Lawatan kerja rasmi delegasi Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) ke China minggu lalu tidak menjadi tajuk akhbar pada mana-mana media massa kerana ia bukanlah kunjungan menteri.
Berbeza dengan lawatan seorang menteri, kenyataan atau cakap-cakap yang keluar dari mulut beliau akan dijadikan sumber utama berita atau fokus walau sebenarnya menteri bukan pembuat keputusan mutlak.
Bagaimana pun, lawatan kerja rasmi yang diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali ke China sebenarnya menarik untuk diberikan perhatian pada ketika MINDEF sedang memuktamadkan beberapa perolehan baharu.
Antara perolehan tersebut adalah sistem pertahanan udara aras sederhana (MERAD), kapal misi pesisir, dron, sistem artileri dan pesawat tempur.
KSU kementerian memanglah bukan seorang menteri, namun dalam hirarki penjawat awam di sesebuah kementerian, beliau adalah pemimpin nombor satu dalam aspek tadbir urus.
Menerusi perkongsian dalam laman media sosial Facebook MINDEF, delegasi KSU melakukan lawatan yang disifatkan sebagai menyeluruh meliputi setiap bidang industri di China.
Lawatan industri ini juga dikatakan mencerminkan komitmen berterusan MINDEF dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).
Sepertimana digariskan dalam DIPN, antara lain dasar ini menekankan pemerkasaan industri pertahanan tempatan secara mampan dan berdaya tahan melalui kerjasama strategik di peringkat antarabangsa. Dasar ini akan menjadi kerangka utama dalam memacu lokalisasi teknologi, pembangunan bakat tempatan dan kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa.
Ia sekali gus memastikan ekosistem industri pertahanan Malaysia lebih berdaya saing, berdaya tahan dan relevan dalam landskap keselamatan serantau yang semakin kompleks.
Peranan KSU apabila mengetuai lawatan luar negara adalah sebagai ketua delegasi rasmi, wakil tertinggi kementerian, perancang strategik, perunding utama dan pentadbir perjalanan. Ini untuk memastikan matlamat lawatan tercapai, mewakili dasar kerajaan, menjalin hubungan diplomatik dan menyelesaikan isu pentadbiran sambil mematuhi peraturan kewangan dan protokol negara.
China hari ini bukanlah China 30 tahun lalu yang mana dimensi industri negara itu terutamanya dalam sektor pertahanan sering dipandang sebelah mata. Industri pertahanan China walaupun belum lagi mendominasi pasaran dunia, tetapi sedikit demi sedikit ia mula menarik pengguna baharu khususnya di rantau Asia.
Melihat kepada aturcara lawatan, delegasi KSU telah melihat lebih dekat gergasi-gergasi industri pertahanan China. Memulakan lawatan industri, delegasi KSU melawat ke China North Industries Group Corporation Limited (NORINCO).
Ia sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama industri pertahanan dan penerokaan teknologi strategik.
Lawatan tersebut memberi pendedahan menyeluruh mengenai keupayaan serta kemajuan NORINCO dalam bidang teknologi pertahanan, latihan dan pembangunan industri yang mempunyai nilai strategik.
KSU turut mengadakan sesi perbincangan yang membuka peluang kerjasama antara NORINCO dan syarikat tempatan Malaysia.
Diskusi ini memberi fokus kepada aspek pemindahan teknologi, pembangunan kapasiti industri serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Lawatan berikutnya adalah ke China State Shipbuilding Corporation (CSSC) di Beijing.
Ia sebagai sebahagian daripada usaha menilai keupayaan teknologi, model pembangunan industri dan amalan terbaik dalam industri pembinaan kapal pertahanan berskala global.
Turut diadakan sesi perbincangan bersama pihak CSSC yang memfokuskan kepada peluang kerjasama industri, termasuk aspek pemindahan teknologi dan pemahaman landskap industri pertahanan maritim antarabangsa.
Delegasi seterusnya telah mengadakan mesyuarat dua hala bersama Bureau of Military Equipment Technical Cooperation (BOMETEC).
Mesyuarat berkenaan melibatkan KSU selaku Ketua Delegasi MINDEF dan Major General Cao Xiaojian, Director General BOMETEC.
Perbincangan memfokuskan kepada penerokaan peluang kerjasama strategik dalam pembangunan peralatan dan teknologi pertahanan.
Ini termasuk pembangunan keupayaan bersama serta pengukuhan mekanisme kerjasama yang lebih berstruktur dan praktikal.
Lawatan industri MINDEF diteruskan ke China National Aero Technology Import and Export Corporation (CATIC).
Ini memberi pendedahan terhadap ekosistem aeroangkasa CATIC, termasuk pembangunan pesawat pejuang, latihan UAV dan sistem sokongan bersepadu.
Ia memberi gambaran jelas tentang keupayaan teknologi tinggi boleh menyokong kesiapsiagaan dan keberkesanan ATM.
Lawatan ini turut membuka ruang perbincangan mengenai peluang kolaborasi industri, khususnya cadangan seperti penubuhan makmal AI bersama industri tempatan bagi menyokong sistem logistik dan pergudangan ATM.
Secara keseluruhan, lawatan KSU ke negara lain untuk meninjau fasiliti dan industri pertahanan boleh membawa beberapa maksud yang berbeza, bergantung kepada konteks dan tujuan lawatan tersebut.
Ia boleh menjadi tanda minat terhadap industri pertahanan secara keseluruhan atau juga sebagai usaha untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang sistem persenjataan yang berpotensi untuk dibeli.
Dengan kata lain, ia penting dalam perancangan strategi pertahanan negara dan dalam membentuk dasar ketenteraan pada masa hadapan. – airtimes.my
