KUALA LUMPUR 13 DIS – Sauh yang dipamerkan pada Tugu Peringatan HMS Prince Of Wales dan HMS Repulse di Teluk Cempedak, Kuantan, Pahang sebagai monumen perang dikatakan bukan kepunyaan kedua-dua kapal tersebut.
Dakwaan itu dibuat oleh Pengasas dan Pengerusi Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHG), Shaharom Ahmad.
MHG yang aktif sejak awal tahun 1990-an merupakan sebuah kumpulan yang banyak menyumbang kepada kajian sejarah Malaysia, terutamanya berkaitan Perang Dunia Kedua dan tapak-tapak peninggalan sejarah di negara ini.
Shahrom dan pasukannya sendiri melalui laman web MHG kerap memperincikan sejarah-sejarah penting termasuk memasang papan tanda sejarah di lokasi tapak-tapak perang tertentu.
Ini termasuk penemuan penting tentang bangkai kapal perang, kapal terbang dan mendedahkan banyak sejarah serta lokasi-lokasi bersejarah di Malaysia.

Shaharom bersama sebahagian besi-besi tinggalan kapal perang HMS Prince of Wales, Repulse yang ada di Muzium Tentera Darat. /Gambar: MHG
Menurut Shaharom, dakwaan tersebut berasaskan kajian yang telah dilakukan dan mendapati ciri-ciri sauh ini tidak menyamai ciri-ciri sauh yang dikatakan ‘kedge anchor’ (sauh kedua) atau apa-apa sauh yang datang dari kedua-dua kapal perang tersebut.
“Sempena dengan 84 tahun memperingati peristiwa kapal perang HMS Prince of Wales dan Repulse tenggelam, saya ingin menyatakan bahawa sauh yang dikatakan dari kapal tersebut yang kini dipamerkan sebagai memorial HMS Prince of Wales dan Repulse di Kuantan adalah tidak tepat.
“Sauh yang sama jenis ini dijumpai digunakan oleh nelayan di negara jiran (rujuk gambar) yang bentuk hampir sama.
“Teori saya mungkin sauh ini diguna untuk sauh pada bangkai kapal semasa proses selaman (diving) dan tersangkut.
“Kemudian ia diangkat sekali bersama serpihan lain semasa proses pengambilan serpihan secara haram pada beberapa tahun lepas.
“Mohon pihak yang berkenaan boleh ubah atau ganti dengan artifak yang tepat dari kapal-kapal perang ini,” ujarnya semasa dihubungi Air Times News Network.

Contoh reka bentuk ‘kedge anchor’ yang sebenar dan tampak berbeza dengan Sauh yang dipamerkan pada Tugu Peringatan HMS Prince Of Wales dan HMS Repulse di Teluk Cempedak. /Gambar: MHG
Katanya, berdasarkan rupa bentuk sauh tersebut juga sangat berbeza jika ia dikatakan sebagai satu kedua atau ‘kedge anchor’ kerana sauh sebenar sesebuah kapal perang diperbuat daripada besi tuang (cast iron) manakala yang dipamerkan di memorial kelihatan seperti besi biasa yang dipateri.
Justeru, adalah tidak logik bagi sebuah kapal perang yang besar dan gah dibina Tentera Laut Diraja Britain pada zaman itu menggunakan sauh jenis logam sedemikian.
Kata Shaharom, HMS Repulse mempunyai tiga buah sauh utama, manakala ‘kedge anchor’ pula bersaiz lebih kecil biasanya diguna untuk bot kecil yang ada di atas kapal perang besar.
Tambah beliau, pihak berkuasa bertanggungjawab sebenarnya boleh menggunakan banyak lagi artifak atau tinggalan kapal HMS Prince of Wales dan Repulse untuk menggantikan sauh tersebut jika ingin diganti.

Sauh yang dipercayai milik HMS PRINCE OF WALES yang dirampas dari aktiviti penjarahan besi di perairan negara.
Ketika ini tugu peringatan kepada dua kapal perang British iaitu HMS Prince Of Wales dan HMS Repulse di Teluk Cempedak mempamerkan satu sauh yang dikatakan sebagai milik salah sebuah kapal itu.
Tugu berkenaan dirasmikan pada 10 Disember 2023.
Sauh ‘auxiliary anchor’ dipercayai tinggalan daripada HMS Repulse yang dihadiahkan United Kingdom kepada Malaysia diletakkan di hadapan tugu tersebut.
Sauh terbabit sebelum ini diselamatkan daripada aktiviti penyeludupan haram pada tahun 2015 dan dipamerkan di Muzium Tentera Darat di Port Dickson, Negeri Sembilan sebelum dipindahkan ke situ.
Pembinaan tugu tersebut mendapat kerjasama Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sempena memperingati ulang tahun ke-82 kapal perang yang ditenggelamkan itu.

Ketika Perang Dunia ke-2 memuncak di Tanah Melayu, Kapal HMS PRINCE OF WALES telah dihantar bagi mengekang kemaraan Tentera Jepun.
Dua kapal itu ditenggelamkan pada kedudukan 61 batu nautika di luar pantai Kuantan dalam serangan pesawat-pesawat Jepun pada 10 Disember 1941 iaitu dua hari selepas pencerobohan Jepun ke Tanah Melayu
Kapal perang HMS Prince of Wales dan HMS Repulse yang menjadi kebanggaan Tentera Laut Diraja Britain itu adalah sebahagian daripada Armada Force Z yang dihantar untuk mempertahankan Tanah Melayu daripada serangan Jepun.
Seramai 840 kelasi terkorban dalam kejadian itu iaitu 513 daripada HMS Repulse dan 327 HMS Prince of Wales termasuk pemerintah Armada Force Z, Laksamana Madya Sir Tom Phillips. – airtimes.my
#AirTimes #malaysia #semasa #MHG

Gambar ilustrasi serangan udara Jepun ke atas HMS Prince of Wales dan Repulse.
