Home Pertahanan dan Keselamatan Projek kapal LCS TLDM ada kemajuan positif – PAC

Projek kapal LCS TLDM ada kemajuan positif – PAC

A+A-
Reset

LUMUT, 30 JAN– Terdapat kemajuan yang positif dalam pelaksanaan projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) TLDM secara keseluruhan yang dilaksanakan Lumut Naval Shipyard (LUNAS).

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, walaupun terdapat beberapa cabaran, pihaknya akan terus memantau setiap perkembangan untuk memastikan pembinaan kapal LCS selesai mengikut garis masa.

Selain itu, ia juga hendaklah mengikut anggaran kos yang telah dipersetujui.

“PAC akan terus memastikan bahawa projek ini berjalan lancar demi kepentingan keselamatan negara dan kemajuan TLDM,” menurut beliau dalam satu kenyataan media.

Mas Ermieyati mengetuai delegasi PAC Parlimen Malaysia hari ini telah mengadakan lawatan kerja ke limbungan LUNAS di sini bagi memantau perkembangan terkini projek pembinaan kapal tersebut.

Lawatan yang merupakan siri ketiga PAC itu bertujuan mendapatkan maklumat terkini mengenai kemajuan pembinaan kapal LCS serta cabaran yang dihadapi dalam menyelesaikan projek tersebut.

Ini adalah susulan daripada prosiding-prosiding PAC terdahulu yang membincangkan status pembangunan LCS.

Sementara itu, dalam kenyataannya Masa Ermieyati memberitahu delegasi PAC telah diberi taklimat mengenai kemajuan pembinaan kapal-kapal LCS, garis masa projek dan isu-isu utama yang timbul.

Selain itu, PAC turut diberi peluang untuk melihat sendiri kapal LCS 1 KD Maharaja Lela yang sedang dibina di Limbungan LUNAS, serta meninjau kapal LCS 2 dan LCS 3 dari luar.

Kapal LCS 2, KD Raja Muda Nala dilancarkan pada Julai lepas lalu manakala LCS 3 yang diberi nama KD Sharif Mashor akan dilancar pada bulan depan.

Lawatan ini turut disertai oleh wakil-wakil dari pelbagai agensi penting termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Kewangan Malaysia, Jabatan Audit Negara Malaysia dan Jabatan Akauntan Negara.

Turut serta dalam lawatan ini adalah Ahli Parlimen Lumut, Pengerusi PAC Negeri Perak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Astaka yang juga Ahli PAC Perak, serta ADUN Pangkor.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (MINDEF), delegasi MINDEF serta TLDM juga turut hadir sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memantau kemajuan projek LCS.

Menurut Mas Ermieyati, lawatan ini menunjukkan komitmen PAC untuk melibatkan PAC negeri dan wakil rakyat dalam memantau projek besar ini.

“PAC akan mengadakan mesyuarat prosiding pada Rabu, 4 Februari 2026 di Parlimen Malaysia untuk membincangkan hasil lawatan ini serta perkembangan terkini projek,” jelasnya. -airtimes.my

KATA KUNCI : LSCLunasMINDEFPACTLDM

Leave a Reply