Home Teknologi PertahananASELSAN meterai kontrak USD 410 juta bekal sistem peperangan elektronik kepada Poland

ASELSAN meterai kontrak USD 410 juta bekal sistem peperangan elektronik kepada Poland

by M.Daim
A+A-
Reset

ANKARA, 23 DIS – Syarikat pertahanan Türkiye, ASELSAN, menandatangani kontrak eksport bernilai USD 410 juta dengan kerajaan Poland bagi membekalkan sistem Peperangan Elektronik (Electronic Warfare).

Menurut ASELSAN, kontrak ini menandakan kejayaan strategik syarikat itu dalam pasaran pertahanan Eropah.

Kontrak yang dimeterai pada 19 Disember itu melibatkan penjualan terus sistem peperangan elektronik berteknologi tinggi kepada Poland, sebuah negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

ASELSAN dalam satu kenyataan memaklumkan kontrak berkenaan dianugerahkan selepas proses tender yang kompetitif, di mana syarikat itu berjaya mengatasi beberapa pesaing antarabangsa. Kejayaan tersebut mencerminkan kekuatan teknologi, kematangan operasi serta kecekapan sistem ASELSAN dalam domain peperangan elektronik moden.

Pemilihan ASELSAN oleh Poland bagi keupayaan strategik itu dilihat sebagai pengiktirafan terhadap penyelesaian termaju dan kepakaran integrasi sistem yang dimiliki syarikat berkenaan. Kontrak itu juga dijangka menjadi rujukan penting bagi kedudukan ASELSAN dalam pasaran pertahanan Eropah dan NATO yang lain.

Kontrak tersebut disifatkan sebagai pencapaian besar bagi ASELSAN dan kejayaan signifikan kepada industri pertahanan Türkiye.

Semasa majlis menandatangani perjanjian, Timbalan Perdana Menteri Poland merangkap Menteri Pertahanan, Władysław Kosiniak-Kamysz, menekankan kepentingan strategik kontrak itu kepada keselamatan negara Poland.

Beliau berkata rundingan bersama ASELSAN telah berlangsung dalam tempoh yang panjang dan dimuktamadkan sejurus selepas lawatan rasmi beliau ke Türkiye.

Menurut Kosiniak-Kamysz, transformasi industri pertahanan Türkiye dalam tempoh dua dekad lalu merupakan satu perkembangan luar biasa, apabila kebergantungan negara itu terhadap import peralatan ketenteraan berjaya dikurangkan secara ketara.

ASELSAN telah terlibat dalam pembangunan teknologi peperangan elektronik selama lebih empat dekad dan kini muncul sebagai antara peneraju global dalam bidang tersebut. Keupayaan syarikat itu merangkumi reka bentuk sistem, pembangunan perkakasan dan perisian, pembinaan algoritma, integrasi sistem, pengeluaran serta pengesahan operasi di lapangan.

Sebagai pembekal utama sistem peperangan elektronik kepada Angkatan Tentera Turkiye, ASELSAN turut membekalkan penyelesaian tersuai kepada pelbagai angkatan tentera di seluruh dunia. Portfolio peperangan elektronik syarikat itu merangkumi sistem sokongan dan serangan elektronik radar serta komunikasi, penyelesaian anti dron, sistem perlindungan aktif, sistem perlindungan kendiri elektronik dan platform misi khas. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply