Sabtu lepas, seramai 1,927 pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan atau PALAPES dari 20 universiti awam ditauliahkan sebagai pegawai muda sukarela dalam angkatan simpanan negara.
Daripada jumlah tersebut, seramai 1,098 ditauliahkan ke dalam Rejimen Askar Wataniah (AW), 431 Pasukan Simpanan Tentera Laut (PSSTLDM) dan 398 Pasukan Simpanan Tentera Udara (PSSTUDM).
Ini merupakan pentauliahan kali ke-43, bermakna kumpulan pertama mahasiswa-mahasiswi yang menamatkan latihan mereka dalam PALAPES adalah pada tahun 1982.
Setiap kali pentauliahan, satu persoalan besar timbul iaitu ke manakah hala tuju mereka selepas itu dan mengapa penyertaan pegawai muda ini dalam pasukan simpanan rendah.
Berbanding PSSTLDM dan PSSTUDM, AW merupakan pasukan simpanan terbesar, justeru penyertaan pegawai muda PALAPES ke dalam pasukan ini menjadi fokus perbincangan.
Statistik tidak rasmi menunjukkan bahawa kurang daripada 10% pegawai muda yang ditauliahkan melaporkan diri khususnya ke unit AW.
Daripada jumlah itu pula, kurang separuh benar-benar aktif dalam latihan sebelum bilangan tersebut terus mengecil termasuk mempunyai masa bagi mengikuti kursus-kursus kerjaya untuk membina karier dalam AW.
Ini satu jurang besar yang wajar diberi perhatian oleh pihak yang berwajib, terutama Bahagian Pasukan Simpanan (BPS) Markas Tentera Darat.
Realitinya pula, jika sekurang-kurangnya 30% pegawai muda PALAPES Tentera Darat Malaysia atau 300 orang melapor diri ke pasukan setiap tahun selepas tauliah, adakah unit-unit AW sedia ada mampu menampung keanggotaan mereka?
Persoalan ini juga perlu diperhalusi termasuk di pihak Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Secara struktur, program PALAPES di bawah kendalian Markas Latihan dan Doktrin Tentera Darat (Tradoc) iaitu sama sepertimana institusi latihan Tentera Darat Malaysia dan bukan di bawah BPS.
Berbeza dengan Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia di mana PALAPES Laut dan Udara berada di bawah Markas Pasukan Simpanan perkhidmatan masing-masing.
Hanya selepas ditauliahkan, barulah pegawai muda simpanan ini secara teknikal menjadi sebahagian daripada sistem BPS.
Di sinilah letaknya jurang utama iaitu tiada kesinambungan dalam hal pengurusan dan penyaluran pegawai selepas pentauliahan.
Ketiadaan satu sistem yang mantap untuk memastikan pegawai muda memahami hala tuju mereka pasca-pentauliahan menyebabkan ramai yang hilang arah.
Mereka tidak tahu ke mana harus pergi, bagaimana prosesnya, atau dengan siapa perlu dihubungi.
Walaupun tiada kajian rasmi daripada pihak Tentera Darat Malaysia berhubung faktor-faktor penyumbang kepada kegagalan pegawai muda PALAPES melapor diri, namun hasil pemerhatian dan kajian lapangan mendapati beberapa faktor utama yang menyumbang kepada isu ini.
ISU UTAMA PEGAWAI PALAPES TIDAK AKTIF
1. Kurang pemahaman selepas pasca-tauliah – Walaupun pihak BPS sudah mula melaksanakan Taklimat Kerjaya Pegawai Sukarela kepada pegawai kadet yang bakal ditauliahkan diikuti dengan pameran promosi setiap pasukan AW sewaktu Latihan Pentauliahan dilaksanakan, namun kefahaman kurang. Didapati masih ramai pegawai muda PALAPES yang selepas ditauliahkan gagal memahami proses serta cara melapor ke pasukan kerana masa yang singkat semasa taklimat dan pameran.
Seharusnya pendekatan ‘Hands On’ dilakukan dari permulaan mereka melibatkan diri ke dalam PALAPES dengan unit AW yang ada atau penerangan yang boleh mengindoktrinasikan mereka untuk melapor selepas tauliah diberikan.
2. Prosedur yang tidak diketahui – Ramai masih kurang jelas tentang pasukan atau unit-unit di dalam AW untuk mereka melapor diri atau bagaimana untuk mendaftar secara rasmi. Pasukan AW tidak hanya melibatkan elemen Infantri Siri 500, tetapi juga pasukan Bantuan Tempur dan Bantuan Khidmat.
Melalui pemerhatian juga, seringkali fokus AW hanya diberi tumpuan pada pasukan Infantri Siri 500 manakala unit-unit lain hampir tidak diketahui. Walaupun laman web BPS telah dikemaskini dengan nama unit serta alamat unit AW yang lain, namun masih ramai yang tidak mengetahui tentang kewujudan laman web tersebut serta cara menghubungi unit-unit ini berdasarkan lokaliti.
