ALBACETE, 23 DIS – Kerajaan Sepanyol telah melakukan pembelian helikopter secara besar-besaran bagi mempertingkatkan keupayaan pasukan tentera mereka melalui Pelan Helikopter Nasional (Plan Nacional de Helicópteros). Menurut Airbus, perolehan itu melibatkan 100 helikopter.
Airbus dalam satu kenyataan berkata, perolehan tersebut dilaksanakan melalui Direktorat Jeneral Persenjataan dan Material (DGAM) dan merangkumi 4 kontrak berasingan yang melibatkan empat model helikopter berbeza untuk ketiga-tiga cabang pasukan tentera Sepanyol.
Pakej perolehan itu merangkumi 13 buah helikopter H135, 50 H145M, 6 H175M dan 31 NH90.

PEROLEHAN SKALA BESAR. Infografik menunjukkan perincian perolehan helikopter oleh kerajaan Sepanyol. /Infografik oleh Airbus
Ketua Pegawai Eksekutif Airbus Helicopters, Bruno Even, berkata kontrak akan membawa perubahan ketara terhadap keupayaan operasi tentera Sepanyol.
“Penganugerahan kontrak ini merupakan pelaksanaan Pelan Helikopter Nasional dan memberikan anjakan kualitatif dalam keupayaan tentera Sepanyol,
“Pada masa yang sama, kontrak ini mengukuhkan serta memperluaskan lagi jejak industri Airbus Helicopters di Sepanyol,” kata Bruno Even yang menegaskan perolehan secara besar-besaran itu akan meletakkan Sepanyol sebagai hab rujukan industri aeroangkasa Eropah.
H135
H135 merupakan helikopter ringan yang digunakan secara meluas bagi latihan juruterbang dan operasi utiliti asas. Melihat kepada kontrak yang dimeterai oleh Airbus, Sepanyol menempah sebanyak 13 helikopter H135. Melalui perolehan ini, sebanyak 12 helikopter diperuntukkan kepada tentera udara Sepanyol dan sebuah lagi kepada pasukan tentera Laut.
Melihat kepada penerangan Airbus Helicopters di halaman rasmi mereka, H135 direka untuk latihan lanjutan juruterbang, misi utiliti ringan dan pemantauan.
H145M
H145M merupakan perolehan terbesar oleh Sepanyol melalui kontrak ini di mana 50 helikopter telah ditempah. Helikopter ketenteraan yang direka berasaskan model H145 ini akan dioperasikan oleh Tentera Darat Sepanyol.
Helikopter ini mampu diintegrasikan melalui sistem modular HForce oleh Airbus. Ini sekaligus menjadikan H145M sebagai sebuah helikopter ringan yang mampu melaksanakan pelbagai peranan.
H175M
Berdasarkan maklumat di laman rasmi Airbus, H175M merupakan helikopter utiliti sederhana yang direka untuk misi jarak sederhana dengan kapasiti muatan lebih besar serta tahap keselesaan tinggi. Keupayaan ini menjadikannya aset strategik bagi misi kerajaan dan pengangkutan rasmi yang memerlukan kebolehpercayaan serta jarak operasi berterusan.
NH90
Melalui perolehan 100 buah helikopter oleh Sepanyol, sebanyak 31 helikopter NH90 diperoleh untuk ketiga-tiga cabang kekuatan tentera Sepanyol.
NH90 merupakan helikopter taktikal sederhana yang direka untuk operasi bersama merentas domain darat, udara dan maritim. Dengan avionik moden dan kebolehoperasian tinggi, helikopter ini menjadi tunjang keupayaan pengangkutan taktikal dan operasi khas, termasuk sokongan kepada misi peperangan amfibia. – airtimes.my
