Belum pun reda isu kegagalan projek kapal tempur pesisir (LCS) yang merugikan negara berbilion ringgit, kini muncul satu lagi pendedahan serius membabitkan pengurusan perolehan dan pentadbiran kontrak aset pertahanan negara.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat mendedahkan kelemahan ketara dalam pelaksanaan kontrak membabitkan kenderaan perisai utama Tentera Darat Malaysia (TDM).
Kerajaan masih belum mengutip denda lewat bernilai RM162.75 daripada syarikat yang membekalkan kenderaan tempur AV8 Gempita meskipun kontrak telah tamat pada 2022.
Ini mengundang risiko memandangkan pembayaran keseluruhan kontrak sebanyak RM7.8 bilion telah dibuat kerajaan.
LKAN juga menemukan masalah kelewatan dalam kontrak selenggaraan kenderaan perisai AV8 Gempita, PT-91M Pendekar, Adnan, Lipan Bara dan MIFV.
Antara kelemahan utama yang dikenal pasti ialah kelewatan penghantaran, kegagalan mematuhi spesifikasi kontrak, serta kelemahan dalam penyelenggaraan dan pengurusan alat ganti.
Pendedahan ini menimbulkan kebimbangan besar terhadap tahap kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya TDM yang banyak bergantung kepada keberkesanan aset perisai.
Kelemahan seperti ini bukan sahaja menjejaskan keupayaan taktikal, malah berisiko membahayakan keselamatan anggota ketika di medan operasi.
Bayangkan, jika kenderaan perisai tidak boleh digunakan seperti sepatutnya akibat kelewatan penyelenggaraan ia seolah-olah mempertaruhkan nyawa anggota tentera.
Lebih membimbangkan, semua kenderaan yang terlibat dibekalkan oleh syarikat tempatan, sekali gus menimbulkan persoalan besar tentang keupayaan sebenar industri pertahanan negara.
Isu tentang kegagalan kontrak juga bukan baharu, malah dalam dekad ini sahaja beberapa masalah berlaku.
Sebelum ini, sebuah syarikat tempatan didenda kerana gagal menepati tempoh pembekalan helikopter Sikorsky UH-60 Black Hawk secara sewaan, yang akhirnya menyebabkan kontrak ditamatkan.
Projek pembinaan kompleks kolam renang tempur Grup Gerak Khas di Kem Iskandar, Mersing, Johor juga mengalami kelewatan ketara akibat kegagalan kontraktor menyiapkan projek mengikut jadual.
Selain itu, kelewatan penghantaran helikopter ringan tempur MD530G mengambil masa bertahun-tahun,
Pada tahun 2016, kerajaan Malaysia telah menandatangani kontrak bernilai kira-kira RM300 juta untuk membeli enam unit helikopter penyerang ringan MD530G daripada sebuah syarikat pembekal.
Isu ini mula mendapat perhatian apabila ia didedahkan dalam LKAN 2019.
Laporan audit tersebut menyatakan bahawa terdapat kelemahan ketara dalam pengurusan kontrak oleh Kementerian Pertahanan.
Selain itu, perolehan dilaksanakan sebelum helikopter terbabit lulus sepenuhnya ujian spesifikasi dan kelulusan eksport dari Amerika Syarikat.
Manakala kenderaan IAG Guardian yang dibekalkan untuk pasukan MALBATT di Lubnan juga tidak memenuhi spesifikasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekali gus menjejaskan imej negara dalam misi pengaman antarabangsa.
LKAN 2022 menyatakan kenderaan IAG Guardian yang dibekalkan tidak mengikut spesifikasi PBB sepenuhnya.
Ini menyebabkan kerajaan rugi sebanyak RM2.22 juta dalam bentuk bayaran balik yang tidak diterima daripada PBB.
Justeru, apabila kelemahan sama terus berulang, ia memberi gambaran jelas bahawa ada masalah struktur dalam tadbir urus dan pelaksanaan projek pertahanan negara.
Apa yang membangkitkan lebih banyak persoalan adalah kegagalan pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
Dalam isu LCS sendiri, walaupun Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah mengemukakan pelbagai syor susulan kegagalan projek, namun sehingga kini hanya seorang didakwa secara rasmi.
Ketiadaan tindakan tegas terhadap pelaku, hanya akan menggalakkan budaya ketidaktanggungjawaban dalam sektor yang sepatutnya paling tegas iaitu pertahanan negara.
Di sebalik usaha kerajaan mempromosi industri pertahanan tempatan sebagai pemacu ekonomi strategik, siri kegagalan ini telah mencetuskan keraguan rakyat terhadap keupayaan sebenar syarikat tempatan.
Dengan kos perolehan yang ditanggung menggunakan wang negara, pandangan umum menjadi semakin kritikal apabila timbul isu sepertimana didedahkan LKAN.
LKAN sangat penting kerana ia menyediakan penilaian bebas dan objektif terhadap pengurusan kewangan dan tadbir urus sektor awam.
Laporan ini membantu memastikan akauntabiliti dan ketelusan dalam penggunaan dana awam, serta meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan kerajaan.
LKAN mendedahkan sebarang ketidakpatuhan, pembaziran, atau salah urus dalam pengurusan kewangan kerajaan. Ini membantu memastikan bahawa dana awam digunakan dengan betul dan bertanggungjawab.
Kegagalan berulang dalam projek pertahanan bukan sekadar membazir wang negara. Ia menghakis keyakinan rakyat, membantutkan pembangunan industri, dan paling penting, melemahkan pertahanan negara.
Apa yang diperlukan bukan hanya siasatan, tetapi akauntabiliti sebenar.-airtimes.my
#airtimes #pertahanan #LKAN #ATM #Malaysia









