Isu kroni dan hubungan baik atau disebut sebagai ‘kabeliti’ yang wujud dalam Kementerian Pertahanan (MINDEF), khususnya dalam meletakkan calon tertentu untuk mengisi jawatan kanan bukan isu baru.
Ia telah lama disebut, cuma seperti biasa isu ini dikatakan hanya sebagai cakap-cakap dalaman atau ‘hearsay’ tanpa ada bukti untuk dibawa.
‘Kabeliti’ bukan perkataan baharu, malah tidak ada pun dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Ia hanya perkataan slanga (kiasan) iaitu berdasarkan kata asas ‘kabel’.
Kabel secara amnya merujuk kepada tali tebal dan kuat yang diperbuat daripada pintalan dawai, atau himpunan satu atau lebih konduktor berpenebat yang dilindungi lapisan luar.
Dalam bidang elektrik, kabel digunakan untuk menghantar kuasa atau isyarat dari satu lokasi ke lokasi lain.
Manakala dalam bidang mekanik, ia berfungsi untuk menarik atau mengangkut objek. Komponen utamanya termasuk konduktor dalaman, penebat, dan selongsong pelindung luar.
Bagi maksud kiasan pula, dalam budaya masyarakat Malaysia, ‘kabel’ atau ‘pakai kabel’ sering digunakan sebagai bahasa slanga untuk merujuk kepada orang dalam.
‘Kabeliti’ adalah lawan kepada perkataan ‘capability’ yang bermaksud keupayaan, kemampuan, atau kebolehan. Individu yang mempunyai ‘capability’ mempunyai ciri keupayaan dan potensi.
Kata khususnya, kabel bermaksud mempunyai orang dalam atau orang berpengaruh.
Lebih tepat, ia adalah tindakan nepotisme apabila menggunakan pengaruh atau hubungan peribadi dengan orang yang mempunyai kedudukan tinggi untuk mendapatkan sesuatu kelebihan.
Contohnya, mendapatkan pekerjaan, kenaikan pangkat, atau kontrak perniagaan bukan melalui merit atau kelayakan sebenar, tetapi melalui bantuan rakan atau saudara di dalam organisasi tersebut.
Justeru, unsur-unsur ‘kabeliti’ dikatakan berlaku dalam MINDEF untuk menentukan siapa-siapa yang layak untuk dicalonkan mengisi satu-satu jawatan strategik.
Secara rasmi, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan kewujudan budaya ‘kebeliti’ dan menegaskan bahawa pelantikan jawatan kanan adalah berasaskan merit, prestasi, dan kriteria ketat yang ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat.
Bagaimana pun, isu ini sering menjadi perdebatan awam dan perhatian kepimpinan tertinggi ekoran beberapa siri dakwaan dan insiden kebelakangan ini.
Antaranya, siasatan kebocoran maklumat di mana pada Februari 2026, pihak polis dan MINDEF dikatakan menjalankan siasatan terhadap dakwaan kebocoran maklumat sulit mengenai urusan perjawatan strategik dan kenaikan pangkat pegawai kanan ATM yang tular di media sosial.
Selain itu, mantan Panglima ATM sebelum ini pernah menyuarakan tentang budaya berpuak dan memberikan amaran keras supaya budaya seperti ‘your team, my team, his team’ dihentikan segera kerana ia boleh merosakkan integriti organisasi.
Fokus utama haruslah diberikan kepada kesetiaan kepada perkhidmatan dan negara, bukan kepada puak atau individu tertentu di dalam organisasi tersebut.
Isu-isu ini yang kemudiannya apabila didedah kepada umum dan tular menjadi isu nasional sehingga menarik perdebatan dalam kalangan rakyat serta golongan pemikir telah mewujudkan defisit kepercayaan.
Pihak ATM (menerusi ucapan umum daripada kepimpinan kanan) mengakui wujudnya cabaran defisit kepercayaan dan menekankan bahawa pangkat adalah amanah serta tanggungjawab bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa.
Isu kronisme dalam angkatan tentera seperti ATM bukan sekadar persoalan pelantikan jawatan, tetapi menyentuh secara langsung soal integriti, keupayaan operasi dan keselamatan negara.
Kronisme berlaku apabila jawatan strategik diisi berdasarkan hubungan peribadi, kesetiaan atau jaringan tertentu, bukannya merit, pengalaman dan rekod prestasi.
