Home Teknologi PertahananEnam kapal MRCV bakal jadikan kuasa laut Singapura lebih kuat

Enam kapal MRCV bakal jadikan kuasa laut Singapura lebih kuat

by Zaki Salleh
A+A-
Reset

SINGAPURA, 22 Okt – Jiran seberang tambak melebarkan pencapaian dalam kejuruteraan pertahanan maritim mendahului lain-lain negara serantau apabila berjaya menyiapkan pembinaan kapal perang termaju.

Majlis pelancaran kapal tempur pelbagai peranan atau Multi-Role Combat Vessel (MRCV) kelas Victory ini dilakukan di limbungan ST Engineering Marine Benoi Shipyard.

Victory adalah yang pertama daripada enam kapal MRCV yang akan dilancarkan.

Projek MRCV ini mencerminkan kerjasama yang kukuh bersama Komuniti Teknologi Pertahanan, termasuk Defence Science and Technology Agency (DSTA), DSO National Laboratories (DSO), ST Engineering dan rakan industri lain, bagi memastikan kapal ini dapat memenuhi matlamat operasi yang telah dirancang.

MRCV seberat 8,000 tan dan berukuran 150 meter panjang dibina hasil kajian tentera laut Singapura mengenai sistem tanpa pemandu serta perbincangan dengan DSTA dan rakan-rakan antarabangsa.

Kapal ini menggabungkan keupayaan tempur sebuah frigat moden dengan keupayaan untuk membawa dan mengendalikan pelbagai sistem tanpa pemandu sebagai sebuah kapal induk.

Pembinaan kapal-kapal ini bagi menggantikan kapal peluru berpandu kelas Victory yang diguna sejak 1989.

Sehubungan itu, kesemua kapal MRCV akan menggunakan nama sama seperti kapal kelas Victory terdahulu seperti Valour, Vigilance, Valiant, Vigour dan Vengeance.

Menerusi kenyataan Kementerian Pertahanan Singapura (MINDEF SG), MRCV direka bentuk untuk berfungsi sebagai kapal induk bagi sistem tanpa pemandu udara, permukaan dan bawah air dalam menjalankan operasi ketenteraan laut.

Kapal-kapal ini juga akan dilengkapi dengan sensor canggih, sistem persenjataan moden dan keupayaan rangkaian.

Jelas kenyataan itu, Ini membolehkan kapal tersebut menghadapi pelbagai ancaman serta berfungsi sebagai kapal pemerintahan.

Dengan automasi canggih, MRCV boleh dikendalikan secara selamat dan berkesan dengan kru yang minima iaitu kira-kira 100 orang berbanding kapal perang lain yang seumpama dari segi saiz dan keupayaan.

Kapal Victory akan menjalani pemasangan kelengkapan, integrasi sistem platform dan tempur, serta ujian penerimaan.

Pada masa yang sama, kru perintis MRCV juga akan memulakan latihan bagi mempersiapkan mereka untuk mengoperasikan kapal ini dalam beberapa tahun akan datang.

MRCV akan dipasang dengan sistem persenjataan seperti meriam utama STRALES 76mm, meriam kawalan automatik MK30-C 30mm sistem peluru berpandu MICA dan ASTER manakala jenis sistem peluru berpandu anti permukaan belum diputuskan.

Kapal-kapal MRCV akan dihantar secara berperingkat-peringkat mulai tahun 2028 yang apabila dioperasikan bakal memberi dimensi baharu dalam keupayaan pertahanan dan keselamatan maritim republik tersebut.

Related Articles

Leave a Reply