Home Semasa1,803 jadi warga baharu ATM, bukti anak muda pilih kerjaya tentera

1,803 jadi warga baharu ATM, bukti anak muda pilih kerjaya tentera

by Zaki Salleh
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR 2 DIS – Seramai 1,803 anak muda dari seluruh negara kini menjadi warga baharu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila memulakan latihan dalam TUDM dan Tentera Darat Malaysia.

Mereka terdiri daripada 417 Perajurit Muda Udara (PjM U) Siri 70/25 dan 1,386 Perajurit Muda Lelaki Tentera Darat Siri 205/25.

Pengambilan ini jelas membuktikan bahawa kerjaya dalam tentera terus menjadi pilihan utama anak muda Malaysia sebagai jalan untuk mengabdi diri kepada negara.

Bagi TLDM, tiada kemasukan PjM baharu kerana pelatih sedia ada iaitu siri 229/25 bakal menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan di KD Sultan Ismail, Johor pada 6 Disember ini.

Di Akademi Tentera Udara (ATU) Ipoh, seramai 417 PjM U yang terdiri daripada 316 lelaki dan 101 wanita telah melapor diri pada 23 November lalu untuk memulakan latihan asas ketenteraan.

Mereka termasuk 101 calon wanita yang telah terpilih untuk mengikuti latihan asas ketenteraan selama 6 bulan.

Latihan ketenteraan ini merangkumi aspek ketahanan fizikal, disiplin ketenteraan, serta pembentukan sahsiah diri bagi melahirkan seorang anggota tentera udara terlatih.

Sementara itu, di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, Negeri Sembilan, lebih 1,300 calon lelaki melapor diri pada 12 November 2025 untuk menyertai Tentera Darat Malaysia.

Calon-calon ini yang melalui proses pendaftaran berperingkat-peringkat bakal menjalani latihan asas ketenteraan yang sama penting dan mencabar.

Peringkat pertama pada 11 November melibatkan 173 calon dari Sabah dan Sarawak, manakala peringkat kedua hari berikutnya dengan 900 calon dari Semenanjung Malaysia.

Pengambilan bagi siri kali ini hanya melibatkan calon Perajurit Muda Lelaki.

Sepanjang proses pendaftaran, para calon telah diberikan taklimat mengenai prosedur dokumentasi akhir serta menjalani saringan kesihatan.

Ini bagi memastikan setiap calon berada dalam tahap kesihatan fizikal dan mental yang baik sebelum diterima mengikuti latihan asas ketenteraan untuk menjadi perajurit muda yang berjiwa teguh dan berdisiplin. -airtimes.my

#Airtimes #TUDM #ATM #TenteraDarat #PUSASDA #PerajuritMuda #Pertahanan #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply