Pelancaran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), satu inisiatif yang dilihat sebagai komitmen kerajaan untuk memperkukuh kemandirian dan daya saing sektor pertahanan negara.DIPN menggambarkan kesungguhan kerajaan Madani dalam menentukan halatuju baharu bagi industri pertahanan tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada teknologi asing.
Meskipun niat baik di sebalik DIPN jelas, persoalan yang muncul adalah apakah dasar ini benar-benar mampu merealisasikan impian negara untuk mencapai kemandirian dalam industri pertahanan? Atau adakah ia sekadar satu pengulangan dasar-dasar yang telah diumumkan sejak lebih dua dekad lalu tanpa keberhasilan yang konkrit.
Sepertimana dijelaskan Perdana Menteri,DIPN bertujuan untuk memperkukuh sektor-sektor strategik seperti maritim, aeroangkasa, automotif ketenteraan, persenjataan, siber dan elektromagnetik.
Antara matlamat utamanya adalah untuk memacu inovasi dalam teknologi pertahanan, mengurangkan kebergantungan kepada negara luar dan memastikan negara mempunyai industri pertahanan tempatan yang berdaya saing.
DIPN akan dilaksanakan dalam empat fasa utama iaitu penetapan asas, pengukuhan teknologi pengembangan keupayaan industri pertahanan dan pengoperasian penuh.Fasa ini bertujuan memastikan Malaysia mencapai daya saing global dalam sektor pertahanan. Walaupun pelancaran DIPN ini disambut dengan harapan tinggi, perlu kita lihat semula perjalanan panjang industri pertahanan negara dalam tempoh dua dekad lalu.
Sejak dahulu, kita telah mendengar laungan yang hampir sama untuk membangunkan industri pertahanan yang mandiri, untuk mengurangkan kebergantungan kepada negara luar, dan untuk mencapai kedaulatan pertahanan yang lebih kukuh. Pencapaian sepanjang tempoh itu, Malaysia dilihat telah berjaya membangunkan industri sendiri seperti kenderaan perisai dan kereta kebal secara pemasangan tempatan. Ada juga projek berprofil tinggi dalam industri pertahanan seperti peralatan radar, sistem persenjataan dan teknologi marin yang diusahakan oleh syarikat-syarikat tempatan.
Namun, di sebalik pencapaian tersebut, terdapat juga banyak ketempangan yang perlu ditelusuri.
Salah satu kegagalan paling nyata adalah keputusan kerajaan untuk menghentikan projek UAV (Unmanned Aerial Vehicle) nasional kira-kira 15 tahun lalu. Pada ketika itu, Malaysia sebenarnya sudah berada di landasan yang betul untuk membangunkan teknologi dron tempatan yang canggih. Sebaliknya, ‘end user’ lebih tertarik pada dron dan UAV buatan luar negara sebagai jalan pintas mendapatkan teknologi mutakhir.
Pendirian pengguna sendiri yang dilihat tidak menghargai kebolehan bakat tempatan termasuk para saintis dan jurutera menggagalkan segala usaha.
Kegagalan untuk meneruskan projek ini menyebabkan negara jauh tertinggal berbanding negara seperti Türkiye, yang kini menjadi peneraju industri dron dunia, walau pun pembangunan projek UAV bermula sama dengan Malaysia. Industri pertahanan tempatan pada masa kini sebenarnya lebih banyak bergantung kepada import daripada pengeluaran domestik.
Walaupun Malaysia mempunyai beberapa syarikat pertahanan berskala besar, industri ini masih belum mencapai tahap yang diharapkan. Banyak produk dan teknologi pertahanan negara masih mengimport sistem utama dari luar, terutama dalam aspek sistem persenjataan, pesawat tempur, dan teknologi dron.
Dalam hal ini, walaupun DIPN menyasarkan untuk memperkukuh keupayaan teknologi dan memacu inovasi, persoalannya adalah apakah kita sudah mempunyai asas yang cukup kukuh untuk mencapai matlamat tersebut?
Untuk mencapai industri pertahanan yang berdikari, negara perlu melabur bukan sahaja dalam pembangunan teknologi tetapi juga dalam peningkatan kapasiti industri tempatan, pendidikan dan latihan. Ini termasuk kerjasama dengan pemain global yang boleh membawa manfaat jangka panjang.
Perkara ini bukan tidak pernah dilakukan, malah sehingga ke hari ini hampir sebahagian besar industri pertahanan tempatan mempunyai rakan strategik dari luar negara. Tapi kemajuan industri kita kelihatan tidak jauh ke mana, malah ada beberapa projek yang menemui kegagalan. Cabaran kepada MINDEF era kerajaan Madani adalah perlu memastikan bahawa setiap fasa pelaksanaan DIPN tidak hanya bersifat formaliti, tetapi dilaksanakan dengan kecekapan dan komitmen yang berterusan.
Sebagai kesimpulan, pelancaran DIPN mungkin adalah satu langkah ke arah yang betul, tetapi pencapaiannya hanya boleh diukur berdasarkan tindakan sebenar dan hasil konkrit dalam beberapa tahun mendatang.
Apakah negara ini mampu mengatasi halangan-halangan yang pernah membantutkan usaha sebelumnya? Hanya masa yang akan menentukan.























