Home Pertahanan dan Keselamatan 12 wira ATM, PDRM, JBPM terima sumbangan Sultan Perak sempena Hari Kebangsaan

12 wira ATM, PDRM, JBPM terima sumbangan Sultan Perak sempena Hari Kebangsaan

A+A-
Reset

IPOH, 2 Sept – Seramai 12 penerima terdiri daripada veteran Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima Sumbangan Kepada Wira Negara daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin pada Sambutan Hari Kebangsaan 2025.

Majlis yang diadakan setiap tahun ini bertepatan dengan objektif sambutan Hari Kebangsaan iaitu menghargai sumbangan khidmat bakti dan perjuangan serta pengorbanan para wira.

Sultan Nazrin berkenan menyampaikan sumbangan tersebut pada Majlis Jamuan Teh Sempena Penyampaian Hadiah dan Sumbangan Kepada Wira Negara di Dewan Bandaran Ipoh.

Setiap individu yang terpilih menerima sumbangan dalam bentuk wang tunai dan sijil penghargaan daripada Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Sebahagian besar penerima merupakan veteran ATM yang telah mempamerkan keberanian semasa bertugas memerangi pengganas komunis termasuk mereka yang cedera terpijak jerangkap samar.

Walaupun telah meniti usia persaraan, namun sumbangan yang diberikan ini membuktikan penghargaan kerajaan negeri Perak atas jasa dan pengorbanan mereka kepada negara.

Senarai penerima Sumbangan Kepada Wira Negara

1. PW I Elias Ibrahim, 69. 

* Penerima pingat Panglima Gagah Berani (PGB) pertama Rejimen Askar Wataniah.

* Kejayaan beliau membunuh 3 orang pengganas komunis dalam kejadian serang hendap semasa bertugas mengawal pembinaan Lebuh Raya Timur Barat, Banding Perak pada 15 Ogos 1977.

2.Kpl Othman Daud, 76.

* 10 Oktober 1976 – terpijak jerangkap samar semasa Operasi Setia 8 di Sungai Siput  mengakibatkan kaki kiri putus bawah lutut.

3. Kpl Abdul Razak Saad, 64.

* 27 November 1984 – terpijak jerangkap samar semasa Operasi Setia di Sungai Siput dan mengakibatkan kaki kiri putus paras buku lali dan mata kanan buta.

4. L/Kpl Abang Bolhassan Abang Demi, 69.

* Terpijak jerangkap samar semasa Operasi Selamat Sawadi di Thailand dan mengakibatkan kaki kiri putus paras buku lali.

5.L/Kpl Hashim Razali, 64.

* 6 Disember 1981 – terpijak jerangkap samar semasa Operasi Sedar Khas Gubir di Kedah mengakibatkan kaki kanan putus paras buku lali.

6. ASP Rosli Wahab 

Menyertai PDRM pada 1.6.1980 hingga 13.10.2020. Pernah berkhidmat dalam VAT69 Komando sebagai Juru Semboyan di Ulu Kinta pada tahun 1982 hingga 2018.

Beliau mendapat kecederaan terguris bahu kiri kerana gurisan peluru dari senjata AK-47 kumpulan bersenjata Sulu ketika melaksanakan tugas eskot ration resup team di lapangan tragedi Lahat Datu pada tahun 2013.

7. SM Rusli Abdul Aziz  

Menyertai PDRM pada Ogos 1969 dan menjalani latihan asas Polis Hutan pada 1 November 1969 di Sekolah Latihan Polis Hutan, Ulu Kinta.

Kemudian beliau ditempatkan di Batalion 2 PPH di Ulu Kinta dalam Cawangan Infantri bermula 31 Januari 1970 sehingga 15 Ogos 1977 (peristiwa terpijak jerangkap samar).

Pada 15 Ogos 1977 semasa mengetuai rondaan ‘picketting’ bagi mengawasi pergerakan keluar pasukan Kompeni D di Klian Intan, Perak beliau telah terpijak jerangkap samar yang dipasang oleh musuh diikuti dengan satu letupan yang amat kuat menyebabkan kaki kirinya hancur.

