Sebagai langkah untuk memperkukuh pertahanan udara negara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan memperoleh sistem peluru berpandu pertahanan udara jarak sederhana (MRAD) dengan anggaran peruntukan sebanyak RM1.9 bilion.
Peruntukan ini adalah sebahagian daripada bajet keseluruhan sebanyak RM6 bilion yang diumumkan kerajaan Malaysia baru-baru ini untuk memperkukuh keupayaan pertahanan negara.
MRAD lazimnya berupaya untuk memintas sasaran udara dalam lingkungan 25 kilometer (km) hingga lebih 100 km. Jarak tempur sistem pertahanan udara ini bergantung kepada spesifikasi dan juga keupayaan sesuatu aset yang ditawarkan oleh pengeluar.
Artikel ini turut dimuatkan dalam fail pdf khusus untuk tatapan para pembaca. Klik di sini untuk terus ke paparan PDF.
Perolehan MRAD untuk TUDM sememangnya mustahak memandangkan ianya adalah salah satu daripada aset strategik yang berupaya untuk memberikan kesan secara cegah rintang (detterence). Selain itu, ia memainkan peranan dalam melindungi kedaulatan ruang udara negara pada saat-saat diperlukan pada satu masa kelak.
Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.
Seperti mana dilaporkan akhbar Utusan Malaysia, Panglima TUDM, Jeneral Dato’ Sri Muhamad Norazlan Aris menyebut angka RM1.9 bilion ini sebagai langkah awal menubuhkan rejimen pertahanan udara MRAD.
Katanya, jumlah tersebut dilihat memadai untuk membeli dua bateri sistem MRAD lengkap termasuk peluru berpandu, sistem radar, dan infrastruktur sokongan yang diperlukan.
Ini untuk memastikan keberkesanan sistem ini dalam operasi pertahanan negara sebelum jumlah ditambah secara berperingkat-peringkat.
Tambah Muhamad Norazlan, walaupun proses pemilihan sistem MRAD ini masih awal tetapi terdapat beberapa firma pertahanan seperti dari Türkiye dan China sudah menunjukkan minat untuk menawarkan sistem buatan masing-masing.

Perkembangan konflik semasa di seluruh dunia telah menunjukkan kepentingan sistem pertahahan udara yang ampuh untuk mempertahankan kedaulatan ruang udara negara./ Gambar hiasan : Marine Rotational Force - Darwin/ Sgt. Brian Stippey
Secara amnya, TUDM akan menilai semua tawaran daripada segi kos, kesesuaian, selenggaraan dan aspek teknikal. Dengan jumlah RM1.9 bilion (sekitar USD 422 juta) TUDM mempunyai pilihan dari beberapa pengeluar utama yang menyediakan teknologi pertahanan udara moden.
Perolehan sistem MRAD ini adalah sebahagian daripada senarai hasrat TUDM yang telah ditetapkan sejak 5 tahun lalu untuk memastikan negara sentiasa siap siaga terhadap ancaman serangan udara. Sistem MRAD memainkan peranan penting dalam pertahanan udara negara dengan kemampuannya untuk mengesan dan memusnahkan sasaran udara pada jarak yang lebih jauh.
Ini menjadikannya sistem persenjataan tersebut sangat diperlukan untuk melindungi ruang udara negara daripada ancaman luar. Beberapa pilihan yang boleh dipertimbangkan oleh TUDM termasuk NASAMS dari Norway, KM-SAM (Cheongung-II) dari Korea Selatan, HISAR (Türkiye), IRIS-T (Jerman/Sweden) dan LY-80 /HQ-16 dari China.

NASAMS merupakan sistem pertahanan udara yang dibangunkan bersama di antara KONGSBERG dan RTX Corporation. Gambar: Tentera Laut Diraja Norway
NASAMS
Sistem NASAMS sebagai contoh menjadi pilihan tentera negara-negara NATO dan telah digunakan oleh negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan Norway.
Berdasarkan perjanjian yang dimeterai oleh Pentagon AS dengan Ukraine, dua bateri NASAMS termasuk latihan dan sokongan logistik, dijual pada harga sekitar USD182 juta.
Dengan bajet yang ada TUDM dijangka dapat memperoleh dua bateri NASAMS, yang merupakan sistem peluru berpandu pertahanan udara berprestasi tinggi.

KM-SAM atau Cheongung-II merupakan sistem pertahanan udara yang berasaskan teknologi S-300 dan S-400./ Gambar: Kementerian Pertahanan Korea Selatan
Cheongung-II/KM-SAM
Pilihan lain yang berprestasi tinggi adalah KM-SAM (Cheongung-II), sistem pertahanan udara jarak sederhana dari Korea Selatan. Arab Saudi sebagai contoh membeli 10 bateri KM-SAM dengan nilai sekitar USD3.2 bilion, yang bermaksud kos satu bateri adalah sekitar USD320 juta.
Firma Korea Selatan juga sejak beberapa tahun lalu giat mempromosikan sistem persenjataan mereka kepada Malaysia, ini termasuklah KM-SAM bagi mengisi calon MRAD.

LY-80 atau HQ-16 pada ketika ini dioperasikan oleh China dan Pakistan./ Gambar: Kementerian Pertahanan China - China Mil.
LY-80 (HQ-16)
Pada harga lebih kompetitif, sistem MRAD buatan China, LY-80 (HQ-16) boleh menjadi alternatif yang lebih berpatutan.
Teknologi pada sistem LY-80 juga tidak kurang hebatnya kerana China telah lama membangunkan sistem pertahanan udara berlapis yang lebih kompleks. China sebenarnya lebih awal melobi sistem MRAD kepada Malaysia iaitu seawal tahun 2003, malah hampir menjualnya pada 2006 sebelum program MRAD ditangguhkan.
Ketika itu sistem KS-1A1 telah dipersetujui untuk dibeli bagi kegunaan GAPU, tapi tidak menjadi kenyataan.
Kos perolehan bukan sekadar beli
Bagaimana pun, angka-angka yang dinyatakan di atas ini bukanlah nilai sebenar kerana kos perolehan akhir MRAD akan mengambil kira banyak faktor.
Selain itu, latihan untuk anggota TUDM dan sokongan logistik operasi jangka panjang turut memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan sistem MRAD yang dibeli.
Kos tambahan untuk latihan dan penyelenggaraan perlu diambil kira dalam keseluruhan perancangan perolehan ini.
Apa yang pasti, memperoleh sistem MRAD canggih dan berprestasi tinggi bakal meletakkan kedudukan pertahanan negara pada peringkat lebih digeruni. Dengan keputusan yang tepat dalam memilih sistem MRAD paling sesuai, TUDM akan lebih bersedia untuk melindungi ruang udara negara dalam menghadapi ancaman global yang semakin kompleks. – airtimes.my
PAPARAN VERSI PDF:
Skip to PDF content


















