Kesediaan Indonesia untuk menghantar sekurang-kurangnya 20,000 anggota tentera sebagai pasukan pengaman ke Gaza bagi mempertahankan sebarang perjanjian damai pada masa hadapan menarik perhatian dunia.
Dalam nada tegas, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyatakan kesediaan itu semasa berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York.
Tegas Presiden yang juga bekas jeneral tiga bintang, Indonesia sebagai negara dengan majoriti penduduk Islam terbesar di dunia itu mahukan keamanan yang membuktikan ‘kuat tidak bermakna betul’.
Indonesia katanya percaya kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan akan terus berkhidmat di tempat yang memerlukan penjaga keamanan, bukan sekadar dengan kata-kata, tetapi dengan kehadiran fizikal di lapangan.

Prabowo menambah, Indonesia bersedia menghantar 20,000 atau lebih anggota tentera untuk membantu menjamin keamanan di Gaza sekiranya Majlis Keselamatan PBB (UNSC) serta UNGA membuat keputusan.
Kenyataan tegas dan berani Indonesia ini hadir di tengah-tengah kehangatan masyarakat dunia khusus dunia Islam memperjuangkan nasib penduduk Gaza.
Di luar UNGA, Indonesia telah menyertai tujuh negara Islam berpengaruh lain apabila menyertai mesyuarat tertutup bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump membimbangkan isu di Gaza.
Tujuh negara lain adalah Arab Saudi, UAE, Qatar, Mesir, Jordan, Türkiye dan Pakistan.
Dipercayai penyertaan Indonesia ini kerana merupakan negara yang memiliki penduduk beragama Islam terbesar di dunia.
Trump membentangkan pelan damai 21 peruntukan (21-point plan) sebagai kerangka untuk menyelesaikan konflik Gaza dan pasca konflik.
Dalam pertemuan itu, para pemimpin Islam/Arab menekankan bahawa konflik Gaza mempunyai impak besar terhadap kestabilan rantau dan dunia Islam secara keseluruhan.
Trump dilaporkan mengusulkan supaya negara-negara Arab dan Islam menghantar pasukan keselamatan ke Gaza untuk memastikan Israel boleh menarik diri selamat.
Namun, belum jelas sejauh mana negara peserta bersedia menghantar pasukan, dengan mempertimbangkan risiko, mandat antarabangsa, dan isu legitimitas undang-undang.
Prabowo sebelum ini pernah menyuarakan hasrat sama semasa Sidang Kemuncak Keselamatan Asia ke-21 Dialog Shangri-La 2024 (SLD24) di Singapura pada Jun 2024.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malah berkata, Malaysia bersedia bekerjasama dengan Indonesia dalam menghantar pasukan pengaman ke Gaza sekiranya diperlukan.
Malaysia dan Indonesia juga adalah antara dua negara Islam pertama yang menawarkan diri menyertai tentera pengaman PBB UNPROFOR semasa perang Bosnia Herzegovina pada 1993.
Menariknya, Kolonel Susilo Bambang Yudhoyono yang kemudian menjadi Presiden Indonesia, pernah berkhidmat sebagai pemerhati tentera utama bagi misi UNPROFOR dari 1995 hingga 1996.

Pada pentas antarabangsa, Indonesia merupakan negara penyumbang kelapan tertinggi dalam misi PBB yang menyediakan sejumlah besar anggota tentera dan polis bagi misi di seluruh dunia.
Sepertimana Malaysia, kontinjen Indonesia atau lebih dikenali sebagai Kontinjen Garuda turut bertugas dalam misi PBB UNIFIL di Lebanon. Kontinjen Garuda seramai 1,200 anggota juga adalah yang terbesar dalam UNIFIL.
Di atas kertas, angka 20,000 tentera untuk dikerahkan ke Gaza tidak seberapa bagi sebuah negara sebesar Indonesia.
Indonesia mempunyai kira-kira 400,000 anggota tentera, tidak termasuk 250,000 pasukan paramilitari dan merupakan ke-13 di dunia mempunyai angkatan tentera terbesar.
Selain itu, ia juga mempunyai keupayaan logistik yang mencukupi terutamanya kapal pengangkut anggota bersaiz besar.
Indonesia memiliki lima kapal pengangkut anggota kelas Makassar selain baru mengoperasikan pesawat pengangkut strategik Airbus A400M.
Tidak keterlaluan jika kita katakan Indonesia sejak beberapa dekad lalu dilihat menonjolkan diri sebagai negara kuasa serantau di Asia Tenggara dari segi ekonomi, politik, ketenteraan dan diplomasi.
Meskipun tidak mendominasi secara mutlak, pengaruhnya besar dan semakin meningkat, menjadikannya pemimpin semula jadi dan suara penting di rantau ini.
Selain memiliki tentera yang terbesar di Asia Tenggara dari segi jumlah anggota, negara Garuda ini turut aktif dalam keamanan maritim dan menjaga kestabilan di Laut China Selatan.
Ia memainkan peranan penting dalam mendorong pendekatan bebas dan aktif dalam dasar luar negaranya.
Menyorot kembali penyertaan Indonesia di pentas antarabangsa bermula tidak lama selepas republik itu mencapai kemerdekaan iaitu bermula dengan misi pertama PBB UNEF di Sinai, Mesir pada 1957.
Anggota kontinjen terlibat dalam operasi di Mesir dan kemudiannya berpindah ke Gaza untuk membantu di kawasan sempadan antara Mesir dan Israel.

Penglibatan Indonesia ini berikutan dasar luar negaranya untuk mempromosikan keamanan dan kestabilan antarabangsa.
Misi-misi pengaman yang kemudiannya disertai Indonesia juga berfungsi untuk meningkatkan profesionalisme angkatan tenteranya dan pasukan polis melalui pembelajaran bersama negara-negara lain.
Dari Lubnan ke Republik Demokratik Congo dan enam zon konflik lain, lebih daripada 2,700 anggota Indonesia kini ditugaskan dalam operasi pengaman PBB.
Indonesia dilihat mempunyai potensi yang kuat untuk terlibat dalam misi tentera pengaman di Gaza, jika mandat antarabangsa yang jelas diberikan seperti melalui PBB atau konsensus serantau.
Namun, penglibatan itu bukanlah automatik dan ia bergantung kepada beberapa faktor strategik, politik dan diplomatik.
Sejauhmana mungkin berlakunya penugasan tentera pengaman PBB di Gaza sukar untuk ditentukan, hanya masa dan ketika ia akan berlaku. -airtimes.my
#Airtimes #Gaza #PBB #Indonesia
