Home Pertahanan dan Keselamatan Sambutan Hari Kebangsaan ke-68: APMM pamer Bot Kelas Ibrahim buat julung kali

Sambutan Hari Kebangsaan ke-68: APMM pamer Bot Kelas Ibrahim buat julung kali

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) buat julung kalinya mempamerkan Bot Kelas Ibrahim, pada Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di Dataran Putrajaya hari ini.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, bot berkenaan dikurniakan Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim dan dibina khas oleh Royal Boat Hangar Johor sebelum diserahkan kepada Maritim Malaysia pada 6 Mac lalu.

Menurutnya, penyerahan ini melambangkan iltizam Seri Paduka Baginda dalam memperkukuh kawalan perairan negara, sekaligus meletakkan kepercayaan penuh kepada APMM dalam menjaga keselamatan perairan tanah air.

“Bot sepanjang 12.6 meter dengan lebar 3.5 meter ini diperbuat daripada aluminium marin berkualiti tinggi serta dipacu tiga enjin Mercury OBM (Outboard Motor) berkuasa 300 kuasa kuda setiap satu,

“Ia mampu mencapai kelajuan maksimum 56 knot, dan kelajuan pelayaran optimum ialah 40 knot menjadikannya antara bot pemintas berkelajuan tinggi yang dimiliki APMM,” katanya selepas hadir pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 di Dataran Putrajaya, pada Ahad.

Mohd Rosli menjelaskan, bot tersebut dipinjamkan tanpa kos selama lima tahun dan telah diserahkan kepada APMM Johor bagi memperkukuh rondaan serta operasi penguatkuasaan di perairan strategik negeri berkenaan.

Selain Bot Kelas Ibrahim, APMM turut menampilkan pasukan elit Rescue Swimmer (Perenang Penyelamat) yang berperanan dalam misi menyelamat di laut dalam keadaan ekstrem.

“Pasukan itu kini mempunyai kekuatan 11 anggota operasi manakala 12 lagi sedang dalam latihan,” ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama,beliau turut memaklumkan jenayah maritim termasuk penyeludupan manusia, pencerobohan nelayan asing dan penyeludupan dadah menunjukkan trend penurunan hasil kerjasama erat APMM dengan Pasukan Polis Marin serta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Secara keseluruhan, perairan negara berada pada tahap aman dan terkawal. Walaupun ada insiden berlaku, jumlahnya semakin berkurangan,” jelasnya lagi.

Sambutan Hari Kebangsaan diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, serta dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Kontinjen APMM yang terdiri daripada 327 pegawai dan anggota dari pelbagai formasi termasuk Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team), Penerbang Maritim Malaysia serta Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) turut menyertai perbarisan dengan enam jenis pakaian rasmi.

Pasukan Pancaragam Maritim Malaysia yang dianggotai 40 pemuzik serta beberapa aset lain seperti Bot PERKASA 36, Bot BENTENG 2, Air Boat 03, Mobile Surveillance Unit (MSU) dan Helikopter Dauphin AS365 N3 turut memperagakan kekuatan agensi tersebut pada sambutan berkenaan.-airtimes.my

#keselamatan #airtimes #HariKebangsaan2025 #Malaysia #APMM #DaulatTuanku

 

Leave a Reply