Tugasan beliau pada petang itu baru bermula kerana menggantikan anggota lain yang hendak pulang ke rumah masing-masing di Kem Ulu Kinta, Perak setelah dua bulan mengikuti operasi ‘Kota Echo’.

Ketika itu umat Islam sibuk membuat persiapan bagi menyambut 1 Ramadan yang bakal tiba keesokan hari. Kejadian petang itu memang tidak dijangka kerana selama dua bulan beroperasi di kawasan yang digelar ‘Naga-Bell’ merupakan laluan biasa baginya dan anggota lain berulang alik semasa bertugas.

Selama tempoh bertugas di kawasan tersebut, pihaknya telah berjaya menemui sejumlah (15) buah jerangkap samar yang ditanam oleh pihak musuh.

8. SM Sakrani Hashim 

Menyertai PDRM pada 1.06.1976 hingga 18.09.2016. Pernah berkhidmat dalam VAT69 Komando sebagai ahli perubatan di Ulu Kinta daripada tahun 1979 hingga 2016.

Beliau mendapat kecederaan terguris di bahagian kiri kulit kepala kerana ditembak kumpulan bersenjata Sulu ketika sedang memangku arwah Sarjan Sabarudin yang gugur di Kampong Tanduo dalam tragedi Lahad Datu pada tahun 2013.

9. SM Madzlan Masrom  

Menyertai PDRM pada 1.12.1980 hingga 12.5.2020. Pernah berkhidmat dalam VAT69 Komando sebagai ahli perubatan di Ulu Kinta daripada tahun 1982 hingga 2018.

Mendapat kecederaan pekak pendengaran telinga kiri kerana letupan bom tangan yang dilempar oleh PARAKAU (Pengganas Komunis Kalimantan Utara) di tepi kubu ketika melaksanakan tugas sentri pada waktu malam di tepi laluan balak di penempatan Julau, Sibu, Sarawak dalam ‘Ops Jala Aman’ (1990) Rascom, Sarawak.

10. Sjn Ahmad Zamry Hassan  

Menyertai PDRM pada8.06.1976 hingga 12.5.2015. Pernah berkhidmat dalam VAT69 Komando sebagai pakar letupan di Ulu Kinta daripada tahun 1979 hingga 2005.

Mendapat kecederaan di pelipat peha kaki kiri kerana percikan besi jerangkap samar dan mengalami kecacatan ketika kejadian cuba meleraikan jerangkap samar pengganas Komunis dalam ‘Ops Bersih’ 1990 di belantara Bentong, Pahang.

11.PgKB II Zainuddin Abd Rahim

* Jawatan terakhir adalah sebagai Ketua Zon 2 Perak ( Zon Taiping ), JBPM Perak

* Tanah Runtuh Pos Dipang Tahun 1996

– Pegawai operasi bagi tragedi banjir lumpur di penempatan Orang Asli Pos Dipang, Kampar meragut 44 nyawa dan 5 lagi hilang, dipercayai berpunca daripada hujan lebat dan hakisan cerun.

12.PPgB Zaiful Efandi Ahmad

* Jawatan terakhir adalah sebagai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar JBPM Perak.

* Operasi Kemalangan Bas Pelancong di Genting Highland tahun 1996

* Operasi Kebakaran Tanah Gambut di Batang Berjuntai, Selangor tahun 2000

* Operasi Tsunami di Banda Acheh, Indonesia tahun 2004.

* Operasi SAR Helikopter Nuri Terhempas di Genting Sempah Tahun 2007

* Api Hutan Gerik Tahun 2014

* Banjir Besar Melanda Negeri Perak 2014.

#keselamatan #airtimes #Perak #veteran #HariKebangsaan2025 #DaulatTuanku #ATM #PDRM #JBPM

 

Leave a Reply