Penantian hampir 30 tahun Tentera Darat Malaysia untuk mendapatkan sistem artileri mudah gerak (SPH) menuju noktah apabila hasrat pembelian akhirnya mendapat lampu hijau kerajaan.
Putrajaya telah memuktamadkan keputusan itu yang dijangka dibuat pada tahun hadapan menerusi peruntukan awal sebanyak RM50 juta kepada Kementerian Pertahanan.
Perkara tersebut diumumkan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Adly Zahari semasa perbahasan di Parlimen semalam.
Menurut beliau, peruntukan itu adalah bagi pembelian pertama, bagaimana pun jumlah dan jenis sistem SPH yang menjadi pilihan akan diumumkan kemudian.
Katanya, TDM telah menguji enam model SPH sebelum memilih yang paling memenuhi keperluan operasi tentera darat.
Hasil penilaian telah dibentangkan kepada Lembaga Perolehan dan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk kelulusan.

TDM telah menerima kelulusan perolehan daripada Bahagian Perolehan pada 17 November.
Perolehan kini berada pada peringkat pelaksanaan, khususnya dalam proses rundingan harga, sebelum dikemukakan semula kepada Kementerian Kewangan.
Proses perolehan SPH bagi TDM bukanlah sesuatu yang baru.
Sepanjang dekad tersebut ia telah menjadi agenda penting dalam memperkasakan keupayaan kuasa tembakan Rejimen Artileri Diraja (RAD).
Walaupun dilihat ketinggalan berbanding tentera negara serantau, setidak-tidaknya perolehan SPH menunjukkan kerajaan buka mata terhadap kepentingan meningkatkan kuasa tembakan TDM.
Ini kerana hampir kesemua negara jiran di rantau ini telah mengoperasikan sistem SPH termasuklah negara yang berpendapatan rendah seperti Myanmar, Kemboja dan Laos.
Sebelum ini, pada tahun 2019, Tentera Darat Malaysia terpaksa membatalkan rancangan untuk membeli sistem SPH terpakai M109A5 155mm dari Amerika Syarikat (AS) selepas beberapa perbincangan dengan pihak Amerika Syarikat.
Pada 2023, hasrat Tentera Darat untuk mendapatkan 18 unit SPH 155mm Yavuz dari Turkiye juga terpaksa dibatalkan.
Kementerian Kewangan mengarahkan pembatalan perolehan secara rundingan terus tersebut.
Akibat pembatalan ini, Kementerian Pertahanan (MINDEF) memaklumkan akan melaksanakan perolehan baharu melalui proses Government to Government (G2G).

Dengan perkembangan terbaharu ini, sudah pasti kontrak meriam SPH bakal menyaksikan persaingan beberapa syarikat tempatan dengan kerjasama pengeluar luar negara.
Berdasarkan tender yang pernah dikemukakan sebelum ini, angka bagi perolehan lengkap SPH bagi sebuah rejimen termasuk prasarana dan latihan tidak kurang RM900 juta.
Justeru, peruntukan RM50 juta tersebut atau kira-kira USD12 juta adalah kecil jadi tidak pasti apakah jenis SPH serta jumlah awal yang difikirkan seimbang bagi perolehan pertama ini.
Berdasarkan kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan, enam sistem SPH yang telah diuji menunjukkan ada banyak pilihan untuk diperhalusi kerajaan.
Antara model yang dipercayai mencuba peluang adalah SPH EVA155mm dari Slovakia yang turut disebut-sebut sebagai calon kuat dalam perolehan ini.
Penyertaan syarikat Slovakia pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024 telah menarik perhatian pemerhati pertahanan tempatan, memperkukuhkan lagi spekulasi.
Bagaimana pun, model paling lama mengintai peluang SPH di Malaysia adalah Caesar buatan Perancis yang juga merupakan model SPH beroda paling berjaya dalam industri.

Pertama kali SPH Caesar melakukan ujian penilaian termasuk tembakan di Malaysia adalah pada tahun 1999.
SPH CAESAR 6×6 merupakan sebuah sistem persenjataan yang telah teruji di medan perang serta digunakan tentera enam negara termasuk Thailand dan Indonesia.
Pada Pameran DSA 2022 lalu, syarikat pengeluar Perancis, Nexter telah meterai MoU dengan Advanced Defence Systems (ADS) bagi mempromosikan SPH CAESAR 6×6 kepada TDM.
Tidak ketinggalan sistem SPH K9 Thunder 155mm dari Korea Selatan pada 2006 yang pada ketika itu di bawah jenama Samsung Techwin.
Meneruskan peluang adalah varian terkini SPH tersebut iaitu K9A1 menerusi firma Hanwa Aerospace.

Begitu juga syarikat China yang mengetengahkan model Norinco SH-15. Berbanding model-model lain, ini merupakan sistem SPH yang paling murah dan mampu dimiliki dalam pasaran.
Dalam hal ini, keputusan mengenai pembekal yang bakal memenangi kontrak akan memberi kesan besar kepada keupayaan tempur TDM pada masa depan.
Dengan kemajuan teknologi yang pesat dalam sistem SPH, TDM mempunyai banyak pilihan yang menawarkan kelebihan dari segi prestasi, mobiliti, dan integrasi dalam operasi ketenteraan moden. -airtimes.my
#Airtimes #TenteraDaratMalaysia #Pertahanan #MINDEF #SPH #Artileri #RAD #Malaysia
