Home DiskusiKolumnis: Daripada Vietnam ke Iran, Kitaran Naratif Perang Amerika Syarikat

Kolumnis: Daripada Vietnam ke Iran, Kitaran Naratif Perang Amerika Syarikat

by Zaki Salleh
A+A-
Reset
Tindakan Presiden Donald Trump melancarkan serangan ke atas Iran meletakkan beliau sebaris dengan presiden-presiden terdahulu Amerika Syarikat (AS).
Mereka ini yang memilih pendekatan ketenteraan sebagai instrumen utama penyelesaian konflik dan pengimbang kuasa.
Ironinya, selepas membina naratif sebagai ‘penyelamat maruah AS’ dengan menggerakkan pengunduran tentera dari Afghanistan, Trump kini dilihat beralih arah dengan menggunakan kekuatan tentera dalam konflik baharu di Timur Tengah.
Pendekatan Trump sering digambarkan sebagai bersifat transaksional dengan kuasa tentera digunakan bukan untuk peluasan ideologi seperti era Perang Dingin.
Sebaliknya, sebagai alat mencapai matlamat spesifik dalam tempoh singkat.
Dalam konteks Iran, objektif yang dinyatakan jelas iaitu memusnahkan program nuklear dan peluru berpandu, serta melumpuhkan keupayaan tentera laut Iran.
Pentadbiran beliau menegaskan tiada rancangan menghantar tentera darat dan menjanjikan operasi ‘shock and awe’ yang pantas.
Trump malah dalam beberapa kenyataan memberitahu konflik itu boleh ditamatkan dalam dua atau tiga hari selepas matlamat sasaran tercapai.
Namun, sejarah membuktikan bahawa kemenangan ketenteraan awal jarang menjamin penyelesaian strategik jangka panjang.
Ada yang menegaskan bahawa walaupun rejim Iran dianggap diktator kejam, hal itu tidak memberi kuasa mutlak kepada Trump untuk memulakan perang pilihan tanpa kebenaran Kongres.
Isu autoriti perlembagaan dan legitimasi moral kini menjadi perbahasan hangat di Washington.
Persoalannya adalah sejauh mana tindakan perang ini membenarkan justifikasi Washington terhadap negara yang mereka anggap sebagai musuh.
Jika diimbas kembali, sepanjang 50 tahun lalu AS terbabit dalam konflik bersenjata atau melancarkan perang atas naratif yang mereka cipta.
Ironinya juga hampir kesemua teater atau pentas peperangan moden ini tidak berpihak kepada AS pada akhirnya sebagai pemenang, sebaliknya AS bertindak mengundurkan diri.
Contohnya Perang Vietnam, yang merupakan konflik bersenjata moden AS semasa era perang dingin.
Naratif AS ketika itu ialah mengekang penyebaran komunisme di Asia Tenggara. Namun selepas lebih sedekad peperangan, tentera AS berundur tanpa mencapai kemenangan mutlak.
Kejatuhan Saigon pada 1975 menjadi simbol kegagalan strategi ketenteraan yang tidak disertai kefahaman politik dan budaya tempatan.
Rakyat AS hingga kini masih meratapi kesan Perang Vietnam yang mengorbankan lebih 50,000 tenteranya manakala lebih 300,000 mendapat kecederaan.
Pentadbiran George W. Bush pada 2003 pula melancarkan serangan ke atas Iraq dan menggulingkan Saddam Hussein atas dakwaan kewujudan senjata pemusnah besar-besaran (WMD).
Namun, selepas rejim dijatuhkan, tiada stok aktif WMD ditemui. Hanya kira-kira 5,000 bahan senjata kimia lama era 1980-an usang dijumpai dan tidak signifikan dari sudut ketenteraan.
Kegagalan menemui WMD kekal sebagai titik kontroversi utama yang menjejaskan kredibiliti antarabangsa AS.
Bermula susulan tragedi 9/11 dan misi memburu Osama bin Laden atas nama ‘War on Terror’, perang ini berlanjutan selama 20 tahun.
Kosnya dianggarkan mencecah USD2.3 trilion, dengan lebih 2,450 anggota tentera AS terkorban.
Walaupun matlamat awal untuk melemahkan al-Qaeda tercapai, usaha pembinaan negara bernilai USD145 bilion gagal menghasilkan kestabilan berkekalan.
Perang Afghanistan yang tidak menampakkan lorong keluar kepada AS dan tentera pakatan berakhir apabila pengunduran sepenuhnya pada 2021.
Taliban kembali menguasai Afghanistan dalam tempoh beberapa minggu sahaja yang kini membentuk kerajaan sah.
Persoalan besar kini ialah sejauh mana justifikasi Washington terhadap Iran benar-benar berasaskan ancaman nyata, atau sekadar naratif keselamatan yang dibina untuk mengabsahkan tindakan ketenteraan.
Pada satu sisi, Trump nampak berbeza daripada presiden terdahulu dari segi retorik perang apabila menegaskan operasi terhad tanpa pendudukan darat.
Namun, sejarah menunjukkan bahawa konflik di Timur Tengah jarang bersifat linear.
Ketidakpastian tindak balas Iran, termasuk kemungkinan perang proksi dan gangguan terhadap laluan tenaga global, boleh mengheret AS ke dalam konflik lebih panjang daripada jangkaan.
Tambahan pula, jika kepimpinan tertinggi Iran digulingkan, kekosongan kuasa boleh mencetuskan ketidakstabilan serantau.
Sehingga pada artikel ini ditulis, Perang AS – Iran telah merebak ke sempadan Lebanon apabila pejuang Hizbullah melancarkan serangan roket ke atas kedudukan Israel di sana.
Apa yang hendak disimpulkan di sini adalah sepanjang 50 tahun lalu, AS kerap terlibat dalam konflik bersenjata berasaskan naratif keselamatan nasional.
Alasan diberikan seperti mengekang komunisme, memerangi keganasan, hingga memusnahkan WMD.
Setiap episod memperlihatkan jurang antara kemenangan taktikal dan kejayaan strategik.
Tindakan Trump terhadap Iran menghidupkan semula dilema klasik Washington.
Adakah kuasa ketenteraan mampu menjadi penyelesaian mutlak, atau sekadar mencipta kitaran konflik baharu dengan naratif rekaan.

Related Articles

Leave a Reply