Insiden serangan yang berlaku ke atas Sultan Perak, Sultan Nazrin semasa sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 di Ipoh mengejutkan kerana ia menyentuh sensitiviti keselamatan negara.
Seorang wanita tidak dikenali telah menceroboh pentas utama dan cuba menghampiri Sultan Nazrin ketika lagu Kebesaran Negeri sedang dimainkan.
Insiden yang berlaku pada pukul 8.20 pagi itu menimbulkan kebimbangan besar terhadap tahap keselamatan acara rasmi melibatkan orang kenamaan (VIP), khususnya institusi diraja yang menjadi lambang kedaulatan negeri.
Mujur wanita berusia 41 tahun itu berjaya dihalang oleh anggota keselamatan yang bertugas sebelum sempat melakukan sebarang tindakan lanjut.
Cubaannya untuk mendekati Sultan Perak ketika protokol rasmi sedang berlangsung bagaimana pun memperlihatkan satu kelemahan jelas dalam sistem kawalan keselamatan sedia ada.
Dalam konteks ini, insiden sebegini bukan sekadar pelanggaran keselamatan fizikal, tetapi juga membawa implikasi.
Walaupun tiada kecederaan atau kemudaratan berlaku, hakikat bahawa seorang individu boleh menembusi kawalan keselamatan dan sampai ke atas pentas utama perlu ditanggapi serius.
Persoalan pertama yang disuarakan ramai apakah wujud kelemahan SOP kawalan keselamatan ke atas orang kenamaan (VIP)?
Insiden ini menimbulkan persoalan besar mengenai keberkesanan SOP kawalan keselamatan bagi VIP dalam acara terbuka.
Apakah perimeter keselamatan mencukupi?
Adakah kawalan di setiap laluan strategik dipantau dengan rapi?
Sejauh mana latihan anggota keselamatan dikemaskini untuk menghadapi situasi di luar jangka seperti ini?
Ini bukan sahaja terhadap pengawal pengiring, malah juga anggota polis yang bertugas.

Seorang wanita yang secara tiba-tiba menceroboh pentas utama semasa acara Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak yang berlangsung pagi tadi.
Acara besar seperti sambutan Hari Kebangsaan lazimnya melibatkan pelbagai lapisan pengunjung iaitu dari orang awam hingga ke barisan kenamaan tertinggi negeri dan negara.
Maka, aspek keselamatan tidak boleh dikompromi walaupun dalam suasana perayaan.
Insiden ini membuktikan bahawa ancaman bukan hanya datang dalam bentuk bersenjata atau berkumpulan, tetapi juga daripada individu yang bertindak bersendirian.
Individu atau penyerang mungkin bertindak atas dorongan emosi, gangguan mental atau ada agenda tertentu.
Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek, termasuk motif tindakan tersebut dan latar belakang psikologi individu terbabit.
Walau apa pun hasil siasatan kelak, insiden ini harus dijadikan pengajaran untuk memperketatkan lagi garis keselamatan, terutama dalam penilaian risiko dan membuat perkiraan keadaan.
Aspek paling penting adalah penilaian risiko awal bagi setiap acara terbuka yang melibatkan kehadiran orang kenamaan terutamanya tetamu Diraja.
Kedua, penempatan anggota keselamatan secara strategik di semua sudut kritikal termasuk belakang dan sisi pentas. Jika perlu, ada zon pemisah pada jarak tertentu sekiranya tahap keselamatan adalah berisiko.
Ketiga, aspek latihan simulasi berkala kepada anggota keselamatan untuk menghadapi situasi luar jangka. Ini penting kerana kawalan keselamatan bukan bersifat statik.
Keempat, sekiranya ada keperluan laksanakan saringan awal pengunjung menggunakan kaedah pengesanan moden dan pemprofilan tingkah laku.
Mutakhir ini teknologi sedemikian telah pun ada menerusi kamera pengawasan yang boleh membaca gerak geri individu melalui algoritma yang dibangunkan.
Kamera pengawasan sedemikian berharga tinggi, namun pertimbangan mendapatkan aset sedemikian penting dalam situasi sebenar.
Insiden ini, walaupun berjaya dikawal tanpa sebarang kecederaan, harus dilihat sebagai amaran awal terhadap keperluan untuk menambah baik sistem keselamatan.
Ini khususnya ketika mengendalikan acara awam berskala besar.
Institusi diraja dan pemimpin negara adalah lambang kestabilan negara, oleh itu sebarang bentuk pencerobohan ke atas keselamatan mereka perlu dipandang serius.
Pihak berkuasa dan penganjur acara perlu bekerjasama lebih erat bagi memastikan keselamatan bukan hanya kelihatan, tetapi benar-benar berkesan.
Ini kerana dalam soal keselamatan, pencegahan adalah langkah pertama sebelum insiden berlaku kerana selepas itu tidak ada langkah kedua.-airtimes.my