3. Tiada tindakan susulan daripada pihak pasukan – Ketiadaan komunikasi atau perhubungan daripada unit AW menjadikan pegawai muda PALAPES rasa seperti ‘tidak dialu-alukan’ sedangkan mereka sepatutnya menjadi generasi penerus di pasukan. Selain itu mereka tidak mendapat galakan dari pasukan yang sedia ada untuk mereka melapor.
4. Proses melapor yang tidak mesra – Ada pegawai muda yang melapor tetapi kecewa dengan sikap acuh tak acuh staf pengurusan atau ketidakcekapan dalam mengurus dokumen. Walaupun perkara ini tidak melibatkan semua pasukan AW tetapi permasalahan sedemikian masih berlaku. Ini disebabkan persepsi dalam kalangan pentadbir sendiri bahawa pegawai muda PALAPES tidak akan aktif selepas melaporkan diri, tidak serius atau tidak berminat untuk kekal lama di pasukan.
Justeru, disebabkan pengalaman yang pernah dihadapi pasukan sebelum ini maka pihak pentadbir beranggapan menguruskan kemasukan pegawai muda PALAPES sebagai membuang masa. Masih terdapat banyak isu birokrasi yang mana koordinasi antara Markas Latihan Tentera Darat bersama BPS diperlukan dalam memastikan pegawai muda PALAPES melapor selepas tauliah.
5. Dokumen hilang atau tidak lengkap – Ada kes di mana rekod perkhidmatan hilang semasa proses penyerahan mahupun dokumen dari PALAPES tidak lengkap ataupun dokumen simpanan PALAPES tidak wujud. Seringkali perkara yang berlaku menyebabkan proses untuk mendaftar atau melapor diri terganggu. Manakala proses penyelesaian yang mengambil masa lama untuk menyelesaikan hal ini menyebabkan pegawai muda PALAPES lama kelamaan hilang minat untuk meneruskan hasrat melapor diri.
6. Pegawai telah memasuki alam pekerjaan – Ramai pegawai muda mula bekerja sebaik tamat pengajian menyebabkan mereka memilih untuk memberi fokus utama kepada pekerjaan awam. Memandangkan penyertaan dalam pasukan simpanan adalah secara sukarela, mereka memerlukan masa tertentu sebelum membuat keputusan untuk melapor diri.
Malangnya, apabila kerjaya telah stabil tempoh boleh berkhidmat pula telah luput, lalu mereka tidak boleh untuk meneruskan perkhidmatan dalam pasukan sukarelawan. Walaupun boleh memohon untuk ditauliahkan semula, namun ia memakan masa dan bukan proses yang mudah. Selain itu kebanyakkan pegawai muda PALAPES yang baru ditauliahkan banyak bertumpu di kawasan Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor disebabkan peratus mendapatkan pekerjaan di kawasan tersebut tinggi.
7. Pilihan peribadi – Ada juga yang hilang minat atau hanya menyertai PALAPES semata-mata untuk pengalaman semasa belajar, bukan komitmen jangka panjang. Bagi kelompok ini, mereka tidak berhasrat untuk aktif semula dalam simpanan. Selain itu terdapat ramai Pegawai Muda PALAPES yang menyertai pasukan beruniform atau pasukan keselamatan lain selepas tamat belajar. Ini menghadkan kebolehan mereka untuk kekal aktif.
8. Latihan yang kurang menarik, berulang – Latihan yang dilaksanakan di pasukan AW hampir sama dengan yang dilaksanakan di PALAPES menyebabkan mereka menjadi bosan selain daripada kurang kebebasan untuk melaksanakan latihan lain disebabkan kekangan peralatan logistik, kenderaan serta lain-lain.
Ada yang telah melapor tetapi hanya datang latihan sekali sahaja, selepas itu tidak datang lagi disebabkan kebosanan serta layanan oleh jurulatih LLP terhadap mereka seperti acuh tidak acuh.
Masa latihan yang tidak mengikut keadaan semasa juga menyumbang kepada kekangan untuk aktif dalam AW. Ini kerana kebanyakan pasukan AW masih terikat dengan corak menetapkan latihan seperti semasa era lampau.
Ini kerana pada masa sekarang corak pekerjaan telah berubah termasuk bekerja pada hari Sabtu dan Ahad.
Sebaliknya, kebanyakan pasukan AW masih menetapkan hari Sabtu dan Ahad sebagai hari latihan mengikut sepertimana kaedah ‘Territorial Army’ semasa ditubuhkan 60 tahun lalu.
Pihak atasan juga tidak membuat kajian untuk pembaharuan masa latihan serta bagaimana hendak menjadikan latihan itu menarik.
9. Ketiadaan undang-undang yang jelas melindungi pegawai dan anggota sukarela bagi membolehkan mereka menghadiri latihan serta kekal aktif – Walaupun terdapat beberapa seksyen di dalam Akta Angkatan Tentera 1972, Akta Khidmat Negara 1952 serta beberapa akta lain.
