Selama beberapa dekad, Amerika Syarikat (AS) merupakan pembekal utama sistem persenjataan termasuk pesawat tempur kepada banyak negara di Asia Tenggara.
Namun, landskap geopolitik dan ekonomi yang berubah kini menyaksikan peralihan ketara apabila negara-negara di rantau ini mula mempelbagaikan sumber ketenteraan mereka.
Peralihan ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada Washington, malah menguncupkan pai ekonomi pertahanan besar yang dinikmati pada dekad lampau.
Sejak 15 tahun lalu, industri aeroangkasa dari Eropah semakin dominan dalam pasaran pesawat tempur rantau ini. Terbaru, dominasi sama mula terarah kepada firma dari Asia seperti Korea Selatan manakala Türkiye menjadi pemain baharu yang menonjol.
Beberapa faktor menyumbang kepada perubahan ini iaitu kos yang lebih rendah, pakej perolehan yang menepati kehendak pembeli, keupayaan teknologi yang semakin setanding dan tidak terkecuali dasar ketat AS terhadap eksport senjata.
Filipina merupakan contoh jelas bagaimana AS mula kehilangan daya tarikan dalam persaingan tersebut.
Walaupun ditawarkan pesawat F-16 melalui program penjualan ketenteraan asing (Foreign Military Sale), Manila dikatakan keberatan kerana kos yang terlalu tinggi.
AS menawarkan pakej 20 buah pesawat F-16 termasuk Block 70/72 dengan kelengkapan penuh termasuk sistem persenjataan pada harga AS$5.58 billion.
Anggaran harga sebuah pesawat F-16 dalam pakej ini adalah sekitar USD$279 juta.
Sebaliknya, Sweden tampil dengan pakej menarik bagi pesawat Saab JAS Gripen E/F pada harga yang lebih kompetitif. Lebih daripada itu, Sweden bersedia menawarkan sama pesawat radar pengawasan udara dan amaran awal (AEW&C).
Gripen bukan sahaja lebih murah, tetapi turut disertakan dengan jaminan sokongan logistik dan latihan yang lebih menyeluruh. Ini sesuatu yang amat penting bagi negara yang masih membangunkan infrastruktur pertahanan udara.
Pada masa sama, Filipina juga telah bersetuju membeli 12 buah lagi pesawat FA-50 Block 20 sebagai tambahan kepada 11 pesawat sedia ada dari Korea Selatan. Berbanding varian sebelumnya, pesawat yang akan diterima ini mempunyai keupayaan yang lebih baik.
Thailand juga mengikuti jejak serupa. Walaupun AS menawarkan varian terbaru F-16 pada harga yang tidak dinyatakan, Bangkok masih menangguhkan keputusan.
Kekecewaan memuncak apabila permohonan untuk memperoleh F-35 ditolak atas alasan negara itu ‘belum bersedia secara teknikal dan operasi’.
Sebagai reaksi, Thailand menambah pesawat Gripen sedia ada, ini umpama isyarat jelas bahawa kepercayaan terhadap Washington semakin pudar.
Thailand bersetuju membeli empat buah pesawat JAS Gripen E/F iaitu pakej awal bagi kesemua 12 buah pesawat yang akan diterima bermula 2030. Pembelian ini menambah bilangan 11 pesawat Gripen yang sedang dioperasikan.
Gripen E/F bakal menggantikan pesawat F-16 yang telah diguna lebih 30 tahun.
Menerusi kerjasama yang telah dimeterai, Saab akan membantu membangunkan industri aeroangkasa berkaitan di Thailand bagi menyokong ekosistem pesawat Gripen untuk jangka masa panjang.
Pasaran di Thailand juga memberi kelegaan kepada Saab setelah hampir 10 tahun gagal mendapatkan pembeli antarabangsa.
Indonesia pula membuat kejutan apabila memeterai perjanjian membeli 42 buah pesawat Dassault Rafale dari Perancis. Langkah strategik ini mengangkat Perancis sebagai pemain utama baharu di rantau ini.
Walaupun Jakarta turut mengumumkan rancangan membeli pesawat F-15EX Eagle II tapi tiada tindakan lanjut diambil setakat ini.
Dalam masa sama, Turkiye menawarkan pesawat tempur generasi baharu KAAN pada harga lebih kompetitif, sekali gus menambahkan tekanan kepada AS.
Perjanjian bernilai kira-kira AS$10 bilion termasuk kerjasama meluas dalam pengeluaran, kejuruteraan, pemindahan teknologi, dan penubuhan pangkalan industri tempatan Indonesia untuk operasi dan penyelenggaraan jangka panjang pesawat itu.
Vietnam pula masih menilai tawaran untuk membeli pesawat F-16, tetapi prosesnya perlahan selain mempunyai pelbagai isu yang menjadi kekangan.
Disifatkan Washington sebagai penjualan bernilai multi bilion yang bakal mengubah kuasa udara Vietnam, usaha ini tidak mudah.
Sejak sekian lama Vietnam mempunyai hubungan pertahanan yang erat dengan Rusia dan China, justeru sebarang pembelian luar kelaziman boleh memberi petanda kurang baik.
Lima tahun lalu, Vietnam membeli 12 buah pesawat latihan lanjutan jenis L-39NG buatan Czech menunjukkan pesawat buatan Eropah Timur masih menjadi pilihan.
Malaysia pula sedang menunggu ketibaan 18 pesawat FA-50M dari Korea Selatan, sebahagian daripada usaha memperbaharui skuadron pesawat tempur ringan.
Namun, perbincangan untuk Fasa 2 pembelian tambahan sudah mula timbul, di samping spekulasi mengenai pengganti bagi Hornet terpakai dari Kuwait.
Antara calon yang disebut-sebut seperti Saab Gripen, Dassault Rafale dan tidak mustahil pesawat J-10C (China) yang semakin menarik perhatian selepas prestasinya dalam konflik India-Pakistan.
Pilihan Malaysia akan menjadi penentu penting arah tuju rantau ini dalam memilih antara kuasa tradisional AS, Rusia atau Perancis dan kuasa baharu seperti Korea Selatan, Sweden, China atau Turkiye.
Rusia pula dikatakan telah mula menawarkan pesawat Generasi Ke-5, Sukhoi Su-57E kepada Malaysia biarpun usaha ke arah itu dilihat masih panjang.
Negara seperti Myanmar, Kemboja dan Laos dilihat masih selesa dengan pesawat buatan Rusia dan China.
Walaupun kebanyakan pesawat mereka adalah dari era lama, tiada isyarat jelas bahawa mereka akan beralih kepada sistem buatan barat, termasuk dari AS.
Kecuali Singapura, republik itu masih kekal sebagai pengguna tegar pesawat tempur dan aset udara lain buatan Uncle Sam.
End
