Hampir sebulan perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran, konflik berskala besar yang tercetus tidak lagi terhad kepada peperangan di darat, laut dan udara.
Sebaliknya, satu dimensi baharu semakin mendominasi iaitu medan maklumat yang sarat dengan ketidakpastian, manipulasi dan persepsi.
Fenomena ini bukan sesuatu yang asing dalam teori peperangan.
Ahli strategi ketenteraan Prusia, Carl von Clausewitz, sejak abad ke-19 telah memperkenalkan konsep ‘fog of war’ dalam karya agungnya On War, merujuk kepada kekaburan maklumat yang menyukarkan keputusan kritikal di medan tempur.
Namun, dalam konteks konflik moden, ‘kabut peperangan’ kini melangkaui medan fizikal dan turut mempengaruhi ruang digital, media serta cara masyarakat berfikir.
Perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran telah dilihat sebagai perang maklumat dan medan tempur tanpa sempadan.
Konflik tersebut memperlihatkan bagaimana maklumat menjadi senjata strategik.
Pelbagai pendekatan digunakan termasuk manipulasi maklumat, pembentukan persepsi dan taktik mengelirukan melalui penyebaran maklumat yang tidak tepat.
Di satu pihak, AS dan sekutunya berusaha membentuk naratif bahawa operasi ketenteraan mereka bertujuan melemahkan keupayaan peluru berpandu dan nuklear Iran.
Namun di pihak lain, Iran memanfaatkan media dan rangkaian digital untuk mempengaruhi persepsi global, khususnya di dunia Islam dan negara membangun.
Apa yang membezakan konflik ini dengan peperangan terdahulu ialah penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Kandungan seperti ‘shallowfakes’, video manipulasi dan propaganda digital sekali gus mengaburkan garis pemisah antara maklumat sahih dan kandungan yang direka.
Dalam erti kata lain, konflik ini tidak lagi hanya bergantung kepada penguasaan wilayah, sebaliknya turut ditentukan oleh siapa yang berjaya membentuk persepsi global.
Ketidakpastian maklumat turut dipengaruhi oleh hubungan tegang antara media dan pentadbiran politik AS.
Presiden Donald Trump secara terbuka mengkritik media arus perdana, malah menuduh laporan berkaitan konflik sebagai berita palsu.
Lebih membimbangkan, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) AS, Brendan Carr dilaporkan mengancam untuk tidak memperbaharui lesen penyiaran bagi organisasi media yang tidak mematuhi tafsiran ‘kepentingan awam’.
Situasi ini mencerminkan persekitaran di mana maklumat bukan sahaja ditapis oleh kerajaan, tetapi juga dipertikai kesahihannya oleh pemimpin sendiri.
Dalam keadaan sedemikian, masyarakat global berdepan dilema iaitu siapakah sumber yang boleh dipercayai?
Sejarah menunjukkan bahawa semasa konflik seperti Perang Vietnam, Iraq dan Afghanistan, media pada ketika itu banyak merujuk kepada kenyataan rasmi kerajaan sebagai sumber utama laporan.
Namun kini, akses kepada maklumat juga semakin dikawal, sekali gus meningkatkan lagi ketidakpastian.
Selain propaganda, konflik ini turut menyaksikan peningkatan serangan siber berskala besar.
Infrastruktur kritikal di AS, Israel dan Iran menjadi sasaran, mewujudkan apa yang boleh digelar sebagai ‘kabut digital’.
Serangan ini bukan sahaja mengganggu operasi ketenteraan, tetapi turut memberi kesan kepada sektor awam dan ekonomi.
Dalam masa yang sama, peperangan elektronik di kawasan strategik seperti Selat Hormuz menjejaskan navigasi kapal, sekali gus mengancam keselamatan puluhan ribu pelaut.
Ketidakpastian ini menjadikan maklumat masa nyata hampir mustahil untuk disahkan secara mutlak.
Kabut peperangan turut memberi kesan langsung kepada ekonomi global.
Harga minyak mentah yang melonjak sehingga sekitar USD120 setong mencetuskan kebimbangan terhadap krisis tenaga dunia.
Penutupan hampir sepenuhnya Selat Hormuz yang merupakan laluan perdagangan minyak paling penting dunia bukan sahaja menjejaskan rantaian bekalan, tetapi juga meningkatkan risiko konflik lebih besar melibatkan kuasa-kuasa lain.
Dalam konteks ini, maklumat yang tidak tepat atau dimanipulasi boleh mencetuskan panik pasaran, sekali gus memburukkan lagi keadaan ekonomi global.
Dalam suasana penuh kekeliruan ini, keupayaan menilai maklumat menjadi aset kritikal.
Bergantung semata-mata kepada laporan media atau kenyataan rasmi tidak lagi mencukupi.
Sebaliknya, masyarakat perlu merujuk kepada pakar bidang yang mempunyai rekod penyelidikan kukuh, serta
organisasi analisis sumber terbuka (OSINT) yang lebih telus dalam menunjukkan bukti serta kaedah penilaian mereka.
Pendekatan ini penting bagi mengelakkan manipulasi persepsi yang boleh mempengaruhi pandangan awam secara tidak sedar.
Melihat kepada naratif semasa,
Perang Iran–AS–Israel membuktikan bahawa peperangan moden telah berubah secara fundamental.
‘Fog of war’ yang dahulunya merujuk kepada kekeliruan di medan tempur kini telah berkembang menjadi fenomena global yang merangkumi maklumat, persepsi dan psikologi masyarakat.
Dalam dunia yang dipenuhi maklumat tanpa sempadan, kebenaran bukan lagi sesuatu yang mudah dicapai sebaliknya ia perlu ditapis, dianalisis dan dipersoalkan.
Akhirnya, dalam peperangan ini, kemenangan bukan sahaja diukur melalui kekuatan ketenteraan, tetapi juga keupayaan mengawal naratif.
Kerana dalam era ini, kelebihan sebenar terletak pada keupayaan mengawal aliran maklumat dan membentuk persepsi.