Masih lagi tiada perlindungan yang jelas untuk mereka aktif menghadiri latihan. Ini termasuk untuk kakitangan kerajaan setelah SSPA dilaksanakan. Masih ada majikan termasuk ketua di jabatan kerajaan yang tidak menyokong penglibatan pegawai atau kakitangan mereka dalam pasukan sukarelawan termasuk AW.
Mereka enggan membenarkan pegawai meminta cuti menjalani latihan, berkursus malah menyekat minat pegawai aktif dalam pasukan simpanan.
Sikap ketua jabatan seperti ini jelas melanggar dasar dan aspirasi kerajaan dalam pertahanan negara. Ini bukan kes terpencil, malah masih berlaku sejak sekian lama.
EKSESAIS AKTIFKAN SEMULA PEGAWAI PALAPES TAMAT ROD

Hal ini merujuk kepada pegawai simpanan daripada PALAPES yang masih berminat tetapi berdepan masalah tempoh tauliah (ROD) telah tamat. Mereka merupakan pegawai yang pernah aktif di pasukan AW, telah menghadiri kursus kerjaya dan penyandang pangkat tetapi tidak boleh aktif disebabkan tamat ROD. Dalam kalangan mereka ada yang pernah aktif di pasukan AW selama 5 tahun, 10 tahun, 15 tahun malah lebih.
Ada pelbagai punca yang menyebabkan ROD mereka tamat termasuk pasukan tidak menguruskan proses sambung khidmat secara teratur.
Walaupun tiada angka spesifik tetapi jumlah dalam kelompok ini ramai. Rekod perkhidmatan mereka boleh disemak oleh BPS dan pasukan. Sesuatu perlu dilakukan MINDEF supaya memudahkan proses mendaftarkan kembali pegawai lepasan PALAPES yang pernah aktif di pasukan ini kembali berkhidmat. Ini termasuklah mereka yang mempunyai jawatan penting dalam perkhidmatan awam, swasta, individu berpengaruh termasuk para pensyarah di universiti awam. Kelompok ini dapat memberikan nilai tambah kepada pasukan AW sekiranya kembali aktif.
MANFAAT DIASPORA PALAPES DALAM DUNIA AWAM, SWASTA

Ada dalam kalangan pegawai PALAPES hari ini merupakan Komander di Rejimen Siri 500, manakala yang menjadi pegawai memerintah batalion juga ramai. Ini tidak termasuk mereka yang menjawat sebagai Timbalan Komandan PALAPES di universiti awam.
Namun, tidak semua tentang isu kurangnya penyertaan semula graduan PALAPES ke dalam pasukan simpanan negatif. Ini kerana diaspora graduan PALAPES dalam sektor awam dan swasta membawa nilai tambah tersendiri.
Para graduan PALAPES yang telah melalui latihan ketenteraan asas membawa bersama nilai kepimpinan dan disiplin tinggi, semangat patriotisme, kesedaran pertahanan dan keselamatan serta rasa tanggungjawab kepada negara.
Dalam konteks semangat Hanruh (Pertahanan Menyeluruh) atau kini dikenali sebagai Whole-of-Government and Society Approach (WoGos), mereka ini adalah aset penting.
Apabila mereka menjadi ketua jabatan, usahawan, pendidik, atau pemimpin masyarakat, kelompok graduan lepasan latihan PALAPES membawa roh tentera bersama mereka.
Lebih menarik, apabila menjadi ketua atau pemimpin di satu-satu organisasi, mereka juga menjadi penyokong kuat kepada penyertaan kakitangan dalam aktiviti kesukarelawanan seperti AW, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) atau Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan sebagainya.
KESIMPULAN
Masalah penyertaan pegawai PALAPES selepas ditauliahkan bukan semata-mata soal minat atau komitmen individu. Ia juga berpunca daripada kelemahan sistem, kekurangan panduan dan jurang komunikasi antara agensi latihan dan pengurusan pasukan simpanan.
Namun, jika diperkasakan, graduan PALAPES ini adalah tulang belakang kepada kekuatan pasukan simpanan negara, serta menjadi agen pertahanan menyeluruh dalam sektor awam dan swasta.
Perlu satu tindakan menyeluruh dan sistematik dilakukan untuk memastikan potensi mereka tidak terus disia-siakan. Graduan PALAPES mempunyai kualiti dan potensi yang tidak boleh disangkal.
Sepertimana mereka telah mengorbankan tempoh emas semasa menuntut di universiti dengan menyertai PALAPES, momentum tersebut seharusnya diteruskan selepas tauliah.
Kementerian Pertahanan harus melihat graduan PALAPES sebagai aset strategik, iaitu relevan dengan peranan mereka sebagai tulang belakang angkatan simpanan selain menjadi kelompok yang menyokong dasar pertahanan negara dalam jangka masa panjang. – airtimes.my
#Airtimes #PALAPES #AskarWataniah #PSSTLDM #PSSTUDM #Pertahanan #Malaysia