Dalam konteks ketenteraan, pendekatan sebegini boleh merosakkan prinsip asas meritokrasi yang menjadi tunjang profesionalisme sesebuah angkatan bersenjata.
Apabila data prestasi dan kelayakan objektif diketepikan, budaya ‘yes-man’ berisiko terbentuk, di mana pegawai lebih cenderung menjaga kepentingan individu atau kelompok tertentu berbanding kepentingan organisasi dan negara.
Implikasi pertamanya ialah terhadap moral warga pasukan.
Anggota di peringkat bawahan dan pertengahan lazimnya mengharapkan kenaikan pangkat serta penugasan dibuat berdasarkan kecekapan, disiplin dan pengorbanan.
Jika persepsi wujud bahawa laluan kerjaya ditentukan oleh kabel atau hubungan dalaman, ia boleh menimbulkan rasa tidak puas hati, menjejaskan motivasi dan akhirnya memberi kesan kepada kesiapsiagaan operasi.
Keduanya, kronisme turut memberi kesan kepada keyakinan awam.
Institusi tentera selama ini dihormati kerana dilihat sebagai badan profesional yang berada di atas kepentingan politik kepartian.
Sekiranya pelantikan, dasar atau keputusan penting dipengaruhi pertimbangan tidak profesional, imej dan kredibiliti angkatan itu boleh terjejas, sekali gus menurunkan tahap kepercayaan rakyat.
Lebih membimbangkan, kronisme tidak hanya terhad kepada pelantikan pegawai kanan.
Ia juga boleh menjalar dalam urusan perolehan, pemberian kontrak serta hubungan rapat dengan kontraktor tertentu.
Dalam sektor pertahanan yang melibatkan peruntukan besar dan aset strategik, sebarang kompromi terhadap integriti berisiko membuka ruang kepada pembaziran, ketirisan atau perolehan aset yang tidak memenuhi spesifikasi operasi sebenar.
Ini bukan sekadar isu tadbir urus, tetapi boleh melemahkan kedudukan strategik negara di peringkat serantau dan global.
Langkah seperti yang diumumkan oleh Panglima ATM, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman baru-baru ini supaya menetapkan tempoh maksimum 18 bulan bagi pegawai yang memegang jawatan berisiko tinggi.
Khususnya dalam bidang perolehan dan pengurusan kewangan, dilihat sebagai usaha mengelakkan pengukuhan rangkaian kuasa tidak sihat.
Pendekatan sedemikian boleh membantu mengurangkan risiko pengaruh berlebihan serta memupuk ketelusan.
Namun, krisis juga boleh menjadi titik tolak perubahan.
Kepimpinan tertinggi wajar memanfaatkan situasi sekarang sebagai peluang melakukan reformasi menyeluruh bukan sahaja dalam aspek perolehan, malah merangkumi sistem penilaian prestasi, proses pelantikan, pemantauan integriti dan tadbir urus.
Mutakhir, kita masih tertunggu-tunggu dan menunggu tentang pelantikan jawatan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP MDIO), satu jawatan strategik yang cukup penting dalam ATM.
Difahamkan, Majlis Angkatan Tentera (MAT) akan bersidang dalam masa terdekat untuk membuat ketetapan bagi pelantikan tersebut.
Sepertimana diketahui tugas KPPP MDIO kini dilaksanakan oleh Mejar Jeneral Dato’ Saharudin Harun setelah mengambil alih daripada mantan, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Razali Alias yang bersara pada 1 Januari 2026.
Sekiranya mengikut kepada logik dan turutan pemerintahan, Saharudin merupakan calon paling layak dan sesuai untuk dinaikkan memikul tanggungjawab tersebut.
Beliau juga sebelum ini adalah Timbalan KPPP MDIO selama dua tahun di mana atas kewibawaan itu juga kepimpinan ATM memberi kepercayaan Shahruddin untuk memangku jawatan berkenaan sebaik Mohd Razali bersara.
Justeru, sekiranya pemangku KPPP MDIO tidak dipilih ini bakal memberi gambaran sebaliknya. Adakah itu kerana ‘kabeliti’ atau ‘capability’?
Umum akan melihat situasi ini secara dekat, sebarang percaturan juga bakal menterjemahkan naratif yang tersendiri kepada ATM tentang dakwaan ‘kabeliti.
Adakah ini yang kita mahu?
