Home Pertahanan dan Keselamatan Pembinaan MPMS pertama APMM ikut jadual, kapal bakal diterima 2027

Pembinaan MPMS pertama APMM ikut jadual, kapal bakal diterima 2027

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 13 JAN– Jangkaan untuk APMM menerima dan mengoperasikan kapal pelbagai misi (MPMS) pada tahun hadapan dilihat positif berikutan kemajuan pembinaan kapal tersebut.

Pembinaan kapal MPMS pertama APMM yang sedang dibina di limbungan DESAN Shipyard, Istanbul, Türkiye berjalan mengikut jadual.

Projek kapal MPMS pertama kini mencapai kemajuan 58.3 peratus, mendahului jadual asal dan dijangka siap sepenuhnya pada 2027.

Perkara tersebut dikongsi Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi lawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan), Datuk Makhzan Mahyuddin.

Turut serta Timbalan Ketua Pengarah (Logistik), APMM, Laksamana Madya (M) Datuk Saiful Lizan Ibrahim.

Lawatan tersebut susulan daripada sesi penyerahan Surat Setuju Terima (LOA) kapal MPMS yang kedua (MPMS 2) kepada pihak syarikat pada 7 Januari 2026 di Ankara.

Melalui sesi ini, pihak syarikat telah membentangkan status terkini projek dengan kemajuan yang mendahului jadual pelaksanaannya.

Kemajuan positif ini menunjukkan komitmen dan keupayaan syarikat dalam melaksanakan projek dengan baik.

Pelaksanaan projek MPMS 1 dijangka akan memberikan impak besar dalam memperkukuh keupayaan aset dan pengoperasian APMM.

Perolehan kedua-dua kapal MPMS 1 dan MPMS 2 ini dapat meningkatkan keupayaan pemantauan maritim negara oleh APMM secara lebih strategik dan menyeluruh.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, tahun 2026 dijangka dijangka mencatat lonjakan peruntukan tertinggi dalam sejarah penubuhan APMM apabila kerajaan meluluskan sebanyak RM2.29 bilion.

Peruntukan itu merangkumi RM1.09 bilion belanja mengurus dan RM1.2 bilion belanja pembangunan.

Ini bagi memastikan kesiapsiagaan operasi, pemodenan aset serta keupayaan penguatkuasaan sentiasa berada pada tahap optimum dalam menghadapi cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.

Dalam kenyataannya, Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah berkata, peruntukan pembangunan bagi tahun 2026 menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 101.43 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ia mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh peranan Maritim Malaysia sebagai agensi utama keselamatan maritim negara di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Tumpuan pada tahun 2026 adalah kepada perolehan aset strategik, pembangunan infrastruktur serta penerapan teknologi moden supaya kehadiran Maritim Malaysia di perairan negara dirasai,” katanya.

Selain itu, fokus 2026 turut terarah kepada perolehan pesawat Maritime Surveillance Aircraft (MSA), pelan penggantian kenderaan operasi serta pembinaan dan naik taraf kompleks serta jeti maritim di lokasi strategik.

Perolehan empat helikopter Medium Lift AW189 mencatat kemajuan 44.66 peratus dengan penerimaan pesawat pertama dijangka pada Julai 2026. -airtimes.my

#Airtimes #MaritimMalaysia #APMM #MPMS #AsetMaritim #KDN #PertahananNegara #KeselamatanNegara #Malaysia

Leave a Reply