Home Pertahanan dan Keselamatan Layar KD Hang Tuah berakhir, lima dekad lindungi benteng maritim negara

Layar KD Hang Tuah berakhir, lima dekad lindungi benteng maritim negara

A+A-
Reset

LUMUT 3 DIS– Sebelum adanya kapal frigat peluru berpandu dalam armada TLDM, ini merupakan kapal barisan hadapan utama untuk mengekang ancaman maritim negara.

Lihat pada namanya sahaja sudah cukup untuk menggambarkan betapa gahnya kapal tersebut semasa era ia dioperasikan.

Hang Tuah diabadikan sempena nama pahlawan terbilang Melayu era kegemilangan Kesultanan Melaka.

Frigat KD Hang Tuah (F76) melayari selama hampir 50 tahun menempuh pelbagai cabaran kelautan.

Sejak pelayaran sulungnya dari Portsmouth, UK bersama 163 kru anak watan, kapal yang menjadi tulang belakang pertahanan maritim negara diera 70an hingga 90an ini telah belayar sejauh 313,784.95 batu nautika.

Dengan panjang 103.5 meter (m), lebar 12.02m dan berat sasaran 2,300 tan, kapal ini mampu bergerak dengan kelajuan maksima 24 knot.

Dibina di Scotland untuk tentera laut Ghana dan dilancarkan pada 29 Disember 1966 di Limbungan Yarrow Shipbuilder, Scotland, penjualannya kemudian dibatal dan kapal ditauliahkan sebagai HMS Mermaid dalam Tentera Laut Diraja Britain (RN) pada 16 Mei 1973.

Hanya berkhidmat selama 3 tahun dengan RN, kapal dilucutkan tauliah untuk diserahkan kepada TLDM pada 16 Mei 1977 sebelum ditauliahkan pada 22 Julai tahun sama.

Ia merupakan kapal kedua dengan nama sama selepas kapal KD Hang Tuah pertama (F433) iaitu bekas HMS Loch Insh milik RN yang diserahkan pada 1963 dan dilucutkan 14 tahun kemudian.

KD Hang Tuah pertama juga merupakan kapal terbesar milik TLDM pada masa itu.

Setelah hampir lima dekad berkhidmat, kapal perang KD Hang Tuah kedua secara rasmi dilucut tauliah dalam satu acara penuh istiadat ketenteraan yang berlangsung di Pangkalan TLDM Lumut.

Upacara ini menandakan tamatnya perkhidmatan sebuah kapal perang yang telah mewarnai perjalanan TLDM selama hampir lima dekad.

Selain tugas operasi ia turut kerap menyertai eksesais dalam negara serta antarabangsa.

Pelucutan tauliah KD Hang Tuah adalah sebahagian daripada usaha berterusan TLDM untuk memodenkan armadanya selaras dengan aspirasi Transformasi 15 to 5.

Ia bertujuan meningkatkan keupayaan TLDM selari dengan perkembangan teknologi dan perubahan landskap pertahanan pada kos yang optimum.

Sejak ditauliahkan ke dalam armada TLDM, KD Hang Tuah telah memainkan peranan aktif sebagai kapal tempur barisan hadapan.

Selari dengan nama besar yang diberi, kapal ini sering ditugaskan untuk menerajui pelbagai tugas operasi untuk memelihara kedaulatan dan kepentingan maritim negara.

Peranan ini bagaimana pun secara beransur-ansur diambil alih oleh kapal perang lain yang lebih moden.

Terdahulu, majlis pelucutan tauliah berlangsung dalam suasana syahdu dengan kehadiran kru-kru terdahulu serta mantan pegawai memerintah kapal.

Upacara penuh simbolik ini disempurnakan oleh Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Dato’ Baharudin Wan Md Nor.

Pada upacara itu, Baharudin menerima senarai nama warga kapal daripada Pegawai Memerintah KD Hang Tuah, Leftenan Komander Mohd Azuwan Abdullah.

Mengikut senarai, Mohd Azuwan merupakan pegawai memerintah yang ke-39 dan terakhir kapal tersebut dengan pemerintah pertama ialah Lt Kol (Laut) Tuan Hashim Tuan Mohamed TLDM.

Suasana bertambah hening dan menyentuh perasaan tatkala ketukan loceng kapal bergema dan gada-gada diturunkan.

Detik ini bukan sekadar pengakhiran sebuah perkhidmatan, tetapi juga menutup sebuah era yang telah membentuk identiti angkatan laut negara.

Walaupun kapal dilucutkan tauliah, namun semangat KD Hang Tuah masih ada.

Tidak mustahil nama kapal lagenda ini akan diabadikan pada kapal perang generasi baharu milik TLDM suatu masa nanti. -airtimes.my

#Airtimes #TLDM #KDHangTuah #TenteraLaut #Pertahanan #MaritimMalaysia #Navy #Lumut #HangTuah #Transformasi15to5

Leave a Reply