186
Jangkaan bahawa Tentera Darat Malaysia masih memerlukan helikopter baharu nampaknya menjadi kenyataan apabila tender berkenaan akan dibuka.
Menteri Pertahanan mengumumkan untuk membuka semula tender terbuka bagi perolehan helikopter utiliti tempur (Combat Utility Helicopter – CUH) secara sewaan.
Kontrak sewaan selama lima tahun ini menandakan fasa penetapan semula pembangunan keupayaan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).
Kerajaan pada November 2024 mengumumkan kontrak pajakan bernilai RM16.546 bilion selama 15 tahun bersama Weststar Aviation Sdn. Bhd. melibatkan 28 buah helikopter Leonardo AW149.
Bagaimana pun, Tentera Darat Malaysia tidak termasuk dalam senarai pasukan yang menerima helikopter sewaan tersebut.
Sepertimana diketahui, Kementerian Pertahanan (MINDEF) membatalkan kontrak sewaan helikopter Sikorsky UH-60 Black Hawk bernilai RM187.5 juta yang gagal disempurnakan.
Usia pesawat yang dikatakan ‘tua’ juga antara faktor perolehan itu tidak diteruskan.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, sebelum ini menzahirkan kebimbangan terhadap cadangan memperoleh helikopter Black Hawk berusia lebih 30 tahun.
Titah Baginda menekankan soal keselamatan penerbangan dan risiko kepada juruterbang.
Lebih penting, pengumuman terbaharu ini menyebut secara spesifik kategori helikopter utiliti tempur, berbeza dengan tender terdahulu yang hanya menyatakan keperluan kepada helikopter utiliti.
Perincian istilah ini bukan sekadar spesifikasi, tetapi memperlihatkan jenis sebenar helikopter yang diinginkan Tentera Darat Malaysia.
Secara amnya, spesifikasi pesawat meletakkan perbezaan yang strategik.
Dalam terminologi ketenteraan, helikopter utiliti merujuk kepada pesawat pelbagai guna yang mampu mengangkut anggota, logistik, melakukan MEDEVAC serta menyokong operasi di medan.
Namun, CUH lazimnya membawa pengertian lebih jelas. Ia bukan sekadar pesawat pengangkut biasa, tetapi juga sebagai platform tempur ringan.
Helikopter CUH direka dengan konfigurasi modular sebagai helikopter pengangkut anggota, MEDEVAC dan berupaya memberikan tembakan sokongan.
Sebagai pesawat CUH, ia mempunyai kerangka lebih kukuh untuk melakukan manuver taktikal yang sangat diperlukan dalam operasi atau misi di medan.
Helikopter jenis ini juga mempunyai integrasi sistem persenjataan dan perlindungan balistik.
Ini memberikan helikopter tahap perlindungan yang lebih baik untuk beroperasi di zon konflik atau bahaya berbanding helikopter utiliti biasa.
Penekanan kepada CUH menunjukkan MINDEF mahu memastikan platform yang disewa benar-benar berorientasikan persekitaran tempur, bukan sekadar pengangkutan taktikal biasa.
Bagaimana pun, apa model atau jenis helikopter CUH yang diinginkan oleh MINDEF belum dapat dipastikan.
Secara umumnya, terdapat sejumlah helikopter CUH di pasaran dengan beberapa jenis merupakan model yang menjadi pilihan kebanyakan tentera negara moden. Antaranya :
- Sikorsky S-70 Black Hawk – Varian bagi pasaran eksport global ini masih mengekalkan ciri sama sepertimana varian UH-60. Black Hawk merupakan keluarga helikopter CUH yang popular dengan lebih bih 4,000 buah helikopter jenis ini digunakan 36 negara. Negara jiran Filipina misalnya mengoperasikan lebih 40 buah helikopter S-70i Black Hawk menjadikannya pengguna terbesar.|
- Leonardo AW149 – Dipilih dalam program UK NMH. Helikopter ini menonjol dengan seni bina sistem terbuka (open systems architecture).
- Leonardo AW149 merupakan sebuah helikopter CUH yang dianggap antara pesaing kepada Black Hawk. Ia direka sebagai platform ketenteraan sepenuhnya bagi memenuhi keperluan pelbagai misi peperangan moden.|
- Bell UH-1Y Venom – Digunakan Kor Marin AS. Walaupun rekaan klasik helikopter mewarisi pesawat UH-1 era Perang Vietnam, tetapi generasi baharunya mengekalkan reputasi yang ada. Sebagai platform utiliti utama bagi Kor Marin AS, ia direka untuk beroperasi dari kapal serta melaksanakan tugas di zon pertempuran berisiko tinggi.
- NHIndustries NH90 – Teknologi fly-by-wire moden, walaupun pernah berdepan isu penyelenggaraan di beberapa negara.
- Airbus H225M – Platform helikopter buatan Eropah yang memberi penekanan kepada kos efektif dan integrasi digital.
H225M dibina untuk ketahanan operasi jarak jauh, keupayaan angkut berat serta beroperasi dalam persekitaran berisiko tinggi.
Boleh membawa sehingga 28 anggota, H225M mempunyai jarak operasi standard sejauh 920 kilometer dan terbang lebih jauh dengan tangki tambahan atau melalui pengisian minyak di udara. Ini satu keupayaan yang jarang dimiliki oleh helikopter utiliti lain.
ATM sebagai pengguna helikopter EC725 mempunyai pengalaman dalam mengendalikan helikopter sama.
Bagi PUTD, keperluan CUH bukan hanya untuk operasi tempur konvensional.
Ini kerana helikopter utiliti tentera bukan sahaja beroperasi di kawasan hutan tropika dan sempadan maritim.
Sebaliknya, helikopter tentera turut diatur gerak semasa bantuan bencana seperti banjir dan pemindahan perubatan.
Helikopter tentera juga menjadi aset udara utama memberikan sokongan kepada pasukan khas dan operasi lintas udara.
Sehubungan itu, spesifikasi CUH perlu seimbang antara ketahanan tempur dan kebolehan bantuan kemanusiaan (HADR).
Bagaimana pun, seperkara yang perlu diambil kira adalah isu logistik dan sokongan jangka panjang.
Sekiranya tender sewaan diberi kepada syarikat yang mempunyai kredibiliti atau MINDEF memilih helikopter jenis sama yang telah ada digunakan, maka aspek logistik mungkin tidak timbul.
Ini kerana memilih pesawat CUH dengan varian hampir sama yang telah dioperasikan memberi kelebihan ketara kepada pihak penyedia perkhidmatan sewaan.
Faktor keserasian dengan ekosistem sedia ada, kos operasi jangka panjang serta kemampuan penyelenggaraan tempatan perlu realistik.
