dalam konteks ini, China tidak hanya menjadi pembekal tetapi juga secara tidak langsung mempengaruhi keseimbangan ketenteraan dengan kedua-dua negara yang bertelagah memperkuatkan pertahanan mereka melalui senjata buatan China.


GAM-102LR keluaran Poly Technologies yang dioperasikan oleh tentera Kemboja dilaporkan setara dengan sistem FGM-148 Javelin. /Gambar: Media sosial

Thailand walaupun mempunyai pelbagai sistem persenjataan buatan barat termasuk Israel, namun ada banyak juga kelengkapan yang dibeli dari China pada harga ‘sahabat’ yang jauh lebih murah berbanding kelengkapan sama buatan barat. Ini seperti kereta kebal, kenderaan perisai dan sistem MLRS.

 

Kemboja pula menjadikan China sebagai pengimbang kepada negara jirannya seperti Thailand dan Vietnam, lalu berkiblatkan Beijing dalam perolehan pertahanan. Ada juga kelengkapan seperti kenderaan diterima Kemboja secara hibah dari China.

 

Sehubungan itu, konflik sempadan dua negara ini juga mempamerkan sejauh mana keberkesanan kelengkapan ketenteraan buatan China. Ternyata ia tidak boleh dipandang ringan.

 

Sebagai contoh, pemilikan sistem MLRS PHL-03 memberi Kemboja kemampuan untuk melancarkan serangan yang tepat ke arah  pos-pos pertahanan Thailand yang jauh di belakang garisan depan.


Sistem pelancar roket berganda MLRS PHL-03 mempunyai impak tersendiri dalam peperangan Thailand-Kemboja. /Gambar: ODIN TRADOC

Sistem ini bukan sahaja memberi Kemboja kemampuan untuk memusnahkan sasaran dengan lebih tepat, tetapi juga meningkatkan moral tentera mereka kerana memiliki teknologi ketenteraan yang canggih.

 

Di sisi Thailand, penggunaan kereta kebal VT-4 memberikan kelebihan dalam pertempuran darat, manakala Kemboja masih mewarisi kereta kebal era Soviet. Dengan mobiliti yang baik dan kuasa tembakan, kereta kebal VT-4 memungkinkan Thailand untuk menguasai medan pertempuran dan memberikan tekanan terhadap Kemboja di sempadan.

 

Thailand adalah negara asing pertama yang mengoperasikan VT-4.

 

Walaupun ada berita menyebut tentang kegagalan sistem beberapa kereta kebal VT-4 semasa operasi termasuk insiden kereta kebal musnah dibedil semasa bertempur, namun inilah realiti sebenar.

 

Musnah dibedil tidak bermakna ia bukan kereta kebal yang baik kerana terdapat pelbagai faktor memungkinkan kereta kebal menjadi mangsa.

Selagi tidak beraksi dalam medan tempur pengguna tidak tahu keupayaan aset-aset tersebut, malah aset-aset perang ini bukan hanya gah semasa perbarisan atau demonstrasi semata-mata.

 

Penggunaan kelengkapan di medan tempur merupakan medan ujian terbaik untuk industri menambah baik rekaan ataupun ciri-ciri pada pembinaan seterusnya.

 

Selepas konflik Pakistan-India yang telah menyaksikan keupayaan pesawat J-10C China serta rangkaian sistem pengawasan udaranya, negara tembok besar itu dilihat akan meraih laba sama daripada konflik Thailand-Kemboja.

 

Tidak keterlaluan jika dikatakan keupayaan aset-aset ketenteraan buatan China ini bakal meletakkan negara itu beberapa langkah ke hadapan lagi.


Walaupun ada berita menyebut tentang kegagalan sistem beberapa kereta kebal VT-4 semasa operasi termasuk insiden kereta kebal musnah dibedil semasa bertempur, namun inilah realiti sebenar. /Gambar: Media sosial.

Eksport senjata China ke Thailand dan Kemboja bukan sahaja menguntungkan dari segi ekonomi, tetapi juga membolehkan China mempengaruhi dasar perolehan ketenteraan.

 

Selama ini kelengkapan ketenteraan China telah menang kerana faktor harga, justeru status ‘battle proven’ bakal melonjakkan lagi reputasinya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